TINTA MINDA

HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA DAN COVID-19

06/06/2020 01:39 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Fairus Muhamad Darus

Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia disambut setiap tahun pada 5 Jun. Sambutan ini diperkenalkan pada 1972 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa persidangan yang berlangsung di Stockholm, Sweden. Bermula pada 1974, sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia diraikan oleh 143 negara termasuk Malaysia untuk memberi galakan kesedaran global dan tindakan terhadap isu-isu alam sekitar.

Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini bertemakan biodiversiti atau kepelbagaian biologi. Kehidupan harian manusia sentiasa berhubung dan berkaitan dengan biodiversiti. Malah, biodiversiti merupakan asas kepada kehidupan di bumi ini. Kita mendapat sumber makanan, ubat-ubatan, bahan binaan dan pelbagai kegunaan daripada sumber biodiversiti ini.

Tahun ini, tema biodiversiti sangat bertepatan dan relevan dengan penularan wabak pendemik 2019 (COVID-19) yang dikesan bermula di Wuhan, China pada penghujung Disember 2019. Sehingga kini, kira-kira 6 juta penduduk dunia telah dijangkiti virus itu yang telah menular di 187 negara. Di Malaysia, seramai 7,819 orang telah dijangkiti dan mengorbankan 115 orang setakat ini.

Hubungan manusia dengan biodiversiti

Ekploitasi manusia secara berlebihan daripada sumber biodiversiti telah lama berlaku. Malah, jangkitan COVID-19 kepada manusia dikatakan berpunca daripada haiwan yang ditangkap dan dipasarkan sebagai sumber makanan. Penularan penyakit daripada haiwan kepada manusia seperti ini dikenali sebagai penyakit zoonotic.

Penularan pendemik COVID-19 sewajarnya membuka mata semua pihak tentang hubungan kita sebagai manusia dengan biodiversiti. Ia sebagai satu mesej yang jelas dari alam kepada kita untuk merenung dan muhasabah tentang hubungan kita sebagai khalifah (pemimpin) yang mentadbir urus sumber persekitaran di bumi ini.

Pengurusan sumber biodiversiti yang berhemah dan lestari adalah sangat penting bagi sebuah negara seperti Malaysia, yang dikenali sebagai negara megadiversiti.

Berdasarkan hitungan kekayaan dan endemik hidupan dan tumbuhan di negara ini mengikut Indeks Biodiversiti Kebangsaan (National Biodiversity Index), Malaysia berada pada kedudukan ke-12 di dunia.

Menurut Laporan Senarai Merah IUNC (International Union for Conservation of Nature’s) yang dikeluarkan pada 2008, Malaysia menjadi kediaman bagi 1,141 spesies terancam termasuk tumbuhan dan haiwan.

Pengurusan biodiversiti

Perkembangan pesat pertumbuhan ekonomi, industri dan pembandaran sejak 1980 di Malaysia telah memberi impak yang signifikan kepada pengurusan biodiversiti di negara ini.

Pertembungan antara hidupan liar dan penempatan manusia yang kerap dilaporkan di media massa baru-baru ini adalah antara contoh terkini kesan biodiversiti terhadap aktiviti manusia.

Pengurusan biodiversiti perlu melibatkan pelbagai pihak seperti pihak berkuasa, swasta, universiti, pertubuhan sukarela, individu dan sebagainya. Dokumen Dasar Kebangsaan Kepelbagaian Biologi 2016-2025 yang dikeluarkan kerajaan merupakan asas rujukan utama bagi menginterasikan usaha pelbagai pihak berhubung perkara ini.

Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2020 adalah masa yang tepat bagi pihak berkuasa untuk mengukur dan menilai serta menyemak pencapaian semasa segala pelan tindakan dan matlamat yang digariskan di dalam Dasar Kebangsaan Kepelbagaian Biologi 2016-2025.

--BERNAMA

Fairus Muhamad Darus ialah Pensyarah Kanan Program Teknologi Persekitaran di Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)