Dalam temubual bersama Richard Quest dari CNN baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lantang mempertahankan rakyat Palestin serta mengecam Israel dan sekutu Baratnya yang membenarkan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Zionis sejak 7 Oktober 2023.
Anwar menegaskan pendirian moralnya untuk tidak menyokong keganasan dalam apa jua bentuk, termasuk sebarang pembunuhan terhadap mana-mana pemimpin politik, dan menyatakan kita harus mengambil pendirian moral yang tinggi dan konsisten dalam hal ini.
Setelah diprovokasi oleh Richard Quest yang menyatakan bahawa keganasan bermula dari tindakan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, Anwar menekankan bahawa perbincangan Barat sering mengabaikan konteks sejarah sebelum 7 Oktober 2023, termasuk penjajahan dan pengusiran yang telah dialami oleh rakyat Palestin selama berdekad-dekad.
Anwar kemudiannya mengaitkan konflik ini dengan perjuangan menentang penjajahan, sambil mengkritik hipokrasi media Barat yang hanya memfokuskan kepada tindakan keganasan terkini tanpa mempertimbangkan ratusan ribu kematian akibat penjajahan rejim Zionis sejak Nakba 1948, Shabra dan Shatila, Lubnan, Tebing Barat dan juga Gaza.
“Ini adalah perjuangan menentang penjajahan, perjuangan melawan perampasan hak. Bagi negara seperti Malaysia yang pernah dijajah, kita tahu apa itu anti-penjajahan, kita tahu tentang perjuangan menentang kuasa imperialis, jadi anda tidak boleh hanya bercakap tentang satu atau dua insiden yang mungkin kita tidak setuju, ini adalah hipokrasi” ujarnya.
Anwar juga menyatakan kebimbangannya terhadap sikap Barat yang seolah-olah menghalalkan pendudukan, serangan dan tindakan genosid oleh Israel.
Selain itu, beliau juga menyeru komuniti antarabangsa untuk mengambil pendirian moral yang konsisten bagi menghentikan semua bentuk keganasan dan ketidak adilan.
Begitupun, setelah tidak terlawan oleh hujah Anwar ini, Richard Quest tiba-tiba menanyakan soalan sama ada Anwar bersetuju atau tidak bahawa "Israel mempunyai hak untuk wujud dan Israel mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya" yang diakui oleh Anwar, kemudian sebelum sempat Anwar menjelaskan lebih lanjut terus Richard Quest beralih ke topik lain.
Kenyataan pendek ini, yang disunting tanpa menyertakan kecaman panjang lebar Anwar ke atas Israel dan sekutu Baratnya sebelum daripada itu, telah ditularkan dalam media sosial sekali gus menimbulkan reaksi negatif dalam kalangan sebahagian rakyat Malaysia.
Kenyataan pendek ini dimomokkan sebagai bercanggah dengan pendirian rasmi Malaysia mengenai isu Palestin selama ini sedangkan hakikatnya jawapan yang diberi sudah tepat.
Malaysia konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan diri daripada penjajahan, tetapi juga menekankan keperluan pendekatan yang realistik di pentas antarabangsa, termasuk menghormati perjanjian antarabangsa.
Kenyataan Anwar ini contohnya adalah selaras dengan Resolusi 242 (1967) dan Resolusi 338 (1973) yang diluluskan oleh PBB yang menyeru kepada pengunduran Israel dari wilayah yang diduduki dan pengiktirafan kewujudan semua negara di rantau tersebut.
Mengakui hak kewujudan Israel adalah sejajar dengan pandangan PBB dan pelbagai negara dalam usaha mencapai penyelesaian damai, seperti pelan Two-State Solution (Penyelesaian Dua Negara), di mana Israel dan Palestin diiktiraf sebagai dua entiti yang berdaulat.
Pendekatan ini menyeru agar Israel dan Palestin wujud sebagai dua negara yang bebas, aman dan saling menghormati.
Penyelesaian Dua Negara ini telah lama disokong oleh Perdana Menteri-Perdana Menteri terdahulu dan ia telah menjadi sebahagian dasar luar Malaysia.
Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menjadi Perdana Menteri contohnya pernah menyatakan pada 15 Mei 2021 bahawa Malaysia menyokong penyelesaian yang adil dan saksama ke atas isu Palestin melalui Penyelesaian Dua Negara berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967.
Sejak menjadi Perdana Menteri, Anwar paling lantang dan paling banyak berusaha menangani keganasan dan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin ini, termasuk seruan terbarunya dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam pada 11 November lalu supaya Israel dikeluarkan atau digantung dari PBB.
Anwar bernasib baik kerana tidak termasuk ke dalam perangkap untuk menolak hak Israel untuk wujud atau mempertahankan diri yang akan memberi implikasi negatif besar, termasuk:
• Diplomatik: Malaysia akan kehilangan kredibiliti di pentas antarabangsa, khususnya dalam kalangan negara yang menyokong penyelesaian damai melalui rundingan.
• Ekonomi: Keyakinan pelabur antarabangsa mungkin terjejas kerana sikap yang dilihat terlalu konfrontasi boleh menjejaskan kestabilan geopolitik rantau.
• Geopolitik: Ia boleh mengasingkan Malaysia daripada perbincangan global, termasuk sokongan terhadap Palestin yang memerlukan kerjasama dengan pelbagai pihak.
Oleh itu, pengkritik Anwar perlu bersikap adil dan menilai kenyataannya dalam konteks keseluruhan temubual.
Anwar dengan jelas mengutuk keganasan serta menekankan perjuangan menentang penjajahan dan keperluan untuk keadilan sejagat. Kenyataannya mencerminkan usaha beliau mengekalkan prinsip moral sambil menyesuaikan dasar luar negara dengan cabaran dan tuntutan geopolitik global yang kompleks.
Tambahan pula, perlu difahami bahawa temubual sebegitu adalah bersikap konfrontatif. Dapat dilihat juga bagaimana Anwar diasak kerana membawa Malaysia menyertai BRICS yang didakwa menjadi semakin tidak relevan tetapi Anwar menjawabnya dengan baik.
Tidak ramai pemimpin Malaysia dan pemimpin dunia yang berani bersemuka begini jadi kita perlu berbangga dengan keberanian Anwar dan tidak terikut-ikut dengan strategi pihak tertentu.
Menariknya, dalam temubual tersebut, Richard Quest ada menekankan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia yang stabil dan kukuh di bawah pentadbiran Anwar.
Anwar menyatakan bahawa kestabilan ini adalah hasil dasar-dasar kerajaan yang jelas, keberkesanan tadbir urus dan usaha bersungguh-sungguh untuk membanteras rasuah. Malangnya ini pula tidak mendapat liputan meluas.
-- BERNAMA
Dr. Muhammad Fuad Othman adalah Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS) merangkap Pengarah Pusat Asasi Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM)