Menyambut Aidilfitri tahun ini sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ini adalah kali pertama kita menyambutnya dalam suasana norma baharu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Aktiviti solat sunat hari raya di masjid, ziarah menziarahi, aktiviti balik kampung dan rumah terbuka terpaksa dihadkan bagi memutuskan rantaian wabak pandemik COVID-19 yang melanda dunia.
Suasana raya bagi masyarakat nusantara berbeza daripada negara-negara lain dengan kemeriahan dan kesyahduannya dirasai sejak bulan Ramadan lagi. Jika tidak balik kampung, maka tiadalah raya, jika tiada foto raya keluarga maka tidak bermaknalah hari raya dan begitulah yang kita rasai sejak kecil.
Namun, tahun ini kita perlu menyambutnya dan membuat sedikit penyesuaian dengan norma baharu.
Menghayati erti sebenar Hari Raya
Norma baharu ini menyingkap tabir hikmah untuk kita fahami erti sebenar menyambut Hari Raya iaitu membesarkan Allah SWT. Saya memetik ayat Al-Quran dari surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu memuji membesarkan Allah SWT (bertakbir) atas petunjuknya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bertakwa.”
Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya, selepas kita mengerjakan apa yang diperintahkan Allah Ta’ala dengan taat, menjalankan semua kewajiban dan meninggalkan semua larangan-Nya hendaklah kita mengingat Allah Ta’ala dengan bertakbir. Seumpama itu juga Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 200 yang ertinya: “Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berzikirlah (dengan menyebut) Allah.”
Syed Qutb mengulas bahawa inilah satu daripada matlamat berpuasa iaitu supaya orang beriman dapat menyedari nilai hidayah yang ditaklifkan Allah kepada mereka dan mereka akan dapati kesedaran ini dalam hati mereka dalam masa berpuasa lebih banyak dari segala masa yang lain.
Inilah matlamat utama Hari Raya iaitu "mudah-mudahan kamu semua bersyukur" dengan segala nikmat yang Allah kurniakan kepada kita tanpa sebarang pembayaran.
Tahun ini, benar-benar mengajar kita erti bersyukur. Bersyukur kerana Allah selamatkan negara, keluarga dan diri kita dari wabak COVID-19, bersyukur kerana Allah memberi peluang untuk kita beribadah dalam bulan yang mulia dan bersyukur kerana Allah mengurniakan kita Aidilfitiri.
Mesyuarat Khas Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut menyediakan garis panduan sambutan Aidilfitri bagi memastikan umat Islam dapat meraikan Hari Raya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB). Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga mengambil pendekatan turun padang menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada golongan fakir miskin dan golongan yang terjejas dengan tempoh PKP dan PKPB melalui Tabung Musa’adah COVID-19 JAKIM. Mudah-mudahan umat Islam dapat meraikan Aidilfitri tahun ini dengan penuh kesederhanaan.
Kewajipan mematuhi arahan kerajaan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan arahan tempoh PKPB dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020 iaitu sehingga bulan Syawal. Arahan ini juga disertai dengan beberapa peraturan berhari raya seperti mengehadkan jumlah jemaah solat sunat Aidilfitri, tidak boleh pulang ke kampung merentasi negeri, mengehadkan amalan ziarah menziarahi, sentiasa mengamalkan kebersihan diri, memakai topeng hidung dan mulut serta lain-lain lagi. Sebagai rakyat, menjadi tanggungjawab dan kewajipan untuk menjaga keselamatan diri masing-masing serta mematuhi arahan pemerintah.
Mentaati pemerintah merupakan satu daripada perkara yang dituntut oleh syarak seperti termaktub dalam Al-Quran surah An-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kepada) ulil amri (para pemimpin) dari kalangan kamu.”
Sebarang arahan yang dikeluarkan oleh pemerintah merupakan suatu kemakrufan, kebaikan, serta mendatangkan maslahah kepada rakyat, sama ada arahan tersebut disukai oleh kita atau tidak selagi bukan arahan berbentuk kemaksiatan kepada Allah SWT, maka wajiblah bagi rakyat mematuhinya. Ini bertepatan dengan kaedah fiqah yang masyhur iaitu “urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah”.
Raikan hadiah daripada Allah
Diriwayatkan Rasulullah SAW datang ke Madinah semasa penduduknya sibuk bergembira selama dua hari. Maka, Baginda bertanya: "Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman jahiliah.” Kemudian Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha," menurut Hadith Riwayat Abu Daud dan al-Nasai.
Semoga kita dapat meraikan hadiah daripada Allah – Aidilfitiri - dengan penuh kegembiraan, kesyukuran dan kesederhanaan. Marilah kita sama-sama doakan semoga ujian wabak pandemik COVID-19 akan berakhir di negara kita khususnya dan seluruh dunia umumnya.
--BERNAMA
Datuk Paimuzi Yahya ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)