Oleh Dr. Shahrina Ismail & Dr. Sharifah Fairuz Syed Mohamad
Bagi umat Islam di seluruh dunia, Ramadan merupakan bulan suci di mana amalan berpuasa merupakan satu daripada lima Rukun Islam. Ramadan adalah bulan kesembilan dalam kalendar lunar di mana kira-kira satu setengah bilion umat Islam menahan diri daripada makan dan minum bermula dari waktu subuh sehinggalah senja selama 12 hingga 20 jam bergantung kepada musim dan lokasi.
Malangnya, pada tahun ini umat Islam berdepan dengan ancaman pandemik COVID-19 yang menyaksikan mereka melakukan ibadah berpuasa dalam keadaan serba baharu.
Tradisi dan tingkah laku norma sepanjang Ramadan seperti berbuka puasa atau iftar dan solat sunat Tarawih secara beramai-ramai dilarang kerajaan bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai penjarakan sosial. Amalan tradisi dengan kembali ke kampung halaman untuk bersama-sama keluarga terdekat pada bulan suci ini juga dilarang sama sekali.
Norma baharu
Berikutan pandemik ini, ramai umat Islam di seluruh dunia membangkitkan persoalan sama ada norma baharu kini wujud dalam kalangan umat Islam?
Bagi menerokai persoalan ini, tinjauan dilakukan pada minggu kedua dan ketiga Ramadan dalam kalangan 554 umat Islam di Malaysia untuk memahami kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 terhadap sambutan bulan suci Ramadan di Malaysia termasuk faktor-faktor yang mungkin terjejas susulan wabak tersebut.
Dapatan tinjauan itu menunjukkan sebanyak 72.92 peratus umat Islam merasakan wujud perbezaan antara berpuasa pada tahun-tahun sebelumnya berbanding tahun ini. Sebanyak 68.59 peratus umat Islam pula menyatakan bahawa mereka terjejas dengan penutupan masjid di wilayah mereka. Namun, dari sudut positif, arahan penutupan masjid itu menyaksikan 81.58 peratus umat Islam menyatakan bahawa mereka dan ahli keluarga dapat mengerjakan solat Tarawih berjemaah di rumah pada Ramadan kali ini.
Ramadan kali ini juga memberi peluang ideal kepada umat Islam untuk berhubung rapat dengan orang terdekat dan tersayang. Cara ini membolehkan mereka mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mengamati etika dan akhlak Islam dengan lebih mendalam. Ini dilihat daripada tanggapan sebanyak 91.69 peratus umat Islam yang menyatakan bahawa mereka mempunyai lebih banyak masa untuk menumpukan perhatian kepada aktiviti keagamaan seperti berzikir, membaca Al-Quran serta menunaikan solat sunat susulan pelaksanaan PKP.
Pilihan dalam talian
Antara momen mencabar lain yang dihadapi oleh umat Islam dalam menghadapi wabak COVID-19 adalah penutupan bazar Ramadan di seluruh negara. Sebanyak 98.01 peratus responden Muslim bersetuju bahawa pembatalan bazar perlu dilakukan untuk melandaikan keluk penularan virus dan memutuskan rantai jangkitan wabak ini.
Bagi mengatasinya, netizen mewujudkan media sosial untuk membantu peniaga kecil menjual secara dalam talian. Dari tinjauan tersebut, sebanyak 44.04 peratus responden memilih untuk menggunakan media sosial seperti WhatsApp, Telegram, Instagram dan Facebook untuk membeli makanan iftar dan sahur. Sebanyak 23.28 peratus pula menggunakan aplikasi penghantaran makanan seperti DeliverEat, Foodpanda dan GrabFood diikuti sebanyak 5.95 peratus yang memilih untuk menggunakan aplikasi e-bazaar seperti PLATS, Getmakan, aBAZARA dan Ganushop.
Pembayaran zakat fitrah tahun ini turut menyaksikan semua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) di Malaysia mengoptimumkan kaedah pembayaran zakat secara dalam talian untuk membolehkan pembayar melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih cepat dan, yang paling penting, lebih selamat. Bagaimanapun, hanya separuh daripada responden iaitu 51.26 peratus menyatakan bahawa mereka lebih suka membayar zakat fitrah menggunakan platform dalam talian seperti e-Zakat semasa pandemik COVID-19 berbanding dengan membayar di kaunter seperti sebelum ini.
Situasi ini kerana tidak semua orang tahu menggunakan teknologi maklumat dan Internet terutama golongan warga emas. Kaedah pembayaran zakat fitrah yang paling digemari tahun ini adalah melalui perbankan Internet (43.6 peratus) diikuti menerusi laman web Lembaga Zakat negeri (39.4 peratus) dan melalui kaunter pemacu (13 peratus). Namun, MAIN di negeri-negeri tertentu mengumumkan bahawa umat Islam juga boleh memilih untuk membayar zakat fitrah mereka melalui kaunter bergerak di masjid-masjid tertentu pada minggu terakhir Ramadan terutama bagi mereka yang tidak dapat melakukannya secara dalam talian.
Amalan berpuasa Ramadan semasa pandemik COVID-19 sememangnya berbeza namun, jika dilihat dari sisi positif, banyak membantu umat Islam dalam pelbagai perkara. Mereka dapat menumpukan lebih perhatian kepada erti sebenar Ramadan, mengurangkan pembaziran makanan dan mengeratkan ikatan kekeluargaan.
Ramadan kali ini pasti dikenang pada masa hadapan. Semoga nilai-nilai baik yang diterapkan dalam kehidupan seharian sepanjang bulan mulia ini berterusan sehingga kita bertemu pada Ramadan berikutnya.
--BERNAMA
Dr. Shahrina Ismail dan Dr. Sharifah Fairuz Syed Mohamad merupakan pensyarah kanan di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)