S
aban tahun menjelang Tahun Baharu Cina, Kwai Chai Hong atau “Lorong Hantu” dalam Kantonis, yang terletak tidak jauh dari Jalan Petaling di sini, akan menjadi tumpuan peminat seni yang tidak hanya dapat menikmati keindahan karya tetapi juga mempelajari sejarah serta budaya kaum Tionghoa.
Tahun ini, venue yang satu ketika dulu hanyalah sebuah lorong belakang, mengangkat tema Guardians of Legacy. Mengambil inspirasi daripada “cloth tiger”, iaitu anak patung harimau diperbuat daripada kain, pameran itu sarat dengan tanglung berhiaskan imej 12 ekor haiwan mewakili zodiak Cina.
Tanglung-tanglung berbentuk kotak pelbagai warna itu, dengan setiap satu menampilkan satu haiwan yang dilukis ala watak kartun, menyambut kedatangan pengunjung sebaik sahaja mereka melangkah ke atas Jambatan Merah ikonik Kwai Chai Hong.

Jambatan Merah ikonik Kwai Chai Hong menampilkan tanglung-tanglung berbentuk kotak pelbagai warna itu, dengan setiap satu menampilkan satu haiwan yang dilukis ala watak kartun
Jauh sedikit ke dalam, mata pasti terarah pada hiasan utama tahun ini - arca kuda setinggi 2.1 meter. Di belakang patung itu, 11 lagi ukiran haiwan tersusun secara strategik dengan setiap satu disertakan penjelasan ringkas akan ciri-ciri haiwan berkenaan.
Menariknya, setiap ukiran itu kelihatan seperti patung mainan “plush” (anak patung yang diperbuat daripada kain berbulu lembut), dan walaupun setiap haiwan ada corak tersendiri yang menghiasi tubuh, masing-masing berkongsi satu ciri sama, iaitu karakter Cina "wang” atau " raja" yang dilakar pada badan mereka.
INSPIRASI PATUNG HARIMAU KAIN
Menurut Zeen Chang, Pengasas Bersama Kwai Chai Hong, pameran itu mengambil inspirasi daripada anak patung harimau kain, iaitu patung mainan yang secara tradisinya dibuat sendiri oleh ibu bapa atau datuk dan nenek, untuk dihadiahkan kepada anak atau cucu sebagai tanda sayang.
“Harimau kain ini berasal dari utara China, khususnya Wilayah Shanxi, dan setiap patung dibuat khas dengan simbol yang melambangkan perlindungan serta doa, seperti untuk keselamatan, keberanian, kebijaksanaan dan kesejahteraan buat si anak yang menerima patung itu.
“Jika diperhatikan, pada setiap haiwan zodiak ini, terdapat perkataan Cina bermaksud ‘raja’ di bahagian dahi, yang mengukuhkan kedudukan harimau sebagai ‘raja segala binatang’ dalam budaya Cina,” katanya kepada Bernama.

Setiap haiwan zodiak di sini terdapat perkataan Cina 王 bermaksud ‘raja’ di bahagian dahi, yang mengukuhkan kedudukan harimau sebagai ‘raja segala binatang’ dalam budaya Cina
Menurut Chang, pameran itu yang diilhamkan oleh Javier Chor, Pengasas Bersama Kwai Chai Hong, merupakan penghargaan terhadap kasih sayang dan keprihatinan yang dizahirkan secara tersirat.
“Dalam kebanyakan keluarga Cina, kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak lebih banyak ditunjukkan melalui perbuatan, bukan kata-kata.
“Apabila kita semakin dewasa, kita mula memahami bentuk kasih sayang sebegini, sekali gus menyemai rasa tanggungjawab dan kesanggupan berkorban demi orang tua kita, iaitu sifat taat dan keinginan berbakti kepada mereka.

Pengasas Bersama Kwai Chai Hong Zeen Chang (tiga dari kiri) dan Javier Chor (tiga dari kanan) ketika pelancaran 'Guardians Of Legacy' di Kwai Chai Hong
“Guardians of Legacy menekankan nilai tradisional ini, dengan mengajak kita menzahirkan perlindungan, keprihatinan dan penghargaan yang sama sebagai balasan kepada mereka,” katanya.
Selain itu, harimau kain juga dipercayai merupakan “adiwira bersulam” yang berperanan melindungi si anak daripada semangat jahat, sambil pada masa sama mengurniakan kesihatan yang baik, kekuatan dan kemakmuran.
“Kebiasaannya harimau kain ini diletakkan di dalam buaian, dikelilingi anak-anak patung kain lain, yang masing-masing melambangkan nilai berbeza. Secara tidak langsung, setiap bayi seolah-olah memiliki pasukan pelindung peribadi sendiri yang berwarna-warni dan penuh dengan makna simbolik,” katanya, menambah bahawa pameran tahun ini adalah menerusi kerjasama dengan Guardian Malaysia.
PERLINDUNGAN PERIBADI
Sementara itu, Chor berkata yang memberikan inspirasi kepada beliau ialah hakikat bahawa setiap harimau kain berbeza.
“Setiap satu membawa motif dan doa berbeza, dibentuk berasaskan harapan ibu bapa untuk si anak. Aspek perlindungan itulah yang meninggalkan kesan pada saya,” katanya.

Pameran Tahun Baharu Cina pada tahun ini adalah simbolik penghargaan terhadap kasih sayang dan keprihatinan yang dizahirkan secara tersirat
Menurutnya, pameran seni Guardians of Legacy berkembang daripada kepercayaan bahawa kasih sayang dan perlindungan dizahirkan melalui gerak-geri penuh makna, “dihasilkan secara khusus untuk individu yang ingin dilindungi.”
Chor menambah bahawa pada awalnya, tidak ramai yang mengetahui makna sebenar di sebalik harimau kain, kerana kebanyakannya melihat patung itu sekadar mainan comel atau hiasan di rumah.
“Untuk pameran tahun ini di Kwai Chai Hong, saya membuat kajian tentang harimau kain, dan semakin saya mendalami setiap motif, semakin saya berasa terinspirasi.
“Saya percaya setiap orang ada pelindung yang tidak terlihat. Oleh sebab itulah, untuk pameran seni ini, saya mahu mengembangkan konsep harimau kain kepada setiap simbol zodiak,” katanya.
Beliau berkata kesemua 12 arca itu direka dengan penampilan seakan-akan kain sebagai penghormatan kepada harimau kain, walaupun sebenarnya ia hasil cetakan tiga dimensi dan dicat tangan agar dapat bertahan dalam keadaan iklim tropika Malaysia.
Pameran seni Guardians of Legacy ini dibuka kepada orang ramai sejak 30 Jan lalu hingga 8 Mac depan, setiap hari dari 9 pagi hingga 12 tengah malam.