Oleh Nurul Mazrah Manshor & Dr. Rohayati Hussin
Wakaf merupakan antara bentuk amal paling utama dalam Islam yang menjanjikan ganjaran pahala berterusan kepada pewakaf.
Ia lazimnya melibatkan sumbangan tanah, bangunan atau harta lain bagi tujuan agama dan kebajikan. Ramai umat Islam terdorong untuk berwakaf, khususnya kepada masjid atau surau di kawasan tempat tinggal masing-masing.
Namun, di sebalik semangat berkongsi harta ke jalan Allah ini, masih ramai yang tidak menguruskan wakaf secara sah di sisi undang-undang. Akibatnya, timbul pelbagai pertikaian, terutama daripada waris yang mungkin tidak mengetahui atau tidak bersetuju dengan niat pewakaf.
Baru-baru ini, sebuah kes yang melibatkan masjid berdepan tuntutan sebanyak RM213,000 daripada waris seorang individu yang didakwa telah mewakafkan tanah kepada masjid telah menarik perhatian umum.
Waris mendakwa bahawa tanah tersebut tidak pernah diwakafkan secara rasmi dan masih berdaftar atas nama si mati. Mereka menuntut pampasan kerana tanah itu telah digunakan oleh pihak masjid bagi pelbagai aktiviti keagamaan dan pembinaan struktur.
Pihak masjid pula mempertahankan bahawa si mati telah menyatakan hasrat untuk mewakafkan tanah itu semasa hayatnya, walaupun tiada sebarang dokumen bertulis yang dikeluarkan.
Isu seperti ini bukanlah asing. Ia mencerminkan jurang kefahaman masyarakat terhadap perbezaan antara niat wakaf secara lisan dan keperluan sah dari segi undang-undang.
Perlu Dokumen Bertulis
Dalam Islam, lafaz lisan pewakaf mungkin dianggap mencukupi sebagai niat, namun undang-undang Malaysia menetapkan keperluan kepada dokumen bertulis, pengesahan serta pendaftaran rasmi dengan Majlis Agama Islam Negeri.
Mahkamah menegaskan bahawa untuk membuktikan berlakunya wakaf, niat secara lisan semata-mata tidak mencukupi dan mestilah disokong dengan bukti kukuh seperti dokumen rasmi atau keterangan saksi yang sah.
Dalam kes Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang v Abdul Latiff Hassan & Anor [2016] 2 CLJ 150 dan Ahmad Yahaya v Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang [2016] 1 CLJ 1018, mahkamah menolak dakwaan wakaf yang tidak disokong oleh dokumen jelas.
Manakala dalam kes Majlis Agama Islam Pulau Pinang v Khatijah Yoan & Ors [2010] 4 CLJ 592 dan G. Rethinasamy v Majlis Ugama Islam Pulau Pinang [1993] 2 MLJ 166, mahkamah menegaskan bahawa tanah wakaf tidak boleh dijual atau dituntut tanpa bukti dokumentasi yang sah dan lengkap.
Kes-kes ini jelas menunjukkan bahawa beban pembuktian wakaf terletak pada pengemukaan bukti nyata, bukan sekadar niat pewakaf.
Perisytiharan Jelas
Selain itu, mahkamah turut menegaskan bahawa sesuatu wakaf hanya sah apabila pewakaf membuat perisytiharan yang jelas dan tidak boleh ditarik balik.
Dalam kes seperti Isa Abdul Rahman & Ors v Majlis Agama Islam Pulau Pinang [1996] 1 CLJ 283, mahkamah mengiktiraf wakaf berdasarkan surat ikatan wakaf yang terang dan menyatakan secara tegas tujuan penggunaan harta tersebut.
Dalam kes Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang v Abdul Latiff Hassan (As Administrator of Estates of Hj Mohammad Hj Abdul Rasid; Deceased) & Anor [2016] 2 CLJ 150, mahkamah turut menerima fatwa negeri dan keterangan mufti sebagai asas bagi pengiktirafan wakaf.
Pendekatan ini mencerminkan bahawa mahkamah amat menitikberatkan elemen dokumentasi rasmi dan bukti yang sah dalam mengesahkan sesuatu wakaf agar ia tidak disalah guna atau dipertikaikan di kemudian hari.
Kesemua keputusan ini menegaskan pentingnya dokumentasi dalam urusan wakaf.
Undang-undang sivil dan syariah di Malaysia menuntut ketelusan serta kepastian dalam pembuktian wakaf, bukan semata-mata bergantung kepada niat pewakaf.
Mahkamah memerlukan bukti nyata seperti dokumen bertulis atau keterangan saksi yang boleh dipercayai bagi memastikan sesuatu harta benar-benar telah diwakafkan secara sah dan tidak boleh dipertikaikan.
Dalam keadaan tiada dokumen rasmi yang menyokong dakwaan wakaf, tanah atau harta tersebut secara undang-undangnya kekal sebagai harta pusaka.
Oleh itu, waris yang sah berhak menuntut bahagian masing-masing mengikut hukum faraid. Prinsip ini bertujuan melindungi hak waris serta mengelakkan pemindahan hak milik tanpa asas yang sah.
Didik Masyarakat Tentang Wakaf
Realitinya, ramai pewakaf di Malaysia, khususnya warga emas di luar bandar, masih percaya bahawa lafaz wakaf secara lisan di hadapan tok imam sudah mencukupi.
Mereka tidak sedar bahawa tanpa dokumen yang disahkan oleh Majlis Agama, wakaf itu tidak akan diiktiraf di sisi undang-undang.
Ramai juga tidak tahu bahawa tanah wakaf perlu dipindah milik kepada Majlis Agama Islam Negeri atau didaftarkan dengan jelas sebagai tanah wakaf di pejabat tanah.
Apa yang lebih membimbangkan, pertikaian seperti ini bukan sahaja menjejaskan pewakaf dan waris, tetapi turut memberi kesan buruk kepada institusi masjid dan keyakinan awam terhadap sistem wakaf.
Sekiranya pihak masjid gagal menunjukkan bukti rasmi, mereka bukan sahaja berisiko diusir dari tanah tersebut, malah boleh diperintahkan membayar pampasan yang besar kepada waris.
Maka, tanggungjawab besar terletak pada bahu imam, ahli jawatankuasa masjid dan pegawai agama.
Mereka perlu mendidik masyarakat tentang keperluan mendokumentasikan wakaf dengan betul. Ceramah agama harus disertai dengan sesi penerangan mengenai prosedur pendaftaran wakaf.
Majlis Agama Islam Negeri pula wajar mempertimbangkan pendekatan yang lebih mesra rakyat, termasuk pengurangan kos, prosedur mudah dan perkhidmatan bergerak, untuk memudahkan proses wakaf.
Pada masa yang sama, pihak kerajaan boleh mempertimbang mewujudkan saluran perundangan khas bagi menyelesaikan pertikaian wakaf yang tiada dokumen bertulis, tetapi mempunyai sokongan kuat seperti saksi atau bukti penggunaan tanah secara berterusan untuk tujuan ibadah.
Bagi masyarakat umum, pesanan paling utama ialah, jangan hanya berwakaf dengan niat. Lengkapkanlah niat itu dengan tindakan rasmi.
Datang ke pejabat agama, isi borang, buat pengisytiharan dan pastikan tanah itu dipindah milik kepada Majlis Agama Islam Negeri.
Hanya dengan cara itu, wakaf akan menjadi sah dan tidak boleh dipertikaikan. Jika tidak, niat yang baik akan terus menjadi punca perbalahan.
Amal jariah bertukar menjadi sengketa keluarga, waris berpecah-belah dan masjid berdepan masalah undang-undang.
-- BERNAMA
Nurul Mazrah Manshor ialah Pensyarah Kanan Undang-Undang di Universiti Teknologi MARA, Cawangan Kedah, dan Dr. Rohayati Hussin ialah Pensyarah Kanan Undang-Undang di Universiti Teknologi MARA Cawangan Kedah.