TINTA MINDA

5 STRATEGI JAYAKAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT (PKPB)

04/05/2020 12:52 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Dr. Haim Hilman

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pastinyamemberi 1001 kelegaan dan pada masa sama ada terdetik kebimbangan di hati rakyat.

Gembira kerana boleh kembali berkerja dan melakukan urusan harian walaupun tidak bebas sepenuhnya seperti sebelum penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

Kebimbangan pula ada asasnya kerana jika tidak cermat mematuhi arahan mencegah jangkitan virus itu, ia akan membawa kepada gelombang yang lebih teruk lagi ‘gila’. Pastinya ramai risau sama ada pasukan barisan hadapan masih bermaya atau tidak untuk mendepani gelombang kedua. Dan adalah menjadi harapan, jika ada, ia dalam jumlah kecil dan terkawal.

Sememangnya diakui bahawa kerajaan melakukan keputusan sukar apabilamelonggarkan syarat PKP terdahulu dengan mewujudkan PKPB. Namun, demi kelangsungan kehidupan rakyat dan negara termasuk dari sudut ekonomi setelah negara rugi kira-kira RM2.4 bilion sehari, kerajaan yang menghadapi dilema besar ini terpaksa membuat keputusan sukar.

Berikut dicadangkan lima strategi dengan harapan seluruh rakyat dan kerajaan dapat berkerjasama erat untuk memastikan PKPB ini berjaya dan akhirnya membebaskan negara daripada COVID19.

Strategi 1:Setiap rakyat berjiwa 'frontliners'

Strategi ini menuntut setiap rakyat mesti mengambil tanggungjawab memastikan dirinya mematuhi peraturan seperti dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam setiap aspek memerangi COVID19.

Rakyat perlu menjadi mata, telinga dan tangan kerajaan dalam memaklumkan kepada sesiapa sahaja di sekeliling mereka yang mereka lihat tidak mematuhi peraturan. Tegurlah dengan baik, berikan topeng penutup hidung dan mulut, jika ada lebihan, kepada yang tidak memilikinya.

Strategi 2: Setiap peniaga dan pasar raya menjadi 'penguat kuasa'

Strategi ini menuntut setiap peniaga, pasarraya dan pengilang serta semua pemilik perniagaan atau premis aktiviti perekonomian baik berurusan langsung dengan masyarakat atau pekerja, mereka wajib menjadi 'penguatkuasa' kepada pematuhan kebersihan seperti disarankan oleh KKM.

Mereka perlu menasihat semua pelanggan yang datang ke premis mereka mahupun pekerja mereka dengan memastikan berlakunya jarak sosial, memakai topeng penutup hidung dan mulut serta menggunakan 'hand sanitiser' yang disediakan. Setiap premis perniagaan sewajarnya berusaha melakukan tanggungjawab sosial ini dan kepada yang mampu sewajarnya mereka menyediakan 'hand sanitiser' dan lebih elok jika turut memberi topeng hidung dan mulut secarapercuma.

Strategi 3: Menggembleng NGO dan Sukarelawan COVID-19

Strategi ini mampu membantu pasukan keselamatan sedia ada yang pastinya mempunyai kekangan untuk mengawal keadaan apabila rakyat semakin bebas bergerak. Pertubuhan bukan kerajaan atau NGO atau sukarelawan wajar digerakkan ke kawasan-kawasan strategik atau tumpuan utama masyarakat.

Angkat mereka ini sebagai wira negara juga.

Mungkin boleh diberi kemeja-t dan topi khas untuk mencipta identiti sebagai barisan hadapan dalam membantu memerangi COVID19. Pasti ada NGO dan persatuan penduduk mahupun anggota masyarakat baik di bandar mahupun desa mahu menyumbang tenaga.

Strategi 4: Membangun aplikasi merekod perkembangan terkini COVID-19

Strategi ini berkaitan pembangunan aplikasi atau portal yang mempunyai segala maklumat berkaitan COVID 19 bagi mengukuhkan pendekatan sedia ada. Sebagai contoh, aplikasi dan portal ini akan sering mengemas kini jumlah kes baharu, kes pulih, kes berulang mahupun kes pesakit meninggal dunia selain maklumat penting yang lain. Perincian boleh dibuat berteraskan kepada lokasi klinik kerajaan atau hospital kerajaan atau bandar mahupun mukim yang mana membolehkan masyarakat setempat menyemak status terkini kawasannya.

Dengan kata lain, persatuan penduduk atau individu di kawasan itu boleh membuat semakan. Andaikan ada kes dilaporkan oleh klinik atau hospital berdekatan tempat tinggal mereka, pasti mereka akan lebih berhati-hati.

Aplikasi atau portal ini perlu sentiasa dikemaskini. Pastinya tidak sukar untuk membangunkannya kerana apa yang dilaporkan setiap hari oleh Ketua Pengarah Kesihatan adalah maklumat yang sama iaitu dikumpul dari seluruh negara. Baiknya aplikasi atau portal ia boleh dirujuk pada bila-bila masa.

Strategi 5: Menyedia talian ‘hotline’COVID19

Strategi ini untuk memberi peluang kepada masyarakat berkomunikasi dengan pegawai perubatan bagi mendapatkan khidmat nasihat berkaitan COVID19. Mereka yang bimbang, dalam proses pemulihan, kes berulang atau trauma akibat ada ahli keluarga meninggal kerana COVID19 boleh mendapatkan khidmat nasihat di talian ini.

Di samping itu, talian ini boleh juga menjadi talian untuk melaporkan kes-kes ketidakpatuhan masyarakat di satu-satu tempat tentang peraturan PKPB. Dengan kata lain,maklumat yang disalurkan boleh disampikan oleh perkhidmatan ini kepada pasukan keselamatan di kawasan berkaitan untuk memantau atau membuat siasatan.

Lima strategi di atas dijangka mampu membantu negara dalam memastikan gelombang kedua dapat dihalang dari berlaku. Namun, kejayaan pelaksanaan strategi ini bergantung kepada komitmen semua pihak.

Pastinya rakyat Malaysia yang bertanggungjawab akan memberi kerjasama penuh dan adalah menjadi harapan semua untuk melihat rakyat dan kerajaan sama-sama prihatin. Malaysia Boleh!

--BERNAMA

Prof Dr Haim Hilman merupakan profesor Pengurusan Strategik, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)