Ketika China mengesan kes jangkitan pertama virus corona yang tidak dikenali pada 17hbNovember 2019, tiada siapa pun yang menyangka wabak ini akan menjadi pandemik yang akan melumpuhkan aktiviti satu dunia.
Setakat 10 Mei lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan sejumlah 3,917,366 orang dijangkiti di 215 negara dan wilayah melibatkan 274,361 kes kematian.
Aktiviti sosioekonomi terpaksa dihentikan sementara demi menjaga kesihatan dan nyawa penduduk bumi, tidak terkecuali di Malaysia.
Penularan virus dinamakan Novel Coronavirus 2019 atau COVID-19 ini menyebabkan masyarakat terpaksa menyesuaikan diri dengan norma kehidupan baharu. Golongan pekerja diberi cuti atau bekerja dari rumah manakala para pelajar tidak dibenarkan hadir ke sekolah.
Hanya barisan hadapan dikecualikan daripada perintah berkurung atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penyebaran dan memutuskan rangkaian ‘musuh’ yang tidak terlihat dek mata kasar ini.
Ketika semua pihak terkesan dengan kesempitan ekonomi akibat pelaksanaan PKP mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), fokus masyarakat lebih terarah kepada kebajikan pekerja swasta, penjawat awam, perusahaan besar dan peniaga kecil.
Kelangsungan hidup institusi pendidikan dan asuhan kanak-kanak agak terkebelakang.
Operasi terjejas
Agak malang apabila sebilangan anggota masyarakat, khususnya ibu bapa tidak melihat satu keperluan untuk membayar yuran kerana anak-anak tidak dihantar ke tadika atau taska sepanjang tempoh PKP.
Mereka beranggapan boleh mengabaikan terus pembayaran yuran pendidikan tanpa perlu memberhentikan anak mereka dari pusat tersebut.
Ibu bapa terlibat seolah-olah tidak melihat kepentingan kelangsungan hidup tadika atau taska sebagai pusat institusi pendidikan awal yang sebenar sebaliknya sekadar tempat anak ‘bermain-main’ sahaja menjadikan mereka begitu berkira untuk menjelaskan yuran.
Mereka berhujah dengan alasan pengusaha tadika swasta mendapat pelbagai insentif daripada kerajaan seperti Program Subsidi Upah (PSU), Program Pengekalan Pekerjaan (ERP), Geran Khas Prihatin (GPK), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) atau kemudahan pinjaman perniagaan tanpa faedah.
Malah ada yang membandingkannya dengan tabika dan taska kerajaan yang mengecualikan yuran bulanan. Apa yang kurang difahami oleh ibu bapa terlibat ialah tadika dan taska dikelola oleh kerajaan kurang berdepan masalah kos kerana kerana hampir semua urusan pentadbiran dan operasi itu ditanggung.
Berbeza dengan tadika dan taska swasta merasakan bahawa PKP di musim COVID-19 ini ibarat duri dalam daging kerana semuanya terpaksa ditanggung sendiri. Segala kos terutama operasi dan pengurusan bergantung kepada yuran pelajar semata-mata.
Pengusaha dalam dilema
Tenaga pengajar harus dibayar gaji dan sewa bulanan perlu dijelaskan manakala bil elektrik, air, sewaan penapis air dan udara serta kos sampingan lain masih perlu diselesaikan.
Tambahan pula, pakej bantuan yang diumumkan kerajaan itu bukanlah layak diterima oleh semua pengusaha tadika dan taska. Jika layak memohon sekalipun belum tahu bila akan diperolehi sedangkan PKP sudah bermula sejak 18 Mac lalu.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengumumkan, sehingga Khamis lalu (7 Mei) sejumlah 278,505 permohonan diterima melibatkan 2.24 juta pekerja sejak insentif PSU dibuka pada 1 April 2020.
Bagi ERP pula, Perkeso menerima 33,264 permohonan majikan membabitkan 296,718 pekerja. Persoalannya, berapa lama harus ditunggu untuk mendapat keputusan PSU dan ERP dan jika lulus, bila pengusaha tadika dan taska akan mendapat bantuan tersebut?
Inilah dilema yang dihadapi pengusaha tadika. Isu yang enggan difahami sesetengah ibu bapa sedangkan sebahagian besar daripada mereka masih menerima gaji penuh daripada majikan masing-masing, mendapat insentif BPN serta menerima pula manfaat moratorium penangguhan pembayaran balik pinjaman untuk kenderaan atau kediaman.
Bagi sesetengah tadika dan taska, pengusaha tiada pilihan melainkan terpaksa menanggung segala kos operasi dari poket mereka sendiri sepenuhnya. Apa lagi membabitkan tadika atau taska yang belum berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau tidak mendaftarkan pekerja dengan Perkeso, bagi melayakkan tuntutan PSU, ERP atau GPK.
Kemungkinan gulung tikar
Bagi yang tidak berkemampuan, berkemungkinan besar jalan praktikal bagi mereka adalah menutup tadika dan taska apabila tidak mendapat sokongan ibu bapa.
Lebih membimbangkan, trend pemberhentian dan pengecilan operasi tadika dan taska ini semakin ketara sejak awal Mei. Banyak pengusaha tadika dan taska meluahkan di media sosial terutama di Facebook tentang tidak mampu lagi bertahan sudah atau bakal menutup tadika dan taska.
Rata-rata menyatakan ketidakupayaan menangung kos terutama sewa premis dan bayaran gaji sebagai faktor utamanya.
Oleh itu, pada pandangan pihak institusi, memandangkan pelajar tidak dikeluarkan oleh ibubapa, yuran bulanan mestilah dijelaskan seperti biasa. Apa lagi PKP bukan bermakna operasi pusat pendidikan awal kanak-kanak tersebut telah terhenti sepenuhnya.
Rata-rata tadika misalnya, para guru telah mengadaptasi aktiviti pembelajaran secara online.
Ada yang memanfaatkan penggunaan teknologi persidangan video menggunakan platformseperti Google Classroom, WhatsApp, Cisco Webex, Zoom atau Room@Synctop untuk menjalankan aktiviti yang disusun mengikut pelan pembelajaran, pengagihan kerja rumah menggunakan ‘worksheet’ dan tayangan video di YouTube. Semua ini mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing dari sudut pedagogi.
Ada sebilangan pengusaha taska pula menganjurkan seminar ‘live’ di Facebook yang membicarakan isu pendidikan dan jagaan anak-anak buat tontonan ibu bapa di rumah.
Atasi kemelut dengan persefahaman, empati
Persoalan yuran pelajar dan kos pengusaha ini memerlukan kefahaman kedua-dua pihak dan untuk menyelesaikan kemelut ini, perlu ada timbang rasa daripada kedua-dua pihak.
Ibu bapa perlu ada ihsan (empati) terhadap pusat pendidikan kerana masih ada kos pengurusan berjalan seperti biasa walaupun ditutup akibat PKP ini. Pada masa sama, pengusaha tadika perlu memahami bahawa mereka perlu mencari jalan alternatif untuk memberi perkhidmatan sewaktu krisis global ini.
Di sebalik isu yang belum ada penyelesaian itu, pujian juga harus diberikan kepada sebahagian lagi ibu bapa yang memahami dan tidak teragak-agak membayar yuran.
Meskipun sering terpaksa menemani anak ketika belajar secara online, ibu bapa prihatin ini dapat meluangkan masa berkualiti dan berpeluang memahami proses pembelajaran anakanak.
Pada masa sama, mereka juga telah menyampaikan rezeki Allah kepada para guru dan pengasuh melalui `tangan’ mereka selain membantu kelangsungan hidup tadika dan taska.
Sebenarnya, wujud satu ikatan tidak bertulis di antara ibu bapa dan pihak institusi Pendidikan dan pusat jagaan kanak-kanak walaupun operasi pusat berkenaan dihentikan sementara operasi sepanjang PKP ini. Selagi anak-anak masih menjadi pelajar di pusat tersebut, ibubapa masih perlu membayar yuran.
Tambahan pula, PKP ini bersifat sementara, ibu bapa masih perlu menghantar anak ke tadika dan taska manakala pengusaha pula masih perlu membuka semula insitusi mereka selepas pandemik COVID-19 berakhir nanti, Insya-Allah.
-- BERNAMA
Chahaya Abdul Manan merupakan aktivis Pendidikan Awal Usia dan Pengerusi Pertubuhan Penggalak Membaca Malaysia (PPMM)