TINTA MINDA

PENJANA tangani masalah pengangguran belia

10/06/2020 08:59 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Noor Mohamad Shakil Hameed

Menyedari hakikat kadar pengangguran tahun ini dijangka meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 penganggur mengikut perangkaan Jabatan Perangkaan, kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk memperkasa peluang pekerjaan kepada golongan belia dan penganggur. Justeru, golongan belia perlu merebut segala peluang yang disediakan melalui ini untuk memajukan diri, keluarga dan juga negara.

Inisiatif melalui PENJANA dilaporkan bakal memberi manfaat kepada kira-kira 3 juta tenaga kerja melalui beberapa pelan perancangan yang komprehensif. Sudah tentu antara inisiatif yang menarik perhatian semua ialah insentif yang disediakan kepada majikan supaya mengekalkan pekerja serta mengambil pekerja baharu. Ini membolehkan kedudukan pekerjaan para belia selamat selain membuka laluan untuk jawatan kosong.

Kesan pandemik

Hakikatnya, serangan wabak COVID-19 menyebabkan perkembangan ekonomi terjejas terus dan akibatnya ramai yang telah diberhentikan kerja. Malah, ramai juga dilaporkan sedang meniti nasib umpama ‘telur dihujung tanduk’ dengan mereka berdepan nasib yang sama pada bila-bila masa sahaja.

Justeru, pengumuman kerajaan mengenai perkara ini pasti melegakan semua pihak kerana kita yakin majikan akan lebih rasional dan tidak akan memberhentikan pekerja.

Ironinya, golongan belia perlu merebut semua peluang yang kerajaan sediakan ini. Antara inisiatif yang menarik ialah Program Insentif Pengambilan Pekerja berjumlah RM1.5 bilion. Melalui program ini, majikan atau syarikat akan menerima insentif kewangan untuk memberi pekerjaan kepada golongan penganggur dan belia. Insentif ini terbahagi kepada dua iaitu insentif RM800 sebulan bagi setiap pekerja sekiranya menggaji penganggur berumur di bawah 40 tahun dan RM1,000 sebulan selama enam bulan sekiranya menggaji penganggur berumur 40 tahun dan ke atas serta golongan orang kelainan upayan (OKU). Dianggarkan kira-kira 300,000 pencari kerja akan mendapat manfaat melalui insentif itu.

Jangan memilih

Dalam konteks ini, kita berharap golongan belia terutamanya para graduan tidak akan memilih pekerjaan. Hal ini penting kerana peluang kerja kosong ini akan berlaku di pelbagai sektor mengikut keperluan dan kekosongan termasuklah sektor pekerjaan 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar.

Harus diingat, ini bukanlah masa untuk “jual mahal” sebaliknya terimalah apa jua tawaran yang diperoleh demi kelangsungan hidup maising-masing. Jadikan pekerjaan ini sebagai batu loncatan untuk membina daya tahan, menimba pengalaman serta megasah bakat dan kemahiran yang pelbagai sebelum mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik kelak. Ringkasnya, tidak salah untuk bermula dari bawah sebelum berada di puncak pada suatu hari nanti.

Satu lagi inisiatif menarik ialah pemberian insentif kepada majikan yang menyediakan peluang perantis kepada lepasan sekolah dan graduan pada kadar RM600 sebulan. Ini adalah usaha tambahan kerajaan untuk menangani isu kadar pengangguran belia serta meningkatkan kebolehpasaran graduan. Jadi, belia terutamanya graduan baharu yang selama ini sukar mendapatkan pekerjaan kerana majikan berpandangan mereka tiada pengalaman dan kemahiran kerja yang diperlukan, bakal memperoleh manfaat yang besar melalui program ini.

Melalui inisiatif ini, mereka boleh menyertai mana-mana organisasi yang bersesuian dengan minat serta latar belakang pengajian mereka untuk menimba pengalaman di dunia pekerjaan yang sebenar. Ini akan membolehkan mereka memperoleh pelbagai nilai tambah yang akan menjadi senjata penting untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik selepas tamat program perantis tersebut.

Asah kemahiran

PENJANA juga terus membuka ruang kepada golongan belia untuk meningkatkan lagi kemahiran dan kemampuan diri supaya dapat memenuhi keperluan pasaran kerja, sekali gus memudahkan proses memperoleh peluang pekerjaan yang lebih baik. Antara inisiatif tambahan yang disediakan melalui pelan pemulihan ekonomi ini ialah kerajaan akan memperuntukkan RM2 bilion bagi program peningkatan kemahiran untuk mereka yang sedang menganggur dan juga golongan belia. Ini termasuklah program latihan dan penempatan (place and train) serta pelaksanaan kursus jangka pendek di institusi-institusi terpilih dan subsidi latihan.

Justeru, belia perlu bijak menggunakan peluang ini untuk memilih dan mengikuti kursus kemahiran yang bersesuaian dan diperlukan oleh pasaran kerja di negara ini. Pada akhirnya inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan lebih daripada 200,000 belia.

Dengan pelbagai inisiatif baharu untuk membantu golongan belia dan penganggur, majikan sudah boleh mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing secara perlahan-perlahan. Dalam hal ini, para majikan perlu lebih bertangungjawab dan membuka seluas-luasnya peluang pekerjaan kepada warga tempatan. Berilah peluang kepada belia kita untuk membuktikan kemampuan, walaupun mungkin kurang kemahiran dan pengalaman namun kita percaya belia kita boleh belajar dengan cepat dan melaksanakan kerja dengan cekap dan efisien.

Tuntasnya, kerajaan telah membuktikan komitmen untuk membantu memperkasa kerjaya dan masa depan golongan belia. Kini terpulang kepada golongan belia itu sendiri untuk menentukan hala tuju dan masa depan mereka.

Golongan belia tidak boleh berpeluk tubuh lagi, sebaliknya perlu agresif merebut segala peluang yang disediakan ini untuk memajukan diri dan keluarga. Ingat, sudah tiba masanya untuk golongan belia memainkan peranan yang lebih besar dan signifikan dalam proses pembangunan ekonomi, rakyat dan negara secara keseluruhannya.

--BERNAMA

Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat Dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)