TINTA MINDA

Pencemaran Mikroplastik: Ancaman Kepada Kesihatan Awam

28/04/2026 09:16 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Norliawati Mohd Sidek dan Ameer Muqrie Abdul Mutalib.


Pernahkah anda terfikir bahawa zarah plastik kecil boleh masuk ke dalam badan anda setiap kali anda minum air atau makan hidangan laut? Apa yang pada mulanya dianggap tidak mungkin kini menjadi kenyataan, dan ini adalah sesuatu yang semakin membimbangkan.

Menurut laporan global, manusia boleh "memakan" mikroplastik sebesar saiz satu kad kredit setiap minggu. Lebih mengejutkan lagi, kajian terkini mendapati bahawa mikroplastik terdapat dalam darah manusia. Penemuan ini menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan persekitaran kita pada masa kini.

Plastik digunakan dalam hampir semua aspek kehidupan moden, daripada botol air dan pembungkus makanan hinggalah kepada pakaian. Bagaimanapun, satu ancaman halus yang semakin sukar dielakkan tersembunyi di sebalik keselesaan yang disediakan.



Apa itu mikroplastik

Mikroplastik adalah zarah plastik bersaiz kurang daripada lima milimeter. Walaupun kecil, ia berasal daripada bahan kimia yang kompleks. Plastik terdiri daripada rantaian molekul panjang yang terdiri daripada unit kecil yang dipanggil monomer.

Antara polimer yang paling banyak digunakan ialah polyethylene (PE) dan polypropylene (PP), yang sering ditemui dalam botol air dan pembungkus makanan. Polimer ini sukar terurai secara semula jadi kerana ia mempunyai ikatan kovalen yang sangat stabil. Hal ini mengakibatkan plastik boleh kekal selama ratusan tahun.

Bagaimana Mikroplastik Terbentuk?

Mikroplastik terbentuk apabila plastik besar terdedah kepada cahaya matahari, haba dan oksigen. Ikatan dalam polimer dipecahkan oleh sinaran ultraviolet (UV) melalui proses fotodegradasi.

Selain itu, oksigen pula membantu mempercepatkan kerosakan struktur plastik. Ini mengakibatkan plastik yang besar akan dipecahkan kepada plastik yang lebih kecil. Walaupun saiz plastik mengecil, tetapi sifat kimia bahan tersebut tetap kekal seperti sedia kala.

Bagaimana ia masuk ke dalam tubuh kita?

Mikroplastik boleh masuk ke dalam tubuh manusia melalui pelbagai cara. Antaranya ialah melalui makanan dan minuman, terutamanya melalui air di dalam botol plastik dan makanan-makanan laut seperti kerang, ikan dan udang.

Tambahan pula, ia juga mungkin boleh terdapat di dalam habuk halus di udara, terutamanya daripada pakaian sintetik seperti poliester.

Zarah ini boleh memasuki peparu manusia apabila sedang bernafas. Kedua-dua laluan ini menunjukkan bahawa hampir mustahil untuk manusia tidak terdedah kepada mikroplastik pada masa kini.



Bahan kimia berbahaya dalam plastik

Pelbagai bahan kimia telah digunakan bagi meningkatkan ketahanan dan fungsi plastik. Antaranya ialah bahan kimia utama yang digunakan dalam pembuatan plastik keras ialah Bisphenol A (BPA).

BPA mempunyai keupayaan untuk meniru hormon estrogen dalam badan manusia yang boleh bertindak sebagai pengganggu endokrin. Hal ini boleh mengakibatkan keseimbangan hormon terjejas apabila seseorang selalu terdedah dengan bahan tersebut.

Selain itu, phthalates juga merupakan antara bahan yang digunakan untuk memastikan plastik lebih fleksibel. Bahan ini juga mampu untuk memberi kesan kepada sistem hormon dan kesuburan manusia.

Kesan kepada kesihatan dan alam sekitar

Mikroplastik bukan hanya bahaya kerana kita tidak dapat melihatnya, namun kerana saiznya yang kecil dan mampu bertindak sebagai pembawa bahan kimia bertoksik. Zarah ini juga boleh menyerap logam berat dan bahan pencemar lain sebelum masuk ke dalam badan manusia.

Kajian yang dilakukan di makmal dan kajian terhadap haiwan telah menunjukkan bahawa pendedahan kepada mikroplastik boleh menyebabkan kerosakan sel dalam badan dan keradangan. Terdapat sesetengah kes dimana zarah ini mampu untuk menembusi tisu dan menetap dalam organ tertentu di dalam badan.

Lebih membimbangkan lagi apabila bahan kimia berbahaya yang terdapat dalam mikroplastik seperti BPA dan phthalates mampu untuk mengganggu sistem hormon manusia.

Gangguan ini boleh membawa kepada pelbagai kesan negatif terhadap kesihatan seperti masalah perkembangan, kesuburan dan fungsi tubuh yang tidak normal.

Menurut World Health Organization (WHO), penemuan awal telah menunjukkan bahawa pendedahan berterusan terhadap mikroplastik mampu mengakibatkan risiko kesihatan yang serius apabila tidak dapat dikawal segera.

Penggunaan plastik yang banyak dan berterusan di Malaysia juga telah menyumbang kepada pencemaran laut. Apabila hidupan laut memakan mikroplastik, bahan tersebut boleh sampai ke manusia kerana hidupan laut merupakan satu daripada sumber makanan utama manusia yang menjadikan mikroplastik susah dipisahkan dari hidup manusia.

Jika manusia terdedah secara berterusan dalam jangka masa panjang, ia boleh menjadi musuh dalam selimut atau ancaman senyap kepada diri manusia.

Apa yang boleh kita lakukan?


Walaupun sukar untuk mengelakkan mikroplastik sepenuhnya dalam kehidupan kita, namun terdapat cara yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan diri kita dari terdedah kepada mikroplastik secara berlebihan.

Antaranya termasuk dengan mengurangkan penggunaan bahan yang diperbuat daripada plastik. Gunakan bekas atau botol air yang diperbuat daripada logam atau kaca.

Selain itu, elak memanaskan makanan menggunakan bekas plastik. Hal ini kerana haba boleh mengakibatkan bahan kimia seperti BPA meresap ke dalam makanan dan memberi kesan yang buruk kepada kesihatan sekiranya selalu terdedah.

Kesedaran pengguna penting dalam memastikan perubahan dalam jangka masa panjang. Walaupun nampak kecil, namun perubahan secara berterusan mampu memberi kesan yang besar dalam jangka masa panjang.

Ancaman senyap di sekeliling kita

Mikroplastik kini bukan sahaja sekadar isu alam sekitar yang tiada kaitan dengan hidup kita, namun ia kini sudah berada di sekeliling kita seperti di dalam makanan, minuman, udara dan juga mungkin di dalam tubuh kita.

Walaupun plastik memberi banyak kemudahan, namun kesan sampingannya terhadap manusia dan alam sekitar tidak boleh diambil ringan. Pencemaran ini bukan sahaja boleh berlaku di persekitaran manusia, namun boleh masuk secara senyap ke dalam diri manusia.

Persoalan yang timbul hari ini bukan lagi sama ada kita terdedah kepada mikroplastik atau tidak, tetapi sejauh mana kita sanggup mengurangkan risiko tersebut dalam kehidupan seharian.

Dalam dunia yang semakin bergantung kepada plastik, perubahan mungkin tidak berlaku secara drastik, namun langkah kecil yang dilakukan secara konsisten mampu membawa perubahan besar.

Akhirnya, isu mikroplastik bukan sekadar tanggungjawab individu semata-mata, tetapi melibatkan semua pihak termasuk industri, kerajaan dan masyarakat. Jika tiada tindakan diambil, ancaman senyap ini akan terus menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia tanpa kita sedari.

--BERNAMA

Norliawati Mohd Sidek ialah Pensyarah Kursus Kimia dan Masyarakat, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Ameer Muqrie Abdul Mutalib ialah mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Sains Komputer dengan Informatik Maritim (Kepujian), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)