Pandemik COVID-19 yang melanda Malaysia dan seluruh dunia pada ketika ini sudah mengubah pelbagai kebiasaan yang masyarakat jalankan. Dari aspek pendidikan, perniagaan, kesihatan, perubatan dan lain-lain semuanya sudah dicorakkan mengikut cara yang baharu. Namun, dalam kita mengubah 360° gaya hidup dan aktiviti seharian dek kerana COVID-19 ini, jangan kita lupakan tentang kesan yang mungkin menimpa segolongan kecil masyarakat, namun boleh memberi impak yang besar.
Depresi. Ia mungkin kelihatan remeh kepada kelompok majoriti masyarakat kerana tidak ramai yang memahami atau mengetahui bahawa depresi sebenarnya adalah satu penyakit yang serius kerana tidak dizahirkan dalam bentuk fizikal.
Statistik membimbangkan
Sebenarnya banyak kes depresi yang melibatkan remaja telah dilaporkan dalam media. Laporan terkini Kesihatan Mental Nasional 2017 mendapati bahawa satu daripada lima remaja di Malaysia mengalami kemurungan yang didominasi oleh lelaki sebanyak 18.9 peratus, manakala remaja perempuan sebanyak 17.7 peratus. Statistik tersebut juga menunjukkan dua daripada lima remaja akan keresahan dengan peratus remaja perempuan sebanyak 42.3 peratus dan remaja lelaki sebanyak 37.1 peratus.
Pada Mei 2019, seorang gadis berusia 16 tahun di Padawan, Kuching ditemui mati kerana dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan lot kedai di MJC, Batu Kawa. Mendiang sebelum itu melakukan satu poll (undian) di akaun Instagram story beliau sebelum kematiannya, dengan pertanyaan: "Really Important, Help Me Choose D/L".
Berdasarkan penjelasan rakan karibnya, ‘D’ dipercayai merujuk kepada death atau kematian, sementara ‘L’ merujuk kepada live atau hidup. Hasil daripada undian itu menunjukkan 69 peratus memilih D, dan 31 peratus memilih L. Bukan itu sahaja, sebelum kejadian tersebut mendiang juga pernah menyiarkan status yang mempunyai unsur depresi di akaun Facebooknya: "Wanna Quit F**king Life I’m Tired".
Selain itu, pada Oktober 2019, seorang perenang dari Sarawak telah menyiarkan "nota bunuh diri" di Instagram story beliau dengan menulis “It has been a wonderful 19 years and I’m greatful if you’re part of it”. Nota ini disiarkan 12 jam sebelum beliau membunuh diri. Walaupun beliau secara halus ingin memberitahu semua orang tentang kemurungan yang dialami melalui penulisannya di media sosial, namun ramai yang tidak sedar akan perbuatannya dan terkejut dengan berita pemergiannya.
Pengaruhi kemampuan untuk berfungsi
Ketika negara sedang bergelut menghadapi penularan wabak COVID-19, tular di Twitter oleh seorang gadis yang jelas prihatin terhadap siswa-siswi Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang masih terkandas di kampus seluruh Malaysia sewaktu PKP pada fasa awal dahulu. Ciapan yang berbunyi, “Haah, tunggu ada pelajar IPT bunuh diri kemurungan baru nak bagi balik ke? Cuba la kurung diri sendiri tanpa sesiapa dalam satu bilik. Tanpa tv hanya makanan bantuan dan hp”, telah dikritik hebat oleh netizen kerana pendapatnya dilihat sebagai keterlaluan dan berfikiran negatif.
Malah netizen juga turut melabel siswa-siswi zaman ini terlalu manja. Tetapi, bila kita lihat dari sisi yang lain, ada benarnya juga apa yang ditulis oleh gadis ini. Ini kerana depresi adalah sesuatu yang tidak boleh dijangka dan sekiranya tidak dicegah awal, akan melarat menjadi sesuatu yang lebih serius. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan adalah gangguan mental yang menyerang lebih daripada 264 juta orang di seluruh dunia. Kesannya boleh berpanjangan atau berulang dan boleh mempengaruhi kemampuan seseorang untuk berfungsi dan menjalani kehidupan yang bermanfaat.
Menterjemah luahan remaja
Sebagai seorang pensyarah, penulis tidak lari daripada berhadapan dengan pelajar-pelajar yang pelbagai ragam setiap masa. Walaupun mereka kini selamat di pangkuan keluarga, ia tidak menjamin kesejahteraan kesihatan mental mereka kerana ada juga yang menghadapi pelbagai masalah lain di rumah.
Mereka yang tidak mempunyai pilihan melainkan untuk duduk diam di rumah seperti diarahkan kerajaan telah menjadikan media sosial sebagai platform untuk meluahkan perasaan melalui aplikasi Whatsapp story seperti memuat naik caption atau status, gambar dan video yang dikongsi. Sekiranya diteliti dengan lebih dekat, serta dengan cara yang betul, anda mungkin akan dapat membaca tanda-tanda depresi yang diterjemahkan melalui perkongsian segelintir remaja di media sosial.
Melalui satu kajian rintis yang dijalankan oleh penulis pada tahun 2019, seramai 30 orang responden di sebuah universiti menyatakan bahawa tekanan dan kemurungan sebenarnya boleh dikesan melalui apa sahaja yang dikongsi seorang individu di media sosial dan ini termasuklah penulisan, gambar, video, lirik lagu, petikan kata-kata motivasi dan sebagainya.
Setakat ini terdapat tiga kajian terkini yang membincangkan bagaimana netizen menggunakan media sosial dalam menunjukkan tanda-tanda tekanan dan kemurungan mereka secara sengaja atau tidak sengaja. Ketiga-tiga penyelidik dari China iaitu Xiaolei (2014), Meizhen LV (2015) dan Yan Huang (2019) dalam tiga kajian yang berasingan mengkaji penggunaan bahasa pengguna-pengguna media sosial (Weibo) yang disyaki menunjukkan tanda-tanda kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.
Ketiga-tiga kajian ini membuat kesimpulan bahawa jika tanda-tanda ini dikesan pada peringkat awal, seorang individu yang berisiko tinggi untuk membunuh diri akan dapat diselamatkan lebih awal. Kajian Meizhen LV dan Yan Huang dapat menjadi kayu pengukur kepada pihak yang berkenaan untuk mengatasi masalah kemurungan dalam kalangan remaja Malaysia di media sosial kerana melalui kedua-dua kajian ini, mereka berjaya menghasilkan satu kamus bahasa serta garis panduan kepada orang ramai untuk mengesan tanda-tanda kemurungan di media sosial. Antara petunjuk yang nyata adalah penggunaan bahasa dan emoji yang menyatakan emosi mereka ketika itu seperti, “Huh, bilalah MCO ni nak habissss!!! Stress! L”. Selain daripada itu, petunjuk yang kurang jelas seperti penggunaan visual yang mempunyai rona warna gelap berserta caption bersifat melankolik seperti yang dikongsikan oleh perenang Sarawak sebelum ini.
Khidmat bantuan, talian sokongan emosi
Pada 18 sehingga 24 Mei tahun ini, Mental Health Foundation di United Kingdom meraikan Minggu Kesedaran Kesihatan Mental dengan tema kindness atau kebaikan hati. Manakala di peringkat global, bulan Kesedaran Kesihatan Mental disambut pada bulan Oktober setiap tahun. Tujuannya adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kesihatan mental dan menghentikan stigma yang berkaitan dengan kesihatan mental. Tema minggu kesedaran kesihatan mental yang sedang diraikan di UK pada tahun ini sangat bertepatan sekali dengan situasi pandemik yang sedang dialami seluruh dunia pada waktu ini. Kindness - berbaik hatilah dengan semua individu tidak kira usia dan pangkat. Terutamanya dengan remaja yang dilihat sebagai harapan bangsa – sihat fizikal, minda dan emosi.
Di Malaysia, kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) banyak menyediakan bantuan serta talian sokongan emosi untuk berhadapan dengan ketidaktentuan dan kerisauan akibat pandemik ini. Antaranya adalah, Talian Sokongan Psikososial COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia & Mercy Malaysia, Talian Khas Perkhidmatan Kaunseling COVID-19 oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Befrienders dan Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO).
Selain itu, mereka juga berkongsi tips untuk mencegah tekanan dan kemurungan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Antara tips yang paling utama ketika berada di rumah adalah teruskan berkomunikasi dengan rakan-rakan atau individu yang kita percayai dan selesa dengan mereka. Meluahkan perasaan kepada mereka mungkin lebih berkesan kerana mereka dapat memberikan respons yang lebih baik daripada meluahkannya di media sosial. Tetapi sekiranya media sosial masih menjadi pilihan untuk meluahkan perasaan, tukarkan luahan itu kepada luahan yang positif seperti berkongsi kata-kata motivasi agar dapat “memujuk” diri sendiri kekal positif. Pada masa yang sama, luahan perasaan anda juga mungkin dapat membantu individu lain yang sedang menghadapi masalah yang sama. #KitaJagaKita, kan?
-- BERNAMA
Adlene Aris merupakan Pensyarah di Fakulti Komunikasi Gunaan, Universiti Multimedia, Cyberjaya