Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyediakan pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan penularan wabak virus COVID-19 dapat dikawal terutamanya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mana sebahagian besar aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan beroperasi.
SOP ini disediakan untuk memastikan penularan pandemik COVID-19 terus berada pada tahap yang rendah untuk membendung penularanya. Dalam membangunkan SOP berkenaan, MKN mengambil kira pelbagai norma baharu yang melibatkan pengendalian aktiviti sektor berkenaan dan kehidupan harian rakyat.
Jadi amalan
Norma baharu terbentuk hasil tatacara kehidupan yang dilalui sepanjang PKP dan pasca PKP.
Penjarakan sosial dan kekerapan membersihkan tangan yang diamalkan ketika ini bukanlah sesuatu yang asing kini kerana masyarakat menjadikannya sebahagian daripada amalan sepanjang pelaksanaan PKP. Pemakaian penutup hidung dan mulut turut mengingatkan supaya mematuhi langkah-langkah pencegahan untuk membendung penularan wabak ini.
Ini merupakan budaya kehidupan yang baharu yang mungkin kekal sehinggalah penemuan vaksin bagi mencegah virus ini. Masyarakat nampaknya tidak mengeluh dan selasa menjalani norma baharu ini kerana menyedari tentang kepentingannya dalam menjaga kesihatan diri dan keluarga.
Setiap individu dan majikan perlulah memastikan SOP berkenaan sentiasa dipatuhi demi kesejahteraan dan keselamatan semua.
Awasi ancaman COVID-19
Walaupun kes jangkitan COVID-19 yang baru menunjukkan penurunan namun, ia masih belum berada di paras yang stabil. Secara umumnya, COVID-19 masih lagi merupakan ancaman yang besar kepada negara sekiranya SOP yang ada tidak dipatuhi.
China, Korea Selatan dan Singapura yang turut melonggarkan perintah berkurung di negara masing-masing tetap mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan gelombang kedua jangkitan virus itu tidak berlaku. Gelombang kedua akan berlaku sekiranya penularan jangkitan baru gagal dikawal.
Oleh itu, kerajaan kita sentiasa berwaspada dengan kelonggaran yang diberikan semasa PKPB dengan memastikan penguatkuasaan dilaksanakan. Pasukan Petugas Operasi Pematuhan SOP dibentuk untuk memantau dan menguatkuasakan pematuhan arahan ini selain kerajaan terus menerus menasihatkan dan menggalakkan orang ramai supaya turut memainkan peranan sama termasuk dengan memperkenalkan aplikasi MySejahtera.
MySejahtera membantu dalam pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri. Pada masa yang sama, ia membantu Kementerian Kesihatan (KKM) mendapat maklumat awal untuk mengambil tindakan yang cepat dan berkesan.
Langkah-langkah ini dilihat amat wajar kerana kerajaan bersama-sama barisan hadapan mahu memutuskan rantaian penularan wabak ini. Sekiranya ini tidak berlaku seperti mana di Itali dan Amerika Syarikat, pasukan barisan hadapan pasti menghadapi tekanan tinggi. Justeru, hargailah pengorbanan barisan hadapan dengan menjadi rakyat bertanggungjawab yang mematuhi SOP ditetapkan.
Patuhi SOP semasa perayaan
Oleh yang demikian, menjelang perayaan Aidilfitri, Hari Gawai atau Pesta Keamatan tidak lama lagi, setiap individu perlulah memainkan peranan utama dalam memastikan pematuhan SOP dan melaksanakan norma baharu dengan penuh tanggungjawab.
Sentiasalah saling ingat mengingati tentang amalan yang perlu dilakukan. Jangan sesekali memandang remah norma kehidupan baharu ini kerana akibat satu individu, ramai ahli keluarga boleh dijangkiti virus itu tanpa disedari.
Patuhilah peringatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 Mei 2020 – hadkan mereka yang berziarah pada hari pertama perayaan dari negeri sama kepada 20 orang sahaja pada satu-satu masa. Namun, sebaik-baiknya kekallah berada di rumah agar keselamatan diri sendiri, keluarga dan jiran tidak tergegas terutama bagi mereka yang telah berusia atau mempunyai masalah kesihatan.
MKN juga mengingatkan bahawa keadaan boleh menjadi tidak terkawal sekiranya terdapat ramai orang pada satu-satu masa di satu kawasan kerana ia mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan. Lebih-lebih lagi dalam ruangan yang rapat atau tertutup seperti di ruang tamu atau di dalam rumah tanpa peredaran udara yang baik.
Perlulah diingatkan bahawa sepanjang perayaan setiap individu perlu mengamalkan amalan kebersihan yang tinggi dan langkah-langkah pencegahan berikut:
Kerap membasuh tangan dengan air dan sabun selama 20 saat atau menggunakan bahan pencuci tangan yang berasaskan alcohol (kandungan alkohol sekurang-kurangnya 60%).
Penjarakkan sosial sekurang-kurangnya 1 meter (3 kaki).
Elakkan dari bersalaman ketika pendemik ini kerana virus ini boleh tersebar dengan bersalaman dan seterusnya menyentuh mata, hidung dan mulut.
Amalkan etika batuk dan bersin dengan betul. Tutup mulut dan hidung dengan menggunakan tisu bersih atau menutup mulut dengan bahagian atas lengan. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah serta merta dan cucilah tangan dengan bersih.
Bersihkan peralatan makanan dan minuman yang telah digunakan dengan air dan sabun.
Bersihkan permukaan yang kerap disentuh seperti pemegang pintu atau tingkap, meja makan, alat kawalan jauh televisyen atau lengan kerusi dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci nyahkuman permukaan yang sesuai bagi mengelak kerosakan pada permukaan alatan.
Digalakkan memakai penutup hidung dan mulut kerana agak sukar melakukan penjarakkan sosial ketika melayani tetamu atau berkunjung.
Mengelak sebarang bentuk perhimpunan seperti rumah terbuka atau majlis kenduri ketika perayaan.
Tinggal di rumah dan jangan berkunjung atau keluar rumah sekiranya mempunyai gejala walaupun sedikit seperti pening, demam ringan atau berkemungkinan ada kontek rapat dengan individu yang positif. Bersabarlah kerana anda telah melakukan tindakan yang betul.
Dapatkan rawatan awal sekiranya ada mengalami gejala seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas.
Pastinya ramai yang mahu menyambut perayaan masing-masing dengan meriah. Satu kaji selidik menunjukkan hampir tiga perempat atau 74 peratus netizen memilih untuk beraya sesama keluarga di dalam rumah sahaja tanpa melibatkan orang luar manakala 25 peratus pula memilih keluar dari rumah dan bersedia menerima tetamu.
Ingatlah, pematuhan SOP dan amalan kebersihan yang tinggi perlu diutamakan. Kerajaan mempertimbangkan banyak faktor untuk memberi kelonggaran PKP. Oleh itu, marilah kita menjadi rakyat yang bertanggungjawab dengan memainkan peranan masing-masing demi menjamin kesejahteraan dan melindungi diri sendiri dan keluarga tersayang.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Normaliza Ab Malik ialah Pakar Klinikal Pergigian di Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)