TINTA MINDA

Memperkasa Agenda OKU Dalam Pendidikan Tinggi

26/03/2026 09:48 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Ts Dr Ali Selamat 

Oleh Prof Ts Dr Ali Selamat

Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 menandakan satu anjakan penting dalam agenda negara menangani isu akses, kesaksamaan dan keterangkuman pendidikan, khasnya pendidikan tinggi.

Agenda membela Orang Kurang Upaya (OKU) tidak lagi diletakkan sebagai isu pinggiran atau semata-mata kebajikan, sebaliknya menjadi ukuran keadilan sosial, karamah insaniah dan hak warganegara dalam sistem pendidikan.

Peralihan ini amat bermakna kerana ia membawa satu naratif baharu agar OKU dilihat sebagai “individu berkeupayaan khas” yang berhak memperoleh peluang pendidikan yang adil, bermakna dan bermutu.

RPTM 2026–2035 memperkukuh prinsip bahawa pendidikan ialah hak asasi tanpa mengira keupayaan fizikal atau pemikiran. Antara keputusan dasar yang besar impaknya ialah pengecualian yuran pengajian bagi pelajar OKU.

Langkah ini menghapuskan salah satu halangan struktur utama dalam akses pendidikan, iaitu beban kewangan.

Di peringkat nasional, dasar ini memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 pelajar OKU di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti. Ini membuktikan agenda OKU bukan bersifat percubaan kecil, tetapi komitmen nyata yang menyentuh ribuan kehidupan.

Mesej yang dibawa jelas iaitu akses kepada pendidikan ialah hak, bukan keistimewaan.

Cabaran Pelajar OKU

Namun, RPTM juga mengingatkan satu realiti penting bahawa akses tanpa sokongan ialah akses yang rapuh.

Pelajar OKU bukan sahaja berdepan cabaran untuk memasuki institusi, tetapi juga untuk menyesuaikan diri, kekal dalam sistem dan mencapai kejayaan dalam persekitaran pembelajaran yang lazimnya direka untuk majoriti.

Tanpa kemudahan yang sesuai, sokongan persekitaran, serta jaringan kebajikan dan kesejahteraan yang berfungsi, risiko keciciran boleh meningkat walaupun pintu kemasukan telah dibuka.

Di sinilah kekuatan pendekatan RPTM terserlah di mana pendidikan dilihat sebagai ekosistem menyeluruh yang menggabungkan akses fizikal, sokongan sosial, kesejahteraan dan pengalaman pembelajaran yang inklusif.

Sehingga 31 Disember 2024, jumlah pelajar OKU di institusi pendidikan tinggi direkodkan seramai 5,641 orang, iaitu sekitar 0.18 peratus daripada keseluruhan enrolmen nasional.

Walaupun terdapat peningkatan, angka ini masih rendah berbanding komposisi OKU dalam populasi.

RPTM membawakan naratif bahawa keadaan ini bukan sebagai kelemahan individu pelajar OKU, tetapi petunjuk jurang sistemik yang menuntut penambahbaikan struktural secara berterusan.

Berpandukan data tersebut, RPTM meletakkan OKU sebagai kumpulan sasaran utama dalam agenda kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman.

Pendekatan berasaskan data ini penting kerana ia mengubah wacana awam daripada simpati kepada reformasi sistemik.

Antara jurang utama yang sering memberi kesan tidak seimbang kepada pelajar OKU ialah infrastruktur dan capaian seperti mobiliti dalam kampus yang luas, akses terhad kepada kemudahan akademik dan bukan akademik, kesukaran mendapatkan perkhidmatan sokongan yang sesuai, serta tekanan emosi akibat persekitaran yang tidak mesra OKU.

Semua faktor ini boleh menjejaskan kebolehupayaan pelajar untuk kekal berdaya tahan dan mengharungi cabaran dalam pengajian.

Selain akses fizikal, RPTM turut menekankan kesejahteraan holistik termasuk kesihatan mental. Ini mencerminkan pendekatan yang lebih matang dan berempati bahawa kejayaan pelajar OKU bukan semata-mata ukuran gred, tetapi pengalaman menyeluruh sebagai insan yang dihormati, diiktiraf dan selamat dalam komuniti kampus selari makna memelihara martabat insan iaitu karamah insaniah.

Dalam erti kata lain, universiti inklusif bukan hanya menyediakan kemudahan, tetapi membina persekitaran yang menyokong.

Justeru, institusi pendidikan tinggi perlu melaksanakan amanah negara ini secara konsisten dan lestari.

Keutamaan wajar diberi kepada penambahbaikan infrastruktur seperti laluan mesra OKU, akses bangunan lama, dan pencahayaan serta penandaan, pengukuhan perkhidmatan sokongan seperti kaunselor terlatih, jurubahasa isyarat, bahan pembelajaran format alternatif, serta latihan kesedaran untuk semua warga kampus agar budaya inklusif terbina dalam amalan harian.

Keterangkuman Digital

Keterangkuman digital juga tidak boleh dipandang ringan.

Dalam era pendidikan masa kini, platform e-pembelajaran, portal pelajar dan aplikasi universiti perlu mematuhi piawaian capaian seperti Web Content Accessibility Guidelines (WCAG), termasuk sokongan pembaca skrin, navigasi papan kekunci alternatif dan teknologi bantuan.

Pelaburan dalam teknologi bantuan wajar menjadi sebahagian perancangan kewangan kerana akses digital kini adalah komponen kritikal dalam menyediakan pendidikan yang bermutu tinggi.

Di peringkat pelaksanaan, satu contoh dapat diberikan.

Kewujudan 127 pelajar OKU di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memberikan petanda bahawa komitmen inklusif perlu diterjemah melalui sokongan yang nyata dan berterusan.

Pada masa yang sama, agenda OKU juga membuka ruang besar untuk penyelidikan dan inovasi, khususnya dalam teknologi bantuan dan reka bentuk universal yang boleh dimanfaatkan lebih luas.

Sejak tahun 2025, UTM telah mewujudkan inisiatif Kampung Inklusif yang direka bentuk sesuai dengan kediaman untuk pelajar OKU, di bawah program UTM Prihatin, selain penubuhan Unit Khidmat OKU di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk koordinasi perkhidmatan sokongan akademik dan bukan akademik.

Akhirnya, ukuran kejayaan universiti inklusif bukan berakhir di pintu graduasi.

Norizan Baba Rahim, Rasidah Arshad, dan Zulnaidi Yaacob pada tahun 2024 telah mengemukakan pandangan dalam kajian mereka mengenai OKU dalam Jurnal Pengurusan, dengan menyatakan bahawa kesejahteraan OKU berkait rapat dengan peluang pekerjaan yang wajar dan sokongan seperti Job Coach untuk membantu OKU mendapatkan serta mengekalkan pekerjaan.

Ini selari dengan agenda pendidikan tinggi negara dalam soal kebolehkerjaan graduan OKU sebagai indikator keterangkuman yang menyeluruh.

Secara keseluruhan, RPTM 2026–2035 menyediakan asas yang jelas, berprinsip dan berpandangan jauh untuk memperkasa agenda OKU dalam pendidikan tinggi negara.

Kini cabaran utama ialah menterjemahkan dasar kepada tindakan: daripada infrastruktur kepada sokongan, daripada akses fizikal kepada akses digital, dan daripada pencapaian akademik kepada kesejahteraan holistik.

Agenda OKU bukan soal angka semata-mata, tetapi cerminan nilai kemanusiaan dalam sistem pendidikan tinggi agar tiada pelajar tertinggal dan benar-benar memberikan keadilan buat semua kelompok, terutamanya kumpulan berkeperluan khas seperti OKU.

-- BERNAMA

Prof Ts Dr Ali Selamat ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)