TANGGAL 30 April 2020, seluruh dunia meratapi pemergian seniman legenda India, Rishi Kapoor, yang meninggal dunia akibat leukemia di Mumbai. Legasi seni peninggalan Rishi Kapoor bukan calang-calang. Watak utama pertama lakonannya adalah sebagai Raj Nath dalam filem Bobby pada 1975.
Filem ini berjasa kepada Rishi kerana ia menjadi satu kejayaan besar, malah antara filem paling berjaya dalam sejarah Bollywood. Ia bukan sahaja mendapat sambutan hangat di India, tetapi cemerlang di luar negara khususnya di Kesatuan Soviet. Benar, di negara bekas komunis itu, filem ini ditonton oleh 62.6 juta orang. Namun, Bobby hanyalah filem India kedua paling berjaya di Kesatuan Soviet. Filem yang paling berjaya adalah Awaara, hasil arahan pengarah sama, Raj Kapoor, iaitu bapa Rishi. Boleh dikatakan Bobby berjaya kerana pengaruh populariti Raj Kapoor juga.
Berbeza taraf
Terdapat satu lagi persamaan antara filem Bobby dan Awaara yang boleh dispekulasikan sebagai punca ia berjaya di Kesatuan Soviet. Kedua-dua filem ini membawa tema yang sama iaitu pertembungan kelas. Dalam Bobby, percintaan antara Raj Nath dengan Bobby Braganza tercabar kerana perbezaan kelas.
Dalam Awaara, cinta Raj dan Rita juga tercabar kerana perbezaan kelas. Bagi yang tidak menonton kedua-dua filem, temanya lebih kurang sama yang dibawa P. Ramlee dalam filem Antara Dua Darjat dan Penarik Beca. Tema sebegini pastinya mudah popular di negara yang rata-rata rakyatnya memeluk fahaman sosialis. Kisah pertembungan kelas yang tidak pernah hilang ditelan zaman dan menjadi intipati perjuangan sosioekonomi sosialisme.
Beberapa jam selepas Rishi Kapoor meninggal dunia, tarikh berubah kepada 1 Mei 2020. Hari yang penuh bersejarah buat golongan pekerja. Setiap tahun tarikh ini diabadikan untuk menghargai golongan pekerja yang menjadi nadi pergerakan ekonomi. Ia bermula dengan perarakan menuntut waktu bekerja lapan jam di Haymarket Square, Chicago, Amerika Syarikat yang bertukar menjadi kekecohan pada 1886 dan terus disambut sehingga ke hari ini.
Hari untuk pekerja
Hari Pekerja (atau ada sesetengah orang menggelarnya sebagai Mayday) adalah satu peringatan kepada kita bahawa perjuangan untuk menuntut keadilan bagi para pekerja tidak pernah padam. Menyoroti permasalahan berkaitan pekerja di Malaysia, kita sudah mencapai banyak kemajuan namun masih banyak juga yang perlu dilakukan.
Tidak lama dahulu, kita dikejutkan dengan laporan tentang jurang gaji antara CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) dengan pekerja. Malah, ia kini semakin kalut akibat pendedahan jurang gaji antara pekerja penghantaran dan pegawai tertinggi dalam sebuah GLC. Laporan MTEM 2016 merekodkan jurang tertinggi gaji CEO dalam sebuah syarikat gergasi di Malaysia mencecah 3,800 kali ganda purata gaji pekerja di syarikatnya. Berdasarkan kajian perbandingan syarikat gergasi utama dan GLC, jurang gaji CEO dan purata gaji pekerja MTEM menganggarkan ia mencapai secara purata 520 kali ganda perbezaan. Hasil kajian Suruhanjaya Sekuriti mendapati CEO di Malaysia dibayar sebanyak 141 kali lebih tinggi berbanding pekerja pada 2018. Pakar Pengurusan Korporat Peter Drucker menyatakan jurang gaji CEO dan purata gaji pekerja tidak harus melebihi nisbah 25:1 yang, pada pendapat beliau, adalah melangkaui batas etika dan moral serta urus tadbir baik korporat.
Kita tahu CEO memang dibayar gaji yang tinggi. Semua ini dapat dilihat dalam drama-drama petang di televisyen - CEO semua kaya dan bergaya. Namun, jurang yang sebegitu lebar agak mengejutkan bagi sesetengah orang. Itulah realitinya. Jika dilihat pada data pampasan pekerja (CE) pun, ia sememangnya rendah.
Pada 2018, bahagian CE kepada KDNK hanya sebanyak 35.7 peratus. Ini bermakna hanya 35.7 peratus daripada KDNK merupakan pendapatan pekerja manakala 61 peratus adalah pendapatan pemilik modal. Ia berbeza dengan negara seperti Jerman di mana bahagian CE kepada KDNK adalah sebanyak 51.5 peratus. Malah, negara jiran kita Singapura mempunyai peratusan yang lebih baik iaitu 39.7 peratus.
Begitu juga dengan perbandingan antara gaji pekerja dengan produktiviti buruh. Menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2017, secara purata pekerja di Malaysia dibayar AS$350 bagi setiap produktiviti pengeluaran bernilai AS$1,000. Ia lebih rendah berbanding gaji pekerja Amerika Syarikat, Australia, Jerman, Singapura dan United Kingdom yang dibayar AS$510 bagi setiap pengeluaran bernilai AS$1,000.
Jenis pekerjaan
Pendapatan golongan pekerja juga masih lagi rendah kerana pola pasaran pekerjaan di Malaysia sejak dekad yang lalu menghasilkan jenis pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana, sekali gus membayar pendapatan yang rendah. Pekerjaan sebegini sememangnya tidak mendatangkan pendapatan tinggi dan sebahagian pencari kerja, walaupun mempunyai kelulusan tinggi, terpaksa menerima kerja sebegini kerana hanya itu peluang yang mereka ada.
Keadaan diburukkan lagi dengan kebanjiran pekerja asing yang masuk untuk melakukan kerja-kerja sukar, berbahaya dan kotor (difficult, dangerous, dirty – 3D) tetapi beralih ke sektor lain secara tidak sah. Ia memberi kesan kepada penawaran upah menyebabkan dalam sesetengah sektor yang bergantung kepada pekerja asing, upah yang ditawarkan adalah sangat rendah.
Oleh yang demikian, hasrat kerajaan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) membawa bersama iltizam untuk merapatkan jurang pendapatan antara kelas pekerja dengan majikan. Ia dapat dilihat dalam Teras Strategik yang keempat, iaitu Pasaran Buruh dan Pampasan Pekerja.
Antara yang diharapkan dalam WKB adalah untuk mengkaji dasar gaji minimum berdasarkan keperluan dan memperluas pelaksanaan Sistem Upah yang Dikaitkan dengan Produktiviti (PLWS) yang dapat menjamin kadar upah yang lebih setimpal untuk pekerja. WKB2030 juga menyasarkan untuk menyediakan pekerjaan yang berkualiti dengan gaji yang setimpal supaya rakyat Malaysia boleh mendapat taraf kehidupan wajar dan bermaruah.
Jurang pendapatan
Sememangnya jurang antara kelas pendapatan bukanlah perkara yang baik. Ia menimbulkan prasangka dalam kalangan rakyat dan menjejaskan keharmonian masyarakat. Malah, masalah jurang pendapatan juga disifatkan sebagai bom jangka oleh Profesor Jayati Ghosh kerana jika ia tidak dihentikan, keadaan akan menjadi semakin parah. Kita tidak boleh biarkan yang kaya semakin kaya dan miskin semakin miskin.
Kita tidak mahu lagi ‘drama cinta dua darjat’ seperti yang berlaku pada Raj Nath dan Bobby Braganza, mahupun Amran dan Orang Kaya Marzuki (Penarik Beca) dan Ghazali dan Tengku Mukri (Antara Dua Darjat), berlaku pada hari ini kepada rakyat Malaysia, apabila pertembungan kelas menjadi lebih parah dan tidak dibendung.
Kita juga tidak boleh lupa pada kisah seorang penjaja jalanan di Tunisia, Mohamed Bouazizi yang membakar dirinya di hadapan pejabat gabenor yang akhirnya mencetuskan revolusi The Arab Spring. Ia bermula dengan ketidakadilan yang dihadapi Bouazizi dalam kesukarannya untuk mendapatkan wang bagi menyara keluarga.
Jurang pendapatan yang tinggi di Tunisia ketika negara itu di bawah pemerintahan Presiden Zainal Abidin Bin Ali membakar kemarahan rakyat selepas api kekecewaan membakar tubuh Bouazizi. Pastinya, kita masih jauh dari paras kritikal jurang pendapatan pekerja seperti yang terakam dalam kisah-kisah sadis seperti di atas.
Pastinya kita tidak mahu ada manusia semalang Bouazizi di tanah Malaysia ini. Maka, proses merapatkan jurang pastinya adalah penyelesaian dalam memastikan keadilan dan kesaksamaan untuk semua.
--BERNAMA
Mohd. Nizam Mahshar merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Masa Depan Malaysia (MASA) dan turut bertanggungjawab dalam melahirkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB203).