NOTA KAMPUS

UNIVERSITI 'GRAB' RAI NORMA BAHARU

02/06/2020 04:14 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Madya Dr. Nurkhamimi Zainuddin

Empat fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memperlihatkan limpahan syarikat pengendali yang menyediakan khidmat penghantaran sama ada penumpang, makanan, dokumen dan pelbagai lagi barang keperluan lain.

PKP juga telah membuatkan rakyat memilih untuk melakukan pembelian selamat melalui kaedah dalam talian yang turut menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan perkhidmatan ini. Antara perkhidmatan yang terkenal di Malaysia adalah Grab yang memiliki rangkaian pemandu dan pelanggan terbesar di Malaysia.

Perkhidmatan Grab berfungsi sebagai perantara antara rider dan driver untuk menghantar barangan ke sesuatu destinasi. Para pelanggan hanya perlu mengisikan infomasi dan lokasi tujuan ke dalam aplikasi telefon pintar di mana bayaran akan ditolak secara tunai atau automatik dari kad kredit pelanggan. Pengguna juga boleh melihat sendiri jarak dan laluan yang akan dilalui tanpa ada unsur penipuan. Pelanggan juga tidak perlu untuk keluar mencari teksi dan hanya perlu menunggu di rumah untuk melakukan tempahan.

Impak perubahan

Apa yang menarik perhatian penulis adalah PKP turut memberikan impak perubahan 360 darjah kepada landskap pendidikan negara.

Semua institusi pendidikan termasuk sekolah, kolej dan universiti diarahkan untuk membekukan sementara aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka. Sebagai alternatif, pelbagai kaedah seperti pembelajaran dalam talian dan pembelajaran jarak jauh telah dilaksanakan bagi menggantikan kaedah konvensional sedia ada.

Walaupun pada mulanya, banyak pihak dan netizen menyatakan rungutan namun, kini ia semakin diterima sungguhpun terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan dari pelbagai sudut sama ada fasiliti, latihan, tahap kompetensi dan mutu bahan PdP.

Tanpa disedari, konsep Grab telah diadaptasi dengan baik sekali sebagai norma baharu pendidikan di Malaysia yang meraikan kaedah bekerja dan belajar secara fleksi.

Tidak keterlaluan jika dikatakan kini institusi pendidikan telah ditransformasi menjadi sebuah agent penyedia perkhidmatan dan pengurusan PdP buat pelajar. Para pensyarah pula diibaratkan sebagai golongan driver yang melaksanakan transaksi dan aktiviti PdP bersama dengan pelajar yang dilabelkan sebagai passenger melalui pendekatan online learning atau distance learning.

Di sinilah intipati konsep Heutagogy diperluas sebagai satu pendekatan PdP yang memberi akses kepada sumber pembelajaran dan membolehkan pelajar memperoleh pengetahuan dan kemahiran secara berdikari selaras dengan konsep pembelajaran abad ke-21 (PAK21).

Pendekatan Heutagogy membolehkan pelajar belajar mengikut minat, keperluan, tahap kemampuan dan gaya pembelajaran mereka. Pelajar juga mendapat maklum balas tentang pencapaian dan kemajuan mereka melalui pembelajaran akses kendiri.

Konsep Universiti 'Grab'

Justeru, norma baharu dalam dunia pendidikan ini sekali gus menyamai modus operandi syarikat Grab dengan pelajar bertindak sebagai pelanggan mampu memilih dan mengatur program akademik, kaedah pembelajaran, subjek yang diambil dan pensyarah yang mengajar.

Pembelajaran juga tidak lagi tertumpu hanya di dewan-dewan kuliah sahaja, tetapi dikembangkan melalui platform alam maya yang bertindak sebagai medium untuk melakukan diskusi, forum dalam talian. Peperiksaan akhir juga turut digantikan dengan penilaian alternatif yang bersifat formatif.

Universiti awam yang membangunkan Massive Open Online Course (MOOC) mula merancang pemindahan kredit bagi kursus-kursus yang telah ditawarkan. Kaedah ini membolehkan subjek ini diajar bukan sahaja untuk pelajar di universiti terbabit, bahkan boleh dikongsi dengan universiti lain sama ada di Malaysia mahupun di luar negara.

Ekosistem mampan

Usaha ini mampu dilaksanakan berikutan Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang mengiktiraf pemindahan kredit menerusi pembelajaran secara MOOC berdasarkan garis panduan yang telah dibangunkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Dengan cara ini, institusi pendidikan tinggi mampu menjana pendapatan dengan menawarkan MOOC kepada pelajar-pelajar dari universiti yang lain. Setiap pelajar yang mengambil kursus MOOC boleh dicaj sekiranya mereka ingin mendapatkan pindahan kredit.

Jika kita menyingkap kembali perkhidmatan Grab semasa ia mula diperkenalkan dahulu, terdapat segelintir golongan yang membantah terutama pemandu teksi dan pengusaha kereta sewa. Alasannya kerana perkhidmatan ini mengganggu periuk nasi mereka. Tetapi kini konsep tersebut mula diterima dan memberi kesan positif dan persaingan yang sihat kepada penyedia perkhidmatan pengangkutan yang lain.

Mungkin ada segelintir golongan yang akan mengkritik bahawa kita terlalu terikut-ikut cara dan metodologi universiti di barat. Perkara ini tidaklah pelik kerana perbincangan berkenaan “Can We Uberize The Higher Education?” juga telah diperdebatkan oleh para ahli akademik di Britain dan Amerika Syarikat.

Ada yang bersetuju dengan mengatakan bahawa pelajar, sebagai rider telah bersedia untuk mencorakkan pilihan dan jenis tahap pendidikan dan bidang pengajian yang mereka ingin ceburi. Kemudahan yang disediakan di kampus dan ekosistem yang dibangunkan oleh pihak kerajaan di negara masing-masing juga amat menyokong konsep Universiti 'Grab' ini.

Golongan yang menolak idea ini pula adalah golongan pensyarah yang masih memilih kaedah tradisional dan syarahan di dalam dewan kuliah semata-mata. Ibu bapa juga ada yang tidak bersetuju kerana bimbang anak-anak mereka akan menjadi pelajar yang terlalu dibiarkan “bebas” meneroka ilmu tanpa ada sokongan dan panduan dari para pensyarah.

Penulis berpendapat dengan ledakan dan juga gelombang Revolusi Industri Keempat yang melewati dunia global pada hari ini, konsep Universiti 'Grab' ini akan diterima pakai oleh masyarakat kerana manfaat dan peluang yang diberikan adalah berganda berbanding konsep pendidikan sedia ada.

Revolusi ini adalah kesinambungan versi ketiga yang menekankan beberapa pembaharuan dan aspek berbentuk siber-fizikal yang mula diserapkan dalam bidang ekonomi, pembuatan, kejuruteraan dan bidang pendidikan yang juga tidak ketinggalan. Istilah-istilah moden seperti kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), internet pelbagai benda (Internet of Things), dan percetakan 3D (3D Printing) telah mendapat sambutan yang hangat dan dibincangkan di setiap peringkat penyedia pendidikan.

Universiti Terbuka Awam

Selaras dengan konsep Universiti 'Grab' ini, pihak Kementerian juga boleh mengorak langkah terkehadapan dengan mengasaskan penubuhan sebuah Universiti Terbuka Awam bagi menarik minat pelbagai golongan menyambung pengajian menerusi kaedah pembelajaran sepanjang hayat. Inilah usaha murni yang perlu dimainkan oleh Kementerian supaya slogan “no one left behind” dapat direalisasikan.

Di samping itu, Universiti Terbuka awam mampu menjadi konsortium yang akan menggabungkan kesarjanaan, kebitaraan, infrastruktur dan infostruktur dari semua 20 buah Universiti Awam Malaysia melalui konsep collegiality and commonality. Sehingga kini, Malaysia hanya ada satu sahaja Universiti Terbuka iaitu Open University Malaysia (OUM) yang berstatus IPTS.

Kesimpulannya, PKP memberikan bukan sekadar hikmah dah ibrah buat pengamal pendidikan di Malaysia, namun ia turut memberikan peluang untuk transfomasi pendidikan di setiap peringkat di Malaysia berlaku secara positif.

Para cendekiawan dari pelbagai bidang harus sama-sama berganding bahu, duduk semeja supaya pelbagai usaha dan tindakan dapat diatur untuk berhadapan dengan gelombang yang dahsyat ini.

Mahu tidak mahu, konsep Universiti 'Grab' pasti akan menerjah lanskap pendidikan negara kerana ia mampu memberi manfaat kepada pelajar sebagai passenger, para pensyarah sebagai rider dan institusi pendidikan tinggi sebagai agent yang akan meneruskan legasi pendidikan tinggi yang berkualiti di Malaysia.

--BERNAMA

Prof. Madya Dr. Nurkhamimi Zainuddin merupakan Dekan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)