Penularan COVID-19 memberi kesan jangka pendek dan jangka panjang dalam pelbagai sektor sama ada kerajaan mahupun swasta. Sektor perniagaan dan sektor kesihatan menjadi pertaruhan dalam menangani isu virus ini. Pelbagai strategi dan pendekatan telah dijalankan oleh kerajaan di seluruh dunia secara amnya dan kerajaan Malaysia khususnya dalam menangani masalah ini. Keputusan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa diambil dalam jangkamasa tertentu bagi membantu sektor kesihatan terutamanya Kementerian Kesihatan (KKM) melawan virus ini.
COVID-19 juga memberi kesan kepada sektor pengguna, pengangkutan, restoran, pelancongan dan peruncitan. Penularan COVID-19 turut menjejaskan ekonomi negara-negara miskin yang mempunyai pesakit COVID-19 yang tinggi. Virus ini memberi kesan langsung kepada kehidupan individu disebabkan oleh halangan untuk pergi bekerja, diberhentikan kerja oleh majikan atau perniagaan terpaksa ditutup.
Sejak berlaku pandemik ini, COVID-19 telah melumpuhkan berjuta-juta orang yang mengakibatkan kejatuhan mendadak pasaran saham dan kejatuhan harga minyak dunia. COVID-19 memberi kesan kepada pekerja barisan hadapan terutamanya doktor, jururawat, pembantu perubatan dan anggota kesihatan yang lain. Virus COVID-19 sangat berbahaya kerana mudah tersebar hanya melalui titisan dari hidung atau mulut yang tersebar apabila seseorang yang dijangkiti COVID-19 batuk atau bersin.
Cabaran doktor gigi
Selain pakar bedah telinga, hidung, dan tekak (ENT), doktor gigi juga harus sedar tentang cabaran baharu atau normal baharu yang ditanggung untuk berhadapan dengan risiko penularan virus antara pesakit dan kakitangan kesihatan.
Doktor gigi melakukan prosedur kompleks secara rutin di rongga mulut. Penghasilan aerosol dan percikan semasa prosedur pergigian di rongga mulut daripada alat pergigian seperti skaler ultrasonik, handpiece berkelajuan tinggi serta alat semburan air mengandungi 100,000 microorganisma. Aerosol adalah partikel kecil yang bersaiz diameter kurang dari 50 mikrometer yang berada di udara dalam jangka masa yang panjang. Spatter pula adalah zarah udara yang lebih besar daripada 50 mickrometer.
Terdapat bukti bahawa aerosol pergigian dapat mencapai jarak 1 hingga 3 meter dari sumbernya. Sebaliknya, spatter mencapai jarak yang lebih pendek dan menetap dengan cepat. Aerosol gigi berasal daripada komponen air liur, rembesan nasofaring, plak, darah, komponen gigi dan sebarang bahan yang digunakan dalam prosedur pergigian. Aerosol (zarah dengan ukuran yang dapat diukur <10 mikrometer) mungkin kekal di udara untuk jangka masa yang panjang dan partikel besar (spatter) yang terbentuk akan berada di permukaan berdekatan.
Aerosol boleh berada di kawasan yang diduduki oleh anggota doktor gigi dan pasukan pergigian semasa rawatan pergigian. Aerosol dan percikan ini mungkin mengandungi agen berjangkit berasal dari pesakit atau peralatan pergigian yang menimbulkan ancaman kesihatan kepada doktor gigi, pesakit dan kakitangan yang berada dikeliling pesakit.
Utamakan pencegahan dan kawalan
Pepatah Arab ada menyatakan ‘mencegah adalah lebih baik daripada mengubati’. Konsep ini bersesuaian dengan saranan Nabi SAW yang bermaksud: "Jika kamu mendengar wabak di suatu wilayah, maka janganlah kalian memasukinya. Tapi jika terjadi wabak di tempat kamu berada, maka jangan tinggalkan tempat itu." (HR Bukhari) serta firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, bersiap sedialah kamu" (an-Nisâ’/4:71)
Semasa pandemik COVID 19, perkhidmatan kesihatan pergigian perlulah merancang rawatan pesakit dengan lebih teliti untuk mengelakkan pendedahan yang tidak perlu kepada pesakit yang dijangkiti. Jadual perkhidmatan rawatan perlu bergantung kepada keutamaan pesakit.
Ketika puncak wabak, operasi elektif seperti tampalan gigi, pengskalen, rawatan ortodontik, rawatan gigi palsu dan lain lain rawatan yang bukan kecemasan tidak boleh dilakukan kecuali dalam keadaan terdesak. Prosedur kecemasan yang tidak dapat ditunda hendaklah dilakukan dengan meminimumkan penggunaan alatan pergigian yang mengeluarkan aerosol yang tinggi. Waktu menunggu dan rawatan hendaklah dipendekkan. Penyaringan COVID 19 perlu dilakukan kepada pesakit sebelum rawatan dilakukan. Semasa pembedahan dilakukan kepada pesakit COVID-19, alat pelindung diri yang mencukupi sangat penting.
Langkah berjaga-jaga dan prosedur operasi standard hendaklah dipatuhi sebelum, semasa dan selepas rawatan pergigian dijalankan. Teknik pembersihan tangan yang betul, pemakaian alat pelindung (PPE) yang lengkap dan betul, pembersihan dan pemprosesan semula peralatan pergigian yang boleh digunakan semula dengan betul sebelum digunakan pada pesakit lain perlu dilakukan.
Penetapan polisi dan prosedur untuk kerja-kerja pembersihan rutin serta pembasmian kuman pada permukaan persekitaran di tempat penjagaan kesihatan pergigian mesti dilaksanakan. Penggunaan ubat kumuh sebelum prosedur pergigian dijalankan, penggunaan rubber dam, serta penggunaan penyedut volume tinggi (HVE) juga dapat membantu dalam pengurangan penyebaran aerosol.
Norma baharu
Norma baharu ini berlaku berikutan kesan penularan virus COVID-19 yang mudah merebak melalui udara, sentuhan dan air liur. Pelbagai kajian serta persiapan perlu dilakukan oleh pihak pergigian di bahagian kerajaan dan swasta.
Perancangan yang rapi juga perlu dilakukan oleh Fakulti Pergigian di Pusat Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mahupun Pusat Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang melahirkan doktor gigi, juruteknologi pergigian, jururawat pergigian serta pembantu pembedahan pergigian bagi memastikan keselamatan pesakit, pelajar-pelajar, pensyarah terjaga sepanjang pandemik COVID 19.
Semoga penularan COVID 19 dapat dibendung dengan baik oleh semua pihak, sama ada pihak kerajaan, petugas barisan hadapan serta rakyat Malaysia.
--BERNAMA
Dr Aspalilah Alias merupakan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)