TINTA MINDA

PENTINGNYA MEMATUHI GARIS PANDUAN KAWAL PENULARAN COVID-19  

21/05/2020 07:40 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Dr. Ahmad Rasdan Ismail

Malaysia kini dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) COVID-19. Pelbagai inisiatif diambil oleh pihak kerajaan bermula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hinggalah sekarang ini dalam mengekang penularan wabak ini di Malaysia.

Sepanjang tempoh PKP ini, ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat tidak tepat berkaitan kaedah kawalan bagi mengekang COVID-19 di negara ini. Justeru, semua pihak haruslah merujuk kepada garis panduan yang dikeluarkan kerajaan dan pihak berkenaan sahaja.

Garis Panduan Kawalan COVID-19

Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) sejak awal lagi mengeluar dan mengedarkan Garis Panduan Pengurusan COVID-19 di Malaysia Edisi ke 5 bertarikh 25 Mac 2020 bagi tindakan dan tanggungjawab semua pengurusan fasiliti kesihatan di Malaysia. Garis panduan setebal 242 muka surat ini mengandungi semua maklumat berkenaan virus itu serta strategi dan prosedur lengkap kendalian dan kawalan COVID-19 yang perlu dilaksanakan oleh semua pihak terutamanya pengurusan pihak hospital dan klinik di Malaysia.

Lampiran 25 dalam garis panduan ini menyenaraikan secara umum mengenai kendalian kawalan COVID-19 di tempat kerja, yang boleh digunakan oleh majikan dan warga Malaysia sebagai tatacara asas dalam kawalan dan pencegahan penularan wabak COVID-19 di tempat kerja dan juga di rumah masing-masing. Secara khususnya, lampiran ini merangkumi etika kebersihan individu dan pernafasan, tatacara kebersihan tangan, etika pernafasan, tatacara pemakaian topeng pembedahan dan tatacara disinfeksi atau basmi kuman. Ia turut menggariskan tatacara penjarakan sosial di tempat kerja, penjarakan sosial individu dan keluarga di rumah, penjarakan sosial di sekolah dan pusat penjagaan serta penjarakan sosial untuk kemudahan warga tua dan perlu bantuan.

Garis panduan ini turut menekankan pentingnya semua warga Malaysia mengikuti setiap langkah dan nasihat yang diberikan dari semasa ke semasa oleh pihak KKM berkaitan pencegahan penularan COVID-19. Memandangkan kerajaan melaksanakan dasar bekerja dari rumah sepanjang tempoh PKP ini, adalah wajar agar semua pihak mengamalkan tatacara pengurusan COVID-19 berdasarkan garis panduan ini demi memastikan Malaysia dapat bebas daripada ancaman COVID-19.

Kawalan di rumah

Panduan asas kepada COVID-19 bagi individu dan di rumah adalah melalui amalan kebersihan yang berterusan. Etika kebersihan individu yang perlu diamalkan adalah dengan tatacara menjaga kebersihan tangan iaitu dengan menanggalkan semua perhiasan di jari dan tangan sebelum membasuh tangan. Tangan perlu dibasuh dengan menggunakan air mengalir dengan menggosok dan meratakan keseluruhan permukaan tangan menggunakan sabun ataupun pembersihan tangan berasaskan alkohol dengan air bersih. Proses pencucian tangan ini perlu dijadikan amalan yang berterusan iaitu sebaik sahaja individu mula memasuki rumah masing-masing sama ada selepas kembali dari kerja mahupun selepas aktiviti riadah dan berkebun.

Kebersihan merangkumi keseluruhan peralatan di rumah selain tubuh badan individu. Ini boleh dilakukan melalui kerja-kerja pencucian berterusan di rumah masing-masing dan juga meningkatkan kebersihan diri dengan meningkatkan kekerapan mandi. Beberapa kajian saintifik menunjukkan bakteria mudah membiak pada permukaan kulit yang lembap dan basah dengan perpeluhan. Jika keadaan ini berlaku, maka ia boleh membawa potensi ancaman biologi seperti penyebaran bakteria dan virus serta dan merebak di rumah. Individu juga perlu sentiasa membawa pembersih tangan berasaskan alkohol dan memakai topeng hidung dan mulut terutamanya semasa mengunjungi tempat-tempat berisiko ancaman biologi seperti di tempat-tempat awam atau ketika berdekatan individu berkaitan bergejala selsema dan batuk.

Semasa di rumah, individu disarankan mengikuti saranan kawalan secara pentadbiran daripada Majlis Keselamatan Negara, KKM serta hebahan semasa Kerajaan.

Kawalan di tempat kerja

Seiring dengan perkembangan PKPB, beberapa garis panduan kawalan dibangunkan oleh beberapa universiti seperti Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaysia Kelantan serta jabatan penguatkuasaan di Malaysia. Selain itu, Prosedur Kerja Selamat Pencegahan COVID-19 di Tempat Kerja diterbitkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia manakala Garis Panduan Disinfeksi diterbitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Kebanyakan tatacara kebersihan yang perlu diamalkan di pejabat adalah dengan memastikan kebersihan permukaan meja kerja, ruang kerja, tombol pintu, pemegang pintu dan ruang guna sama berada dalam keadaan yang baik. Ini boleh dilaksanakan melalui kerja-kerja spencucian dengan menggunakan sabun pembasmi kuman dengan pencairan kepekatan alkohol sekurang-kurangnya 70 peratus dan air. Setiap bancuhan yang digunakan perlu digunakan sekali kekerapan sahaja dan juga memastikan peluntur rumah tangga yang digunakan masih belum tamat tempoh gunanya.

Majikan juga perlu mewajibkan pemeriksaan suhu badan kepada setiap warga kerja merangkumi pekerja-pekerja kontrak bagi setiap kali mereka ini memasuki tempat kerja. Antara beberapa kawalan proaktif juga dilaksanakan oleh pihak majikan adalah dengan mengadakan terowong sanitasi seperti yang diguna pakai di beberapa tempat kerja dan pusat beli- belah. Bagaimana, secara saintifiknya keberkesanan terowong sanitasi belum boleh disahkan memandangkan ujian dan kajian lanjut berkaitan aspek pengudaraan seperti tekanan udara, perolakan udara, pengiraan keseluruhan bakteria dan virus perlu dilaksanakan terlebih dahulu selaras dengan Tataamalan Industri Kualiti Udara Dalaman 2010 dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia.

Patuhi arahan

Adalah menjadi harapan dan tanggungjawab kita semua warga Malaysia agar dapat melaksanakan langkah pencegahan COVID-19 terutamanya dalam meneruskan penjarakan sosial, memakai topeng hidung dan mulut serta menjaga kebersihan diri. Majikan pula perlulah mengguna pakai prosedur berkenaan mengikut keperluan di tempat kerja masing-masing sepanjang tempoh PKPB.

Rakyat Malaysia cukup beruntung kerana Kerajaan telah mengambil segala langkah pencegahan COVID-19 yang jauh lebih terkehadapan berbanding beberapa negara maju lain di dunia.

Penghargaan yang tinggi wajar diberikan selama ini kepada pihak pekerja barisan hadapan yang sanggup berkorban dan bertungkus lumus melaksanakan amanah demi memastikan wabak ini dapat dicegah, dirawat dan dikekangkan daripada menular di Malaysia.

Pastikan kita akan menang!

--BERNAMA

Prof Dr Ahmad Rasdan Ismail ialah Pengarah dan Profesor di Pusat Pengurusan Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Universiti Malaysia Kelantan

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)