Kita baru sahaja meraikan sambutan Hari Alam Sekitar iaitu pada tanggal 5 Jun yang lalu. Setiap tahun pada tarikh tersebut, seluruh dunia meraikan Hari Alam Sekitar bermatlamat untuk mempertingkatkan tahap kesedaran masyarakat dunia terhadap isu alam sekitar serta mempertingkatkan tindakan dan penglibatan mereka terhadap sebarang perubahan yang berlaku kepada alam sekitar. Walaupun disambut dengan tema yang berbeza setiap tahun, namun tujuannya hanyalah untuk melestarikan alam sekitar daripada terjejas atau musnah akibat perlakuan manusia yang tidak berharmoni dalam tindak-tanduk seharian mereka. Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini bertemakan kepelbagaian biologi iaitu “Time for Nature“.
Bersempena sambutan tersebut, di seluruh dunia lazimnya, pelbagai program dan aktiviti yang berkaitan dengan usaha menyayangi, melindungi, memelihara dan memulihara alam sekitar diadakan seperti acara penanaman pokok, kem kesedaran alam sekitar, larian bertemakan alam sekitar, pertandingan berpidato dan mewarna serta pelbagai pameran dan kempen yang kesemuanya memberi penekanan terhadap keperluan melestari alam sekitar. Namun, setelah 48 tahun sambutan tersebut diraikan lestarikah alam sekitar kita? Terpeliharakah sungai dan hidupan liar sejagat? Bertambah baikkah kualiti udara dan air? Apakah pula peranan dan sumbangan kita dalam memelihara alam sekitar daripada sebarang bentuk kemerosotan dan kemusnahan? Cukup dan memadaikah segala polisi dan perundangan berkaitan dalam melindungi alam sekitar secara berterusan? Di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 misalnya, jumlah denda maksimum hanyalah RM500,000 dan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun boleh dikenakan ke atas mereka yang didapati bersalah melakukan pencemaran. Dapat dan mampukah perundangan ini mengekang penjejasan alam sekitar yang semakin berleluasa?
Dimensi baharu keselamatan manusia
United Nations Development Programme (UNDP) menerusi dokumen Human Development Report 1994 menjelaskan terdapat tujuh elemen yang dikategorikan sebagai dimensi baharu keselamatan manusia iaitu keselamatan ekonomi, keselamatan makanan, keselamatan kesihatan, keselamatan alam sekitar, keselamatan peribadi, keselamatan komuniti dan keselamatan politik. Ketujuh-tujuh elemen ini saling berkait rapat, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Ia juga mempunyai hubungan berbentuk ‘sebab dan akibat’ antara satu sama lain seperti kekurangan sumber air (keselamatan alam sekitar) boleh menjejaskan kesampaian kepada bekalan air bersih yang memberi kesan kepada kualiti hidup dan kesejahteraan kesihatan manusia sejagat.
Kesan kemusnahan alam sekitar
Hakikatnya, kemusnahan alam sekitar akan membawa malapetaka dan bencana berterusan buat kita semua kerana, persekitaran mempunyai kesan besar terhadap kehidupan manusia khususnya daripada segi tahap kesihatan termasuklah kualiti hidup. Udara yang tercemar akibat pelepasan gas rumah hijau oleh kenderaan bermotor dan industri misalnya telah diakui memberi kesan terhadap sistem pernafasan manusia kerana, penyedutan bahan pencemar ini berpotensi memberi kesan buruk ke atas paru-paru dan organ-organ badan yang lain. Bahan pencemar udara seperti ozon, logam dan radikal bebas pula diketahui berupaya merosakkan sel-sel tisu paru-paru. Lantaran itu, menurut kebanyakan penyelidik, bahan partikel dalam udara menurunkan jangka hayat kerana pencemar seperti ozon menjejaskan pernafasan seseorang, mencetuskan simptom asma dan menyebabkan penyakit paru-paru dan jantung selain boleh menyebabkan ketidaksuburan. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Persatuan Jantung Amerika mendapati, pencemaran udara dapat menurunkan tahap lipoprotein berkepekatan tinggi (HDL), atau kolesterol baik dalam badan yang menyebabkan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Sustainability turut mendedahkan bahawa tahap pencemaran udara yang tinggi dikatakan sebagai faktor yang meningkatkan kecenderungan untuk mengalami keguguran secara senyap. Malahan, sekitar 36,000 rakyat Britain mati setiap tahun akibat daripada kesan pencemaran udara!
Pencemaran sumber air
Berkaitan sumber air, pencemaran sungai menjejaskan kegunaan berfaedah dan memberi risiko berbahaya kepada kesihatan dan keselamatan awam. Ekoran pembangunan pesat sehingga mencemari sumber air minuman, dianggarkan lebih 780 juta individu di seluruh dunia tidak memiliki akses untuk air minuman yang bersih dan selamat, malahan hampir 2.5 bilion penduduk bumi tidak mempunyai perkhidmatan kebersihan mencukupi seperti bilik air yang bersih. Akibatnya di seluruh dunia, lebih 2,000 kanak-kanak mati setiap hari disebabkan penyakit cirit-birit berkaitan air dan tahap kebersihan yang tidak betul! Rakyat di negara ini walaupun mengalami beberapa siri gangguan bekalan air belum lagi melalui keperitan tiada bekalan air seperti yang ditanggung petani di India dan ada yang dilaporkan bertindak membunuh diri sejak 1986 kerana tanaman serta ladang yang gagal diusahakan di samping menanggung beban hutang. Di Cape Town, Afrika Selatan pula, krisis air yang melanda bandar itu bermula 2015 memaksa kerajaan tempatan mengisytiharkan day zero buat pertama kali pada 2017. Istilah day zero merujuk kepada kawalan bekalan air tahap tujuh iaitu bekalan air ke rumah ditutup dan setiap individu hanya boleh mendapat bekalan air sebanyak 25 liter sehari yang disediakan oleh kerajaan tempatan. Inilah ‘harga’ yang terpaksa dibayar akibat kita berseteru dengan alam!
Kesejahteraan generasi masa hadapan
Masa depan alam sekitar, kualiti kehidupan sejagat dan kesejahteraan generasi masa hadapan berada di tangan kita. Kita boleh membina masa depan yang lebih baik dan lebih lestari dengan mengamalkan kehidupan sederhana yang memberi penekanan terhadap memenuhi “keperluan” asas utama setiap manusia seperti tempat penginapan dan makanan berbanding memenuhi “kehendak” yang tidak perlu seperti kereta mewah dan gaya hidup berprestij! Justeru, Hari Alam Sekitar tidak seharusnya disambut begitu sahaja tanpa wujudnya elemen untuk ‘menerap, mengajak dan mendidik’ masyarakat seluruhnya secara berterusan untuk terus memelihara dan memulihara alam sekitar sejagat. Sudah tiba masanya masyarakat Malaysia mengamalkan gaya kehidupan yang “mesra alam” secara meluas dalam kehidupan seharian mereka di samping turut terlibat sama secara aktif dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar negara dan sejagat. Setiap anggota masyarakat perlu sedar bahawa usaha pemuliharaan patut menjadi teras dalam diri masing-masing, kerana kesedaran dalam diri setiap individu adalah sangat penting. Tidak ada makna sambutan hari alam sekitar diraikan setiap tahun, namun kesihatan dan kesejahteraan alam sekitar semakin merosot dan musnah akibat daripada tangan-tangan kita! "Hubungan masyarakat dan alam sekitar sememangnya rapat, malah kedua-duanya saling memerlukan. Namun, sekiranya alam sekitar musnah, maka yang rugi dan sengsara adalah masyarakat keseluruhannya.” Justeru pelihara dan puliharalah alam sekitar kita demi kesejahteraan manusia seluruhnya!
-- BERNAMA
Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman merupakan Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia