FOKUS BERNAMA

Bahasa Melayu: Daripada Lingua Franca Nusantara Ke Bahasa Dunia

06/05/2026 11:45 AM
Daripada Nurqalby Mohd Reda

Bahasa Melayu merupakan antara  bahasa yang memiliki sejarah panjang di Nusantara, berperanan sebagai lingua franca sejak lebih dua alaf  bermula zaman kerajaan Melayu Sriwijaya pada abad ketujuh Masihi.

Kedudukan bahasa itu kian kukuh selepas kedatangan Islam pada abad ke-13 Masihi, menyaksikan bahasa Melayu turut menjadi bahasa ilmu, dan ketika zaman kesultanan Melayu Melaka, terutamanya di zaman kegemilangannya pada abad ke-15, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi pentadbiran, perdagangan dan hubungan diplomatik.    

Hari ini, sekalipun ada yang melihat bahasa Melayu “terkurung” di rantau Asia Tenggara, realitinya bahasa itu dituturkan oleh kira-kira 290 juta orang di seluruh dunia.

Dalam konteks negara ini, selain statusnya sebagai bahasa kebangsaan, usaha mengangkat kembali bahasa Melayu ke persada antarabangsa kian giat dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu. Pun begitu, ada pihak menganggap bahasa itu tidak “layak” ke pentas dunia, selain ada juga yang “memperlekeh” penggunaannya dalam negara. 

 

BAHASA YANG MUDAH DITERIMA

Mengulas realiti kedudukan bahasa Melayu, Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia Dr Rozaimah Rashidin berkata bahasa itu telah tersebar secara meluas di seluruh dunia dan dituturkan bukan hanya di rantau Asia Tenggara.

“Penggunaan bahasa ini melangkaui sempadan Asia Tenggara dan antara negara yang ada dalam kalangan penduduknya berbahasa Melayu ialah Kepulauan Cocos (Keeling), Pulau Christmas di Australia serta di Afrika Selatan dan Sri Lanka.

“Kewujudan diaspora Melayu (perpindahan penduduk etnik Melayu dari wilayah asal mereka ke kawasan lain) turut memperkukuh penyebaran bahasa Melayu di peringkat global apabila bahasa ini digunakan oleh diaspora di pelbagai lokasi lain termasuk Arab Saudi (Makkah dan Madinah), Australia, United Kingdom, Jerman, Belanda dan Los Angeles,” katanya kepada Bernama.


Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia Dr Rozaimah Rashidin

Beliau berkata berdasarkan statistik semasa, bahasa Melayu (termasuk bahasa Indonesia) berada dalam kelompok 10 bahasa paling banyak dituturkan di dunia, dan dengan jumlah penutur melebihi 290 juta orang, bahasa itu juga muncul sebagai yang keempat paling banyak digunakan di platform digital dan media sosial di peringkat global.

“Justeru, popularnya bahasa Melayu di persada antarabangsa sememangnya tidak dapat disangkal lagi, malah semakin terserlah seiring dengan era globalisasi dan teknologi digital pada masa kini,’’ katanya.

Rozaimah yang juga pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA, berkata bahasa Melayu merupakan bahasa yang mudah dipelajari serta memiliki sistem tatabahasa tersusun, jelas dan tidak terlalu kompleks, sekali gus memudahkan penguasaannya dalam kalangan penutur asing.

Mengambil contoh situasi di Malaysia, beliau berkata kebanyakan pekerja asing yang datang dari negara seperti Bangladesh, Vietnam dan Nepal didapati mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik dalam tempoh singkat.

“Menurut Pendeta Za’ba (Tan Sri Zainal Abidin Ahmad), bahasa Melayu sangat lunak dan mudah lentur. Pernyataan itu membuktikan bahasa ini mudah dipelajari oleh sesiapa sahaja.

“Kerana itu, tidak hairanlah apabila berlakunya ledakan teknologi dan media sosial, ramai pencipta kandungan, pelancong dan pempengaruh yang bukan Melayu sangat cepat dan mudah untuk menggunakan bahasa Melayu dengan baik apabila mereka berkunjung ke Malaysia,” katanya. 

Selain itu, katanya,  perkembangan bahasa Melayu turut bergantung pada konsep “sikap bahasa” dalam kajian  linguistik, iaitu merujuk tanggapan, penilaian dan perasaan seseorang terhadap sesuatu bahasa, sama ada bahasa sendiri ataupun bahasa orang lain.


Konteks bahasa Melayu, keindahan dan kehalusan bahasa itu bukan sekadar terletak pada struktur kata, malahan juga pada nilai budaya.

Beliau berkata situasi itu bersifat psikologi, namun amat signifikan kerana mampu menentukan sama ada sesuatu bahasa itu akan terus hidup dan berkembang atau terpinggir dan pupus.

Tambahnya, dalam bidang sosiolinguistik, sikap bahasa lazimnya dibahagikan kepada  sikap positif dan sikap negatif.

 Sikap bahasa yang positif melibatkan kesetiaan terhadap bahasa sendiri, ada rasa bangga untuk menjadikannya sebagai lambang jati diri serta kesedaran untuk menggunakan bahasa dengan betul mengikut norma dan peraturan.

“Sebaliknya, sikap bahasa yang negatif pula dapat dilihat apabila seseorang menganggap bahasa sendiri sebagai ketinggalan zaman atau tidak mempunyai nilai ekonomi, terlalu mengagungkan bahasa asing sehingga meminggirkan bahasa sendiri atau tidak mengambil peduli terhadap kesalahan tatabahasa atau pencemaran bahasa seperti penggunaan bahasa rojak.

“Jika dikaitkan dengan situasi semasa, terdapat individu dari luar negara yang menunjukkan minat dan penghormatan terhadap bahasa Melayu, sekali gus mencerminkan sikap bahasa yang positif. Hal ini secara tidak langsung menimbulkan rasa kagum dan reaksi yang baik dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

 

DIPELAJARI SEBAGAI BAHASA ILMU

Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan data terkini, terdapat kira-kira 7,168 bahasa yang masih aktif dituturkan di seluruh dunia termasuk bahasa Melayu.

Rozaimah berkata penggunaan bahasa Melayu oleh warga asing ketika ini, terutamanya di negara China dan United Kingdom, membawa impak yang signifikan bukan sahaja terhadap martabat bahasa itu sendiri, malah turut memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi di negara ini.

Beliau berkata apabila warga asing mempelajari dan menggunakan bahasa Melayu, secara tidak langsung memperluas pengaruh budaya Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Misalnya di China terdapat universiti, antaranya Beijing Foreign Studies University (BFSU) dan Guangdong University of Foreign Studies yang menawarkan kursus ijazah dalam bahasa Melayu.

“Inisiatif ini telah melahirkan siswazah yang bukan sahaja fasih berbahasa Melayu, malah memahami sensitiviti budaya serta nilai masyarakat Melayu. Kumpulan ini seterusnya berperanan sebagai ‘duta kecil’ yang mempromosikan Malaysia melalui perspektif  lebih positif dan mendalam,” katanya.


Pengarah Pusat Pengajian Melayu China di Beijing Foreign Studies University (BFSU) Prof Dr Su Ying Ying.

Menurut beliau lagi, kewujudan pusat pengajian Melayu di luar negara termasuk School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London dilihat sebagai usaha berterusan dalam memastikan bahasa kebangsaan Malaysia ini terus berkembang sebagai bahasa ilmu di peringkat global.

SOAS merupakan institusi pendidikan utama di Eropah bagi pengajian Melayu, merangkumi bahasa, sastera dan budaya nusantara.

“Melalui penyelidikan yang dijalankan pula, sama ada berkaitan naskhah klasik Melayu ataupun kajian sosiolinguistik moden, bahasa Melayu  ini dilihat terus diperkasakan sebagai bahasa akademik yang dihormati di universiti bertaraf dunia.

“Tambahan pula, apabila ada usaha menterjemah karya sastera Melayu ke dalam bahasa lain seperti Mandarin dan Inggeris oleh para sarjana antarabangsa, secara tidak langsung membuka ruang yang lebih luas kepada khalayak global untuk mengenali khazanah sastera dan keindahan bahasa Melayu kita,” ujarnya.

Rozaimah berkata justeru, secara asasnya bahasa Melayu telahpun mencapai status sebagai bahasa antarabangsa dan bersifat global.

Namun begitu katanya, bahasa ini masih dalam fasa pengukuhan untuk benar-benar menyaingi bahasa dominan dunia, terutamanya bahasa Inggeris yang diiktiraf secara meluas sebagai lingua franca utama dunia.

 

BAHASA CERMINAN BUDAYA

Mengulas lebih lanjut, Rozaimah berkata bahasa sering diibaratkan sebagai cerminan budaya kerana melalui bahasa, terpancar nilai, pemikiran dan cara hidup sesebuah masyarakat.

Beliau berkata dalam konteks bahasa Melayu, keindahan dan kehalusan bahasa itu bukan sekadar terletak pada struktur kata, malahan juga pada nilai-nilai budaya yang terkandung di dalamnya.

Sehubungan dengan itu, apabila seseorang mempelajari bahasa Melayu, mereka sebenarnya sedang mendekati dan memahami budaya masyarakat Nusantara secara lebih mendalam.

Bagi orang asing yang mempelajari bahasa Melayu, proses itu dilihat berupaya membuka ruang untuk mereka menghargai nilai sopan santun yang menjadi teras dalam kehidupan masyarakat Melayu.

Keadaan itu katanya disebabkan oleh bahasa Melayu itu sendiri sarat dengan unsur kesantunan yang menitikberatkan kelembutan tutur kata serta kehalusan budi pekerti dalam berkomunikasi.

“Selain itu, mereka juga akan lebih memahami konsep-konsep penting seperti budi bahasa dan adab, yang menjadi asas dalam hubungan sosial masyarakat. Nilai-nilai ini bukan sahaja menentukan cara seseorang bertutur, malah turut mempengaruhi tingkah laku dan interaksi harian.

“Penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan warga asing bukan sahaja mengurangkan jurang perbezaan budaya dan rasa ‘asing’, malah turut mempercepat pembinaan kepercayaan dalam komuniti. Hal ini membuktikan bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga jambatan yang menghubungkan manusia merentasi latar budaya yang berbeza,’’ tambahnya.


Bahasa Melayu merupakan bahasa yang mudah dipelajari serta memiliki sistem tatabahasa tersusun, jelas dan tidak terlalu kompleks.

Pandangan senada turut disuarakan oleh Pengarah Pusat Pengajian Melayu China di BFSU Prof Dr Su Ying Ying yang ditemui pada Kem Interaksi Bahasa dan Budaya Belia China-Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Katanya keindahan budaya Melayu yang mendasari bahasa Melayu, menjadi antara faktor pendorong bahasa tersebut diterima secara terbuka dalam kalangan masyarakat di China.

Beliau berkata perkara tersebut dapat dilihat dengan jelas apabila ketika ini terdapat lebih 500 pelajar di 18 institusi pendidikan China yang sedang mengikuti pengajian bahasa Melayu di peringkat ijazah sarjana muda negara itu.

“BFSU adalah universiti terawal menawarkan jurusan (bahasa Melayu) ini, iaitu 1961, dan dengan itu membolehkan ia diiktiraf sebagai pusat pengembangan bahasa Melayu di China.

“Saya sendiri merupakan pelajar BSFU yang belajar bahasa Melayu selama empat tahun bermula 1994 sebelum terbang ke Malaysia untuk menyambung pengajian bahasa ini peringkat master (sarjana)  di UKM pada 2000 hingga 2001,” katanya.

Selain itu katanya, hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan China turut menjadi faktor penguat masyarakat di negara itu untuk mempelajari bahasa Melayu, yang bukan sahaja bagi tujuan pendidikan, malah memudahkan urusan komunikasi dalam bidang ekonomi dan perdagangan.

“Pelajar-pelajar BSFU sendiri mahu dekat dengan Malaysia. Mereka melihat Malaysia sebagai negara yang aman, ada makanan yang sedap serta kaya dengan pemandangan yang menarik.

“Sebagai dekan di universiti (BSFU)  ini juga saya galakkan pelajar untuk berkunjung ke sini… bukan sahaja boleh faham bahasa Melayu dengan cepat, tetapi juga dapat belajar budaya di sini,” katanya, menambah kebanyakan pelajar BSFU mengambil masa hanya dua tahun untuk fasih berbahasa Melayu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan