TINTA MINDA

MENEROKA SUMBER PERIKANAN

15/06/2020 09:54 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz

Pertubuhan makanan dan pertanian menyatakan 75 peratus sumber perikanan telah diekploitasi secara berlebihan. Lebih mengejutkan, kajian saintifik oleh pakar perikanan dari Kanada dan Amerika Syarikat menunjukkan stok perikanan dunia akan habis menjelang tahun 2048.

Purata minimum protein yang diperlukan oleh manusia adalah 0.8 gram sehari. Dalam setahun manusia memerlukan paling minimum 29 kilogram protein. Sumber protein yang murah adalah daripada sumber perikanan. Sumber perikanan ini boleh didapati daripada pendaratan ikan liar dan akuakultur.

Sektor perikanan

Malaysia merupakan antara sebuah negara maritim dan dikelilingi laut seluas 614,000 kilometer persegi. Tanpa kita sedari, sektor perikanan telah menyumbang kira-kira 1.5 peratus kepada kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan telah menyediakan peluang perkerjaan kepada 130,645 nelayan di Malaysia. Sumbangan perikanan kepada ekonomi negara tidak dapat dipertikaikan lagi.

Universiti Malaysia Terengganu yang mempunyai kepakaran dalam menerokai rahsia laut biru ini telah dipertanggungjawabkan bagi melestarikan sumber perikanan yang semakin terhakis ini. Pada tahun 2018, Malaysia telah kehilangan RM6 bilion kerana perikanan illegal, unregulated and unreported (IUU). Ini tidak termasuk hampir 43 peratus ikan baja yang terperangkap dalam pukat tunda.

Di Malaysia, zon penampan bagi kelestarian sumber perikanan terletak di pesisiran pantai, iaitu 0-1 batu nautikal (b.n) dan 1-8 b.n. Kawasan ini merupakan kawasan yang kaya dengan nutrien dan makanan hidup bagi anak ikan. Habitat ini seharusnya diuruskan dengan baik bersandarkan kajian yang mendalam dan teliti.

Universiti Malaysia Terengganu

Kedudukan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang terletak berhampiran lautan telah mendekatkan penyelidik dengan para komuniti nelayan di sekitarnya. Di Kuala Terengganu sahaja, terdapat 1,812 nelayan yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia manakala terdapat lebih 400 nelayan berdaftar di sekitar UMT.

Punca pencarian nelayan ini adalah penerokaan sumber perikanan di pesisiran pantai. Mengikut data terkini daripada Jabatan Perikanan Malaysia pada tahun 2017, terdapat 19,507 bilangan pukat hanyut di Malaysia. Kebanyakan pukat hanyut ini digunakan oleh nelayan pesisir pantai yang mempunyai bot kecil dan enjin sangkut.

Geografi pesisir pantai di sekitar UMT telah terkesan teruk oleh hakisan pantai yang berlaku pada musim monsun. Pemecah ombak yang dibina dengan menggunakan batuan gergasi bagi menghalang hakisan ini secara tidak langsung telah mengubah ekologi perikanan di sekitarnya. Nelayan mengalami kesukaran untuk mencari sumber rezeki mereka.

Meringankan beban komuniti nelayan

Antara masalah yang dihadapi oleh komuniti nelayan adalah ikan yang semakin berkurangan, saiz ikan yang semakin mengecil, perubahan jenis ikan di pesisiran pantai, peralatan perikanan yang semakin tidak berkesan dan kawasan tumpuan ikan mengikut saiz dan jenisnya.

Terpanggil bagi meringankan beban para komuniti nelayan. Penyelidik UMT telah membina unjam dan tukun tiruan bagi menggantikan habitat yang telah musnah akibat hakisan pantai ini. Tukun dan unjam ini telah diletakkan di kawasan yang berpotensi untuk menjadi habitat baharu bagi sumber perikanan. Selepas dua tahun, didapati beberapa jenis spesies ikan komersial telah mulai hadir di sekitar unjam dan tukun ini.

Unjam dan tukun yang diletakkan pada mulanya akan mempengaruhi pertumbuhan tumbuhan akuatik seperti terumbu karang. Terumbu karang ini pula akan menarik perhatian plankton yang menjadi sumber makanan ikan kecil. Apabila ikan kecil hadir, ikan yang bersaiz lebih besar akan hadir di kawasan tukun dan unjam tersebut.

Masalah seharian yang dihadapi oleh nelayan dalam menerokai sumber lautan adalah menentukan lokasi ikan yang sesuai mengikut jenis dan saiznya. Kebanyakan para nelayan pesisir pantai menentukan lokasi perikanan dengan menggunakan kehadiran ikan lumba-lumba yang mengepung ikan pelagik dan kehadiran burung camar tersebut di permukaan air. Namun teknik ini mengambil masa dan memakan kos yang tinggi, terutamanya dari segi penggunaan minyak.

Di zon penampan ini juga, selain bubu dan perangkap ketam, kebanyakan nelayan pesisir pantai bergantung sepenuhnya kepada pukat hanyut dalam operasi mereka. Terdapat 33,502 nelayan yang menggunakan pukat hanyut di Malaysia. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding peralatan perikanan yang lain seperti pancing (6,318), pukat tunda (5,875) dan bubu (1,163).

Keberkesanan pukat hanyut ini bergantung sepenuhnya kepada kemampuan nelayan untuk mengesan lokasi panas tumpuan ikan. Sebagai contoh, mengesan ikan dengan menyelam dan melihat sendiri kawasan ikan dalam laut. Namun teknik ini tidak diajar kepada nelayan lain dan selalunya diwarisi secara turun-temurun.

Penyelidik UMT telah membantu nelayan mengenal pasti lokasi panas ikan ini dengan menggunakan penduga gema. Setelah data yang dikumpulan oleh penduga gema ini dianalisis, lokasi tumpuan ikan mengikut jenis dan spesis dapat dikenal pasti dengan lebih tepat. Di samping membantu meningkatkan ekonomi nelayan, ianya mampu membantu kelestarian sumber perikanan.

Pukat hanyut yang digunakan juga dicantumkan dengan bukaan saiz yang berbeza bagi mengurangkan tangkapan sampingan. Pukat hanyut ini juga diletakkan di kawasan yang sesuai dan menjimatkan masa nelayan dalam pencarian lokasi ikan komersial.

Selain kesan rumah hijau, peningkatan paras air laut dan perubahan suhu, pembinaan pemecah ombak juga telah mempengaruhi habitat perikanan dan komposisi perikanan di sekitar pantai UMT. Ianya secara tidak langsung juga menjejaskan keberkesanan alatan perikanan yang digunakan dalam aktiviti seharian. Penyelidik UMT telah membantu komuniti nelayan dengan mengubahsuai alatan perikanan dari segi saiz, bentuk dan unjap. Malah ada antara peralatan ini diubah suai agar boleh dilipat bagi memudahkan untuk dibawa dalam kuantiti yang banyak dalam operasi.

Kajian saintifik yang dilakukan oleh penyelidik UMT sedikit sebanyak memberi sumbangan kepada para komuniti nelayan di sekitarnya. Ilmu saintifik ini telah diterjemah dengan jelas dan membantu sosioekonomi secara tidak langsung. Semoga hubungan yang terjalin antara komuniti nelayan dan penyelidik memberi impak yang positif kepada kelestarian sumber perikanan.

-- BERNAMA

Dr Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz adalah pensyarah kanan di dalam bidang Teknologi Alatan Perikanan dan Ekologi Perikanan di Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)