"Dengar Mereka Lafaz Syahadat Nikmat Besar Buat Saya," Kata Pembantu Mubaligh JAIPk

M
endengar bakal saudara baharu melafazkan syahadat yang menandakan perakuan terhadap agama Islam, merupakan satu nikmat besar buat  Lukman Shamsul Bahrin, dan pada saat itu  juga “harga” pelbagai cabaran yang dihadapinya dalam berdakwah kepada Orang Asli, terbayar. 

Sejak kira-kira enam bulan lalu, Lukman, 34, tekal menyebarkan ajaran Islam di tiga buah perkampungan Orang Asli di daerah Kuala Kangsar ini, berdepan dengan bermacam-macam risiko untuk tiba ke destinasi, termasuk ancaman bencana alam serta binatang buas.

“Sebelum ini saya bekerja dalam pelbagai bidang, namun hati saya memang pada kerja-kerja sebegini. Sejak kecil saya didedahkan kepada pentas-pentas ceramah oleh ayah yang membawa saya ke kuliah agama di merata-rata tempat.

Dalam menyebarkan syiar Islam kepada masyarakat Orang Asli, seseorang pendakwah harus terlebih dahulu menjalin hubungan yang baik dengan mereka dan membina kepercayaan.

“Cuma saya tidak ada kebolehan berceramah seperti ayah,  jadi  saya menyertai Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sebagai pembantu mubaligh untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah terus di lapangan," katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Beliau yang kini berkhidmat di Bahagian Dakwah JAIPk, khususnya di Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah Kuala Kangsar, bertanggungjawab menyelia Kampung Jei, Kampung Cheut dan Kampung Kuala Legap yang didiami oleh keseluruhan kira-kira 500 penduduk daripada suku Temiar.

Menurutnya, rata-rata penduduk di kawasan itu tidak menganuti sebar ang agama selain mengamalkan animisme, namun, dalam tempoh lima bulan lepas, beliau berjaya menarik lebih 40 orang untuk memeluk agama Islam.

 

BINA KEPERCAYAAN

Bercerita lanjut, Lukman berkata dalam menyebarkan syiar Islam kepada masyarakat Orang Asli, seseorang pendakwah harus terlebih dahulu menjalin hubungan yang baik dengan mereka dan membina kepercayaan.

"Kita tidak terus perkenalkan agama Islam kepada mereka, tapi kena kenali mereka dahulu. Saya guna pendekatan sebagai saudara mereka, bertanya perihal seharian mereka, ambil tahu kesusahan mereka, cuba ambil hati dengan menyelami aktiviti seharian mereka. Apabila sudah selesa, saya akan mula berdialog mengenai kepentingan beragama. Bagaimana manusia itu perlukan agama sebagai jalan mengenal tuhan. 

Selepas memeluk Islam, kebajikan saudara baharu akan dijaga oleh JAIPk, khususnya dari segi pengisian ilmu.

"Selain menjelaskan bagaimana manusia itu dicipta bersama-sama dengan fitrah beragama, saya suka membuatkan mereka berfikir yang hidup mereka tidak lengkap tanpa agama, kerana kebanyakan mereka mengamalkan animisme, ataupun tiada agama. Saya juga menerangkan yang didalam Islam, kita mengamalkan konsep bersaudara, tiada kasta antara bangsa, berharta atau miskin," kata anak jati Simpang Pulai ini.

Ditanya masa yang diambil untuk melunakkan hati masyarakat itu terhadap Islam, bapa kepada seorang cahaya mata yang hingga kini berjaya menarik lebih 40 Orang Asli memeluk agama Islam, berkata: “Hidayah itu milik Allah, tiada ukuran masa untuk menentukan bila seseorang itu akan memeluk agama Islam.”

 

KEBAJIKAN TERJAGA

Mengulas lanjut, Lukman berkata selepas memeluk Islam, kebajikan saudara baharu dijaga oleh JAIPk, khususnya dari segi pengisian ilmu termasuk menerusi kelas fardu Ain yang dijalankan di kampung masing-masing oleh Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) atau mubarak.

"Ini bagi memudahkan saudara baharu ini untuk menuntut ilmu fardu ain dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Mubarak juga bertanggungjawab menjaga kebajikan saudara-saudara baharu ini. Banyak bantuan dan kemudahan yang JAIPk dan MAIPk (Majlis Agama Islam Perak) sediakan khusus bagi masyarakat Orang Asli yang memeluk agama Islam," katanya.

Kebiasaanya tiada masalah untuk mereka tinggal dengan keluarga yang bukan Islam selagi tiada konflik berlaku.

Lukman juga menjelaskan selepas memeluk Islam, kebiasaanya tiada masalah untuk mereka tinggal dengan keluarga yang bukan Islam selagi tiada konflik berlaku.

"Sebaiknya, saudara baharu haruslah menjaga hubungan baik dengan ahli keluarga kerana itu yang dituntut dalam Islam selagi tidak bercanggah dengan syarak,” tegasnya, menambah bagaimanapun aspek-aspek tertentu seperti peralatan masakan berasingan dan ruang beribadat harus disediakan oleh saudara baharu.

Dalam pada itu, tuntutan tugas memerlukan Lukman bekerja hampir saban hari termasuk ketika hujung minggu atau cuti umum, kerana beliau bukan sahaja berdakwah, tetapi juga bertanggungjawab dalam aspek-aspek lain melibatkan umat Islam di perkampungan itu.

“Kalau ada urusan yang tidak boleh ditangguh seperti penduduk mahu melafazkan dua kalimah syahadah, kematian atau pernikahan, maka saya akan ke sana walaupun pada hujung minggu atau cuti umum,” ujarnya.

 Dari segi cabaran pula, beliau mengumpamakan rutin dakwah di perkampungan Orang Asli di pedalaman Sungai Siput ini sebagai “satu misi yang penuh bahaya”, kerana selain laluan hutan yang sempit, beliau juga berdepan ancaman pokok tumbang, tanah runtuh serta “pertemuan” dengan haiwan liar seperti gajah dan harimau. 

“Ada beberapa kali perjalanan terpaksa dihentikan kerana pokok tumbang dan tanah runtuh selepas hujan lebat,” kongsinya yang menjalankan kerja-kerja dakwah itu secara solo dan ada masa bermalam di perkampungan tersebut.

 

BERDAKWAH KEPADA KOMUNITI SENDIRI

Kegiatan berdakwah itu tidak terhad pada orang luar, kerana dalam kalangan masyarakat Orang Asli itu juga ada yang bergiat menyebarkan syiar Islam kepada komuniti sendiri, antaranya Alang Iman atau nama Islamnya Nur Islam, 28, yang memeluk Islam pada usia 19 tahun.

“Minat saya terhadap agama Islam mula timbul selepas beberapa kali mengalami mimpi yang memberi kesan mendalam.

“Antaranya, saya bermimpi kejadian bumi hancur, hari kiamat, rumah hancur dengan ada yang dialami berulang-ulang kali. Saya anggap itu hidayah daripada Allah SWT,” ujarnya.

Alang yang berasal dari Pos Legap, berkata buat masa ini hanya dia sahaja dalam keluarganya yang memeluk Islam. 

“Meskipun begitu, ayah sangat membantu dan memberi nasihat kepada saya agar tidak main-main dan mendalami ajaran agama dengan baik,” tambahnya.

 

AMANAH BESAR

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata usaha menyebarkan syiar Islam oleh JAIPk tersebut disambut baik oleh masyarakat Orang Asli di Perak.

 Menurutnya, hasil dakwah secara tersusun itu, semakin ramai Orang Asli yang bergelar saudara baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun ketika ditemui, baru-baru ini.

“Kebajikan saudara baharu ini dijaga menerusi perancangan kerajaan negeri yang disusun selari dengan MAIPk dan JAIPk sebagai badan induk hal ehwal Islam di Perak. 

“Saudara baharu ini akan dibimbing sepenuhnya oleh Bahagian Dakwah JAIPk. Mereka juga akan mengikuti kursus khas penghayatan Islam selama tiga hari dua malam di sebuah hotel yang akan ditentukan oleh pihak jabatan,” ujarnya.

Menurut JAIPk, usaha menyebarkan dakwah kepada masyarakat Orang Asli bermula secara tersusun pada 1980-an dengan penubuhan Unit Dakwah yang memberi tumpuan khusus kepada masyarakat minoriti termasuk Orang Asli.

“Sebelum itu, urusan kebajikan dan pembangunan Orang Asli lebih banyak tertumpu di bawah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) yang kini dikenali sebagai JAKOA  (Jabatan Kemajuan Orang Asli).

“​Memasuki era 1990-an, penyelarasan antara JAIPk dan JAKOA menjadi lebih erat. Pada fasa ini, PMOA diperkenalkan untuk memastikan bimbingan fardu ain dan syiar Islam dapat dijalankan secara konsisten di perkampungan Orang Asli di pedalaman Perak, seperti Gerik, Hulu Perak dan Kuala Kangsar,” kata jabatan itu.

Usaha lebih tersusun dan bersifat sehenti menerusi penubuhan Bahagian Dakwah yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengislaman, pengurusan pendaftaran dan dokumentasi saudara baharu; menjaga kebajikan mereka menerusi pemberian bantuan sara hidup serta pendidikan kepada mualaf Orang Asli; dan mengendalikan kelas bimbingan agama dan pembinaan surau atau pusat komuniti di perkampungan Orang Asli.

Sepintas lalu, Perak merupakan negeri kedua selepas Pahang yang mempunyai jumlah penduduk Orang Asli terbesar di Semenanjung Malaysia. Data rasmi Kerajaan Negeri Perak setakat November 2024 merekodkan terdapat 61,589 Orang Asli yang diam di 257 buah kampung di beberapa daerah, antaranya Batang Padang, Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta.

Sebahagian besar Orang Asli di negeri ini adalah daripada suku Senoi, Semai, Temiar, Negrito, Lanoh, Kensiu, Kintaq, Jahai serta sejumlah kecil Melayu Proto yang boleh ditemukan di selatan Perak bersempadan dengan Selangor.

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.