Aishah Muhammad Yassin masih ingat waktu ibunya yang keletihan, menyuakan telefon pintar kepadanya sebelum memainkan video Upin & Ipin, siri animasi kanak-kanak popular Malaysia.
“Waktu itu (2018), saya budak yang nakal,” kata Aishah, kini berusia 15 tahun, sambil ketawa. Ibunya yang sibuk dengan kerja rumah berasa lega apabila Aishah duduk terpaku menonton telatah si kembar lima tahun, Upin dan Ipin, yang tinggal bersama-sama dengan kakak dan nenek mereka serta rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang dan etnik di kampung fiksyen Kampung Durian Runtuh.
Kecintaan Aishah terhadap Upin & Ipin berterusan hingga ke alam persekolahan. Dia dan rakan-rakannya sering menonton rancangan itu di televisyen di sekolah pelarian Pelangi Kasih Learning Centre di Selayang Baru, Selangor, pada waktu lapang dan sementara menunggu ibunya datang menjemput. Selain pelarian Rohingya seperti Aishah, sekolah itu turut menampung keperluan pendidikan kanak-kanak Muslim Myanmar serta kanak-kanak pelarian dan tanpa kerakyatan yang lain.
“Kami beramai-ramai menonton televisyen di tingkat atas,” imbasnya.
Rakan-rakan Aishah turut memperkenalkan kepadanya siri animasi tempatan lain seperti Ejen Ali, Mechamoto serta siri kegemarannya BoBoiBoy yang dihasilkan oleh bekas animator Upin & Ipin.
Melangkah ke 2026, Pelangi Kasih Learning Centre yang diuruskan oleh Human Aid Selangor Society (HASS) kini ditutup akibat kekurangan dana. Bilik-biliknya yang sebelum ini menjadi kelas, riuh-rendah dengan suara kanak-kanak, kini kosong dan sunyi. Televisyen di tingkat tiga bangunan itu pula terbiar, berdebu dan rosak. Rakan-rakan Aishah bertebaran; ada yang berpindah ke sekolah pelarian lain, manakala sebahagian kecil lagi berhenti sekolah untuk bekerja.
Memandangkan Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967 di bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), negara ini tidak mempunyai rangka perundangan khusus berkaitan hak pelarian dan pencari suaka. Selain sekolah pelarian yang dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan UNHCR, kanak-kanak pelarian tidak mempunyai jaminan akses kepada pendidikan.
Sejak berdekad-dekad lamanya, Malaysia menjadi tempat perlindungan bagi pelarian dan pencari suaka yang melarikan diri daripada peperangan dan konflik di negara asal mereka, walaupun bukan penandatangan konvensyen tersebut. Setakat Oktober 2025, lebih 64,800 kanak-kanak berdaftar dengan UNHCR daripada 211,360 pelarian yang berdaftar di Malaysia. Kebanyakan mereka berasal dari Myanmar, namun Malaysia juga menjadi “rumah” buat pelarian dari 50 negara lain termasuk Pakistan, Somalia dan Palestin.
Ceria dan lincah, Aishah kini bersekolah di Dignity School di Sentul yang diuruskan oleh Dignity for Children Foundation. Walaupun tiada seorang pun dari Pelangi Kasih Learning Centre yang bersekolah bersama-samanya di tempat baharu itu, Aishah memberitahu Bernama bahawa dia tidak menghadapi banyak kesukaran untuk menyesuaikan diri - sebahagiannya hasil daripada kartun yang ditontonnya sejak kecil.
“Kesemua rancangan kartun itu mengajar saya cara berkawan dan tentang erti persahabatan,” katanya.
ANIMASI SEBAGAI “GAM”
Bagi Pengarah Kandungan Kreatif Upin &Ipin, Nur Naquyah Burhanuddin, adalah sesuatu yang amat menggembirakan apabila mengetahui kesan positif siri animasi itu terhadap kanak-kanak. Beliau memberitahu Bernama bahawa sejak awal penerbitannya, Upin & Ipin konsisten mengetengahkan nilai-nilai sejagat seperti keharmonian masyarakat berbilang kaum dan persahabatan, selari dengan nilai budaya Malaysia. Siri animasi tersebut meraikan ulang tahun ke-20 pada tahun ini.
Nur Naquyah berpendapat satu daripada sebab kanak-kanak, secara umumnya, menyukai rancangan itu adalah kerana jalan ceritanya dekat di hati, merentasi budaya dan sempadan, memandangkan kisah-kisahnya berakar pada pengalaman sepunya.
“Kisah kampung atau kisah kehidupan seharian sentiasa dekat di hati kerana ia adalah sesuatu yang kita semua lalui. Kita pergi ke sekolah, kita ada kawan dan kita bermain sorok-sorok. Oleh sebab itulah cerita Upin & Ipin dekat dan istimewa di hati kami,” katanya.
Nur Naquyah berkongsi ramai penonton memaklumkan kakitangan Les’ Copaque Production, syarikat yang memiliki dan menerbitkan Upin & Ipin, bahawa rancangan itu membantu membentuk anak-anak mereka menjadi rakyat Malaysia yang lebih baik.
“Rancangan ini bukan dicipta semata-mata untuk hiburan, tetapi untuk menyampaikan nilai-nilai yang boleh diserap secara semula jadi oleh kanak-kanak,” katanya. “Kami juga menerima banyak maklum balas bahawa siri ini membantu kanak-kanak mempelajari bahasa Melayu. Jika ibu bapa mahu anak mereka lebih fasih berbahasa Melayu, mereka tahu anak-anak boleh melakukannya dengan menonton Upin & Ipin.”
Menurutnya, syarikat itu memuat naik kandungan percuma di YouTube bagi memastikan kanak-kanak daripada semua latar belakang dan lokasi dapat mengakses rancangan tersebut di mana sahaja mereka berada. Upin & Ipin turut ditayangkan menerusi perkhidmatan langganan premium seperti Disney Channel dan Netflix.
Bagi Aishah dan rakan-rakannya yang juga pelarian - Nazrudin Rafik, 12, dan Zon Pwit Phyu, 11 -kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu (BM) amat penting memandangkan mereka kini menetap di Malaysia. Walaupun BM merupakan subjek wajib di sekolah bersama-sama Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, mereka mengakui Upin & Ipin serta animasi tempatan lain banyak membantu penguasaan bahasa tersebut. Ketika ditemu bual, ketiga-tiga mereka bertutur dalam BM yang diselang-seli dengan sedikit bahasa Inggeris.
Zon Pwit Phyu yang namanya bermaksud Bunga Putih Mekar dalam bahasa Burma, memberitahu Bernama dengan nada malu-malu bahawa rancangan kegemarannya ialah Upin & Ipin yang katanya lucu. Mengaitkan dirinya dengan watak Ipin, dia berkata ini kerana “dia nakal”.
Nazrudin pula berkata episod kegemarannya ialah episod Ramadan kerana mencerminkan cabaran yang dirinya sendiri hadapi ketika berpuasa.
CABARAN KUMPUL SUMBANGAN
Merujuk Aishah dan rakan-rakannya, Ketua Komuniti HASS dan bekas pengetua Rafik Shah berkata kanak-kanak terbabit mengamalkan gabungan budaya Myanmar dan Malaysia. Beliau memberitahu Bernama yang beliau menggalakkan para pelajarnya menonton animasi tempatan supaya mereka dapat mempelajari budaya Malaysia, nilai kemasyarakatan dan sosial, serta cara hidup dalam sebuah negara yang berbilang kaum.
Beliau tidak melihat perkara itu sebagai kehilangan jati diri atau warisan asal kanak-kanak berkenaan, ataupun sebagai penggantian budaya mereka dengan budaya Malaysia, sambil menegaskan bahawa “budaya Melayu mempunyai banyak nilai Islam”.
“Sesetengah rancangan animasi sangat baik dalam mendidik kanak-kanak. Dan sebagai kanak-kanak, mereka cepat belajar dan menghayati pengajaran itu.
“Kita boleh tekankan bahawa selagi mereka tinggal di Malaysia, mereka ada tanggungjawab untuk menuruti budaya, undang-undang dan rakyat Malaysia,” katanya.
Galakan itu menjadi lebih bermakna memandangkan sebahagian kanak-kanak ini membesar dalam latar belakang yang tidak menentu, dengan ketiadaan jaminan akses kepada pendidikan. Menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak pelarian merupakan satu cabaran besar kerana kebanyakan mereka tidak mampu membayar yuran sekolah, menyebabkan badan kebajikan yang mengendalikan sekolah-sekolah ini terpaksa bergantung sepenuhnya pada sumbangan.
Pengasas bersama Dignity for Children Foundation, Reverand Elisha Satvinder mengakui kepada Bernama menerusi WhatsApp, bahawa mendapatkan dana untuk sekolah pelarian yang sememangnya mencabar sejak dahulu, kini menjadi lebih sukar.
“Pendidikan pelarian tidak seharusnya dilihat semata-mata melalui lensa kemanusiaan atau emosi, dan keperluan ini juga tidak wajar dipandang serong atau diabaikan,” katanya.
Beliau menambah terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada cabaran sumbangan yang dihadapi sekolah pelarian, sambil menegaskan bahawa NGO mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan ketelusan dan tadbir urus kewangan yang baik bagi memelihara kepercayaan orang awam, selain perlu berinteraksi dengan pihak kerajaan secara lebih mendalam dan konstruktif.
Mimi Zarina Azmin, Ketua pegawai Eksekutif Muslim Aid dan bekas Ketua Pendidikan UNHCR Malaysia, berkata beliau percaya sentimen antipelarian yang kuat di media sosial turut memainkan peranan dalam menakutkan orang ramai daripada menderma kepada usaha berkaitan pelarian.
“NGO bergelut kerana sebagai penduduk tempatan, sebahagian daripada mereka mungkin terlebih anggar kesediaan orang tempatan untuk memberi. Bagaimana orang tempatan mahu ada kesediaan jika naratif negatif terhadap pelarian terus berleluasa?” katanya menerusi WhatsApp.
Buat masa ini, sekolah pelarian di Selayang Baru itu masih kosong. Televisyen di dalamnya yang rosak juga masih tidak berganti ataupun dibaiki.
Kebanyakan ibu bapa kepada anak-anak ini tidak mampu memiliki televisyen di rumah, namun bagi anak-anak terbabit, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
“Selepas televisyen rosak (di sekolah lama saya), kami guna telefon untuk menonton kartun,” kata Aishah. Rakan-rakannya mengangguk bersetuju dengan beria-ia.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial