TINTA MINDA

AGONG UTAMAKAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN B40

08/06/2020 10:46 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin

Penubuhan Akademi Menara Gading (AMG) oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Kuantan, Pahang pada 1999 berjaya melahirkan ramai pelajar dari kalangan keluarga pendapatan terendah B40, yang dibimbing secara komprehensif hingga berjaya ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara.

Tokoh yang mencetus idea ini ialah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sembah ucapan setinggi tahniah dan dirgahayu Kebawah Duli Tuanku sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini (8 Jun).

Cetus idea

Sekian lama, Sultan Abdullah dikenali melalui penglibatan dalam organisasi dan aktiviti sukan seperti bola sepak, hoki dan polo manakala Tuanku Azizah dalam aktiviti kebajikan dan khidmat masyarakat.

Namun, ramai tidak mengetahui penglibatan aktif baginda berdua dalam pembangunan pendidikan sejak lebih 20 tahun dahulu.

Cetusan idea Seri Paduka berdua sejak sedekad lalu telah membuka peluang kepada lebih 1,000 pelajar sehingga berjaya memperbaiki tahap akademik mereka ke peringkat lebih tinggi.

Program AMG ini dilaksanakan dan dibiayai sepenuhnya oleh yayasan Baginda, YASA, yang dahulunya dikenali Yayasan Istana Abdulaziz.

Seorang graduan bagi keluarga miskin

Dengan slogan “seorang graduan bagi keluarga miskin”, Seri Paduka mengharapkan para peserta program itu menjadi contoh kepada keluarga dan membawa mereka keluar daripada kemiskinan melalui kecemerlangan pendidikan.

Seri Paduka berdua sentiasa menyokong dari segi idea dan kewangan bagi setiap aktiviti yang dilaksanakan serta meletakkan harapan tinggi kepada AMG untuk meningkatkan taraf hidup anak-anak dari keluarga yang kurang bernasib baik di Pahang.

Malah, sejak dari awal pelaksanaannya, Tuanku berdua serta anakanda sentiasa mencemar duli untuk berinteraksi dengan para peserta dalam setiap program sebagai tanda sokongan dan keprihatinan keluarga diraja berkenaan.

Program ini dijalankan dengan kerjasama Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan diketuai Pengurus AMG Profesor Datuk Dr Abdul Razaq Ahmad yang juga ahli akademik universiti itu. Beliau adalah individu yang diberi kepercayaan dan tanggungjawab oleh Seri Paduka untuk merealisasikan AMG sejak dari awal penubuhannya.

Program itu adalah satu-satunya dalam negara yang menggunakan pendekatan intervensi secara komprehensif jangka panjang. Objektif utama AMG adalah memastikan semua peserta dapat mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seterusnya menjejakkan kaki ke menara gading di dalam atau luar negara.

Lahirkan graduan

Program ini mahu melahirkan graduan dalam kalangan keluarga miskin, anak yatim dan Orang Asli di Pahang dengan matlamat setiap peserta mampu membantu keluarga mereka keluar daripada persekitaran kemiskinan.

Untuk mencapainya, AMG melaksanakan pelbagai aktiviti menggunakan pendekatan “Multiple Integrated Intervension Modules” dalam tempoh dua tahun. Ini bertujuan meningkatkan motivasi, kemahiran insaniah, nilai-nilai keagamaan, patriotisme, kepemimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan. Selain itu, diisi dengan program mobiliti dalam dan luar negara di samping, membimbing ibu bapa peserta dalam membantu kecemerlangan anak mereka.

Pelaksanaannya berdasarkan 12 modul kem yang dibimbing oleh ahli-ahli akademik dan profesional diketuai Dr Abdul Razak. Pendekatan dilaksanakan dalam dua bentuk komponen iaitu berdasarkan 10 modul “camp-based” dan dua “learning center-based”.

Program akademik ini berbeza dengan kelas tuisyen sedia ada kerana pembelajarannya dilaksanakan lebih anjal dan mengambil waktu yang panjang bagi setiap subjek.

AMG juga mengadakan program mobiliti ke luar negara bertujuan meningkatkan kemahiran insaniah, motivasi dan keyakinan diri pelajar. Lawatan ke beberapa negara seperti Jepun, Korea, Indonesia dan Thailand banyak memberi impak positif kepada mereka.

Para peserta program ini dipilih oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dari kalangan pelajar tingkatan empat di negeri itu. Mereka ditemu duga dan perlu mengikuti kem pemilihan sebelum dipilih sebagai peserta AMG. Kebanyakan mereka didapati kurang keyakinan diri dan kurang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) sebelum menyertai AMG.

Pencapaian AMG

Setakat ini, sebanyak 10 kohort berjaya dilaksanakan sementara 120 peserta bagi kohort ke-11 sesi 2020/2022 sedang mengikuti program ini. Peribahasa Melayu menyatakan “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”.

Hasilnya, sebanyak 1,005 peserta berjaya memasuki universiti atau institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan luar negara dalam pelbagai kursus. Kini, mereka dari kohort 1 hingga 7 telah menamatkan pengajian dan bekerja di sektor awam dan swasta khususnya dalam bidang profesional selain keusahawanan termasuk perubatan, perakaunan, perundangan, kejuruteraan, pengurusan, pentadbiran serta pendidikan. Sementara peserta kohort 8 hingga 10 masih lagi menuntut di IPT.

AMG juga menubuhkan alumninya sebagai platform kepada bekas peserta untuk menyumbang kembali kepada pembangunan pendidikan anak-anak B40 di Pahang.

Selain program bimbingan akademik, AMG menerbitkan bahan bacaan untuk pelajar sekolah dan IPT. Bermula dengan buku Bimbingan Menara Gading terbitan pada 2000, yang sehingga kini telah menghasilkan lapan judul.

AMG juga dalam proses menerbitkan buku terkini, Edisi Khas Bimbingan Menara Gading, yang bakal dilancar oleh Yang di-Pertuan Agong. Aktiviti penyelidikan turut dijalankan oleh ahli-ahli akademik UKM dan dapatan kajian itu digunakan untuk menambah baik program AMG.

Melihat kepada hasil yang positif, dicadangkan supaya program ini dikembangkan ke seluruh negara supaya dapat memberi peluang kepada kalangan pelajar dari keluarga B40 mengikutinya, dengan harapan berjaya membawa keluarga masing-masing keluar dari garis kemiskinan.

--BERNAMA

Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin ialah Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Pengantarabangsaan), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Akademi Menara Gading, Yayasan Al-Sultan Abdullah, Kuantan, Pahang.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)