B
udaya “mengopi” di Malaysia menyaksikan peningkatan ketara penggunaan biji kopi sejak beberapa tahun lalu dengan data International Coffee Organisation menunjukkan Malaysia di tangga ketiga daripada 58 negara, dari segi pertumbuhan penggunaan kopi tertinggi pada 2021.
Bagaimanapun, di sebalik peningkatan trend mengopi, khususnya dalam kalangan remaja dan milenial Malaysia, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melaporkan pengeluaran tempatan masih jauh daripada mencukupi untuk menampung keperluan.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu dipetik berkata Malaysia mengimport kira-kira 90 peratus biji kopi untuk memenuhi permintaan industri, dengan sebanyak 126,062 tan metrik dibawa masuk pada 2024, sementara pengeluaran tempatan pula cuma 2,861 tan metrik pada tahun berkenaan.
Melihat potensi besar kopi dalam pasaran tempatan, Perak mengambil langkah mempergiat tanaman itu dengan sasaran menjadi antara pengeluar utama negara. Pada masa ini, pengeluaran kopi tempatan dikuasai Johor, Sabah dan Sarawak.
Di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dipacu oleh Dasar Keterjaminan Makanan Negara, Jabatan Pertanian negeri diberi mandat untuk merangka pembangunan industri kopi secara lebih tersusun, meliputi aspek dasar, pelaksanaan serta pembangunan ekosistem yang menyeluruh.
Hasilnya, lahirlah “Kopi Perak”.
MULA JENGAH PASARAN TAHUN INI
Membuka cerita perjalanan Kopi Perak, Pengarah Pertanian Perak Norsiyenti Othman berkata idea untuk menjadikan kopi sebagai tanaman komoditi baharu negeri tercetus daripada penganjuran Festival Cherita Secangkir Kopi pada Disember 2023.
“Dengan nilai industri kopi dijangka mencecah US$690.09 bilion menjelang 2030, Perak berhasrat merebut peluang itu untuk menjadi antara pengeluar kopi di negara ini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melaporkan pengeluaran tempatan masih jauh daripada mencukupi untuk menampung keperluan.
“Kami telah mengenal pasti beberapa daerah sebagai kawasan berpotensi untuk menjadi pengeluar utama kopi di Perak, antaranya Hulu Perak dengan kawasan seluas 19.4 hektar, Bagan Datuk (11.87 hektar) dan Kuala Kangsar (10.13 hektar),” katanya kepada Bernama.
Menurut beliau, walaupun pada masa ini tanaman itu hanya meliputi kawasan seluas 51.18 hektar melibatkan 48 pekebun, minat dalam kalangan petani terhadap kopi kian meningkat.
“Kami melaksanakan pendekatan pembangunan secara kluster, sekali gus mengoptimumkan penglibatan petani setempat,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata disebabkan oleh usaha penanaman kopi di Perak secara agresif baru sahaja bermula, Kopi Perak belum dipasarkan secara komersial sekalipun telah diperkenalkan kepada umum menerusi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) sejak dua tahun lalu.
“Kebanyakan kawasan penanaman baru sahaja dibangunkan, sementara ladang sedia ada pula melalui proses pemulihan pokok, sekali gus menyaksikan pengeluaran semasa yang terhad.
“Bagaimanapun, susulan pengenalan di MAHA, kami menyasarkan untuk memasarkan Kopi Perak kepada umum mulai tahun ini melalui beberapa pihak termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Perak,” tambah beliau.
Selain daripada itu, beliau berkata Kopi Perak juga akan diangkat sebagai produk identiti negeri menerusi sektor agropelancongan.
Pada masa ini Perak lebih dikenali sebagai pengeluar padi dan jagung.
VARIETI LIBERICA PILIHAN KOPI PERAK
Mengulas lanjut, Norsiyenti berkata pihaknya memilih kopi varieti Liberica berdasarkan kesesuaian suhu dan tanah di negeri itu.
Liberica yang dapat hidup subur di atas tanah lanar dan dalam julat suhu 27 hingga 30 darjah Celsius, mempunyai daya tahan penyakit yang baik serta berbuah sepanjang tahun dengan jangka hayat hingga 25 tahun, sekali gus menjadikan komoditi itu amat sesuai untuk pembangunan Kopi Perak.

Budaya “mengopi” di Malaysia menyaksikan peningkatan ketara penggunaan biji kopi sejak beberapa tahun lalu.
“Liberica ada pasaran yang tinggi kerana rasanya yang unik. Pengurusan tanaman ini juga lebih mudah dari segi amalan agronomi, menjadikan varieti ini tanaman berdaya maju dalam kalangan pekebun,” ujarnya.
Menjelaskan usaha memperluas tanaman kopi akan dilakukan secara berperingkat, beliau berkata Jabatan Pertanian Perak menyalurkan pelbagai bantuan kepada petani melalui peruntukan khas di bawah Rancangan Pembangunan Perak ke-13.
“Skop bantuan yang disediakan di bawah inisiatif ini meliputi penyediaan dan pembersihan kawasan penanaman, pembangunan infrastruktur ladang, saliran serta jalan ladang, pembekalan input pertanian, sokongan penuaian serta pemprosesan buah kopi oleh penyedia bertauliah,” katanya, menambah pihaknya telah membangunkan Pusat Pemprosesan Kopi Perak di Tapah yang beroperasi sejak November tahun lalu.
Pusat itu katanya turut berperanan sebagai pusat pengumpulan kopi dari seluruh Perak.
“Kami merancang untuk mewujudkan beberapa lagi pusat pemprosesan serta hab pengumpulan di lokasi strategik pada masa akan datang bagi memastikan pengeluaran hasil dalam skala besar,” tambahnya.
PEMPROSESAN KOPI PERAK
Dalam pembangunan rantaian industri kopi, peranan penyedia perkhidmatan tempatan dalam pembelian dan pemprosesan biji kopi antara komponen penting bagi memastikan hasil tanaman menjadi produk akhir untuk dipasarkan kepada pengguna.
Bertanggungjawab mengendalikan operasi pemprosesan biji kopi di Pusat Pemprosesan Kopi Perak, Mohamad Syafiq Saad, 36, berkata penglibatannya dalam industri itu bermula selepas Jabatan Pertanian Perak mencari usahawan untuk membantu memproses kopi hasil pekebun di negeri berkenaan.

Data International Coffee Organisation menunjukkan Malaysia di tangga ketiga daripada 58 negara, dari segi pertumbuhan penggunaan kopi tertinggi pada 2021.
“Penubuhan pusat ini bukan sahaja membantu petani menjual hasil mereka, malah memastikan bekalan dapat diselaraskan untuk tujuan pemprosesan dan pembangunan industri secara lebih tersusun.
“Harga buah kopi segar ketika ini sekitar RM3 sekilogram dan boleh meningkat kepada kira-kira RM4 sekilogram apabila dihantar ke pusat pemprosesan, sekali gus memberi pulangan yang lebih baik kepada petani,” katanya.
Mengulas proses menghasilkan kopi, Mohamad Syafiq berkata proses bermula sebaik sahaja buah kopi segar diterima.
Buah kopi segar itu direndam antara satu hingga dua hari bagi melembutkan struktur buah, khususnya bagi varieti Liberica yang mempunyai kulit lebih tebal berbanding varieti lain seperti Arabica, katanya.
Beliau berkata buah kemudian diasingkan mengikut kualiti sebelum melalui proses pengupasan bagi mengeluarkan biji kopi daripada lapisan kulit menggunakan mesin sedia di pusat pemprosesan tersebut.
“Bagi Arabica, tempoh rendaman biasanya mengambil masa semalaman kerana buahnya lebih lembut, manakala Liberica memerlukan masa lebih lama sebelum boleh diproses ke peringkat seterusnya.
“Biji kopi yang telah dikupas seterusnya dikeringkan selama kira-kira seminggu bergantung pada keadaan cuaca sehingga mencapai kandungan lembapan sekitar 12 peratus atau kurang bagi memastikan kualitinya terjamin,” katanya.
Katanya, selepas melalui pengeringan, biji kopi berkenaan kemudiannya diproses menjadi “green bean”, iaitu peringkat asas sebelum melalui proses memanggang.
Untuk Liberica, proses pengeringan dan pemanggangan perlu dilakukan dengan lebih teliti kerana saiz bijinya lebih besar dan padat, sekali gus memerlukan kawalan rapi bagi memastikan kualitinya terjaga dengan baik, jelas beliau.
“Secara umum, proses keseluruhan rantaian daripada buah segar hingga proses memanggang mengambil masa sekitar tiga minggu bergantung pada keadaan cuaca dan pengurusan operasi, sebelum biji kopi berkenaan sedia melalui fasa seterusnya untuk dipasarkan sebagai produk akhir Kopi Perak,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad Syafiq berkata varieti Liberica yang menjadi fokus pembangunan Kopi Perak mempunyai kelebihan tersendiri yang membezakannya daripada varieti lain di pasaran.
Menurutnya, berbanding Robusta yang lebih pahit dan bersifat komersial atau Arabica yang lebih ringan dan berasid, Liberica menawarkan profil rasa lebih kompleks selain mengeluarkan aroma “fruity” seperti nangka dan nanas.
“Keunikan ini menjadikan Liberica sebagai kopi berpotensi tinggi dalam segmen premium atau ‘specialty coffee’, sekali gus memberi nilai tambah kepada pembangunan jenama Kopi Perak,” katanya, menambah cabaran utama ketika ini mendapatkan bekalan Liberica yang mencukupi, memandangkan industri itu sedang diperkasa oleh pihak berwajib.
PETANI KOPI
Bagi penanam kopi, Hazian Hamid, 65, penglibatannya bermula secara tidak dirancang selepas menerima cadangan serta bantuan benih daripada Jabatan Pertanian sekitar 2019, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.
“Sebelum menceburi tanaman kopi, saya hanya mengusahakan tanaman kelapa dan tidak mempunyai pengalaman dalam industri kopi, namun mengambil peluang tersebut sebagai usaha untuk meningkatkan penjanaan pendapatan dalam bidang pertanian.

Penanam kopi, Hazian Hamid, 65, memeriksa keadaan buah kopi di ladang miliknya di Kampung Padang Kota di sini, baru-baru ini.
“Usaha untuk menanam kopi ini juga menjadi lebih mudah kerana saya usahakan tanaman ini di atas tanah sendiri (Kampung Padang Kota, Pengkalan Hulu) yang berkeluasan tiga hektar, sekali gus memudahkan proses penjagaan serta pemantauan secara berterusan,” katanya.
Hazian yang merupakan anak jati kelahiran Hulu Perak, berkata dia menanam lebih 1,000 batang pokok kopi jenis Liberica di kawasan tersebut dan hingga kini hasil pengeluaran boleh mencecah antara 600 hingga 700 kilogram setiap pusingan tuaian.
“Pokok kopi ini ditanam daripada biji benih yang disemai. Lazimnya pokok mengambil masa tiga ke empat tahun untuk mengeluarkan hasil. Tempoh matang buah pula ialah tiga ke empat bulan, bermula daripada fasa berbunga hingga buah masak,” katanya, menambah dalam setahun dia dapat menuai tiga ke empat kali.
Mengulas kelebihan tanaman kopi, Hazian berkata pokok kopi sukar diserang penyakit selain lebih mudah diuruskan berbanding tanaman lain yang pernah ditanamnya.
“Keadaan itu memberi kelebihan kepada petani kerana tidak memerlukan kawalan intensif yang tinggi, selain menjadikan kos penjagaan lebih rendah dan lebih berdaya tahan dalam jangka panjang,” katanya yang mampu meraih sekitar RM3,000 setiap tuaian.
Pada masa sama, dia berharap industri kopi di negara ini dapat terus diperkukuh, khususnya dari segi kestabilan harga dan jaminan pasaran, bagi memastikan lebih ramai menceburi bidang ini, terutamanya di Perak, sekali gus memperkasa jenama Kopi Perak.