TINTA MINDA

PKPP: KHABAR INDAH BUAT PENGUSAHA RUMAH PENGINAPAN

17/06/2020 08:10 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Suhairi Sulaiman

Bagai menerima hujan emas, begitulah perasaan setiap pengusaha rumah penginapan jangka pendek atau short-term residential accommodation (STRA) setelah pelancongan domestik dan rentas negeri dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan mulai 10 Jun hingga 31 Ogos.

Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Jun lepas disambut baik oleh Pertubuhan Penginapan Kediaman Pelancongan Malaysia atau Malaysian Association Residential Tourism Accommodation (MARTA) yang mewakili kira-kira 400 ahli di seluruh negara.

Setelah hampir tiga bulan tidak beroperasi, pengusaha STRA sememangnya amat terkesan dengan keadaan yang berlaku. Tiada tempahan diterima. Jika ada pun, ia hanya daripada pasukan barisan hadapan yang memerlukan penginapan khas jauh daripada keluarga. Terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang berhempas pulas menangani pandemik COVID-19.

MARTA perjuang industri rumah penginapan

Dewasa ini, industri STRA semakin berkembang di Malaysia. Melalui data platfom tempahan STRA, selain hotel, rumah penginapan menjadi pilihan pelancong dalam dan luar negara sehingga menjana pendapatan ratusan juta ringgit setiap tahun.

Namun demikian, tiada garis panduan khusus untuk industri STRA selain daripada program Inap Desa di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Program Inap Desa merupakan program pelancongan yang diatur oleh MOTAC supaya pelancong tinggal bersama-sama keluarga tempatan. Selain itu, MOTAC juga menganjurkan program ekopelancongan iaitu pelancongan yang berasaskan alam semula jadi seperti hutan tropika, pantai, pulau, bukit, taman, laut dan sebagainya.

Oleh sebab tiada pertubuhan khusus yang memperjuangkan industri STRA sepertimana inap desa di bawah MOTAC, beberapa pemain industri ini telah bergabung membentuk MARTA agar boleh menjadi pemudahcara antara pemain industri dengan kerajaan bagi mewujudkan situasi “menang-menang” antara kedua-dua pihak.

Pertubuhan ini juga menjenamakan rumah penginapan kepada “Home To Stay” (hom2stay) sebagai identiti kepada industri ini supaya pengguna tidak terkeliru dengan inap desa di bawah MOTAC, hotel, chalet dan sebagainya.

MARTA yang baru saja diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan pada 6 Mac lepas ditubuhkan bagi mencapai matlamat berikut:

  • Mewujudkan rangkaian kerjasama usahawan dalam industri STRA di seluruh negara

  • Membantu ahli meningkatkan mutu perkhidmatan dalam pengurusan hom2stay

  • Mempromosi serta meluaskan pasaran industri STRA di dalam dan luar negara

  • Mewujudkan piawaian dan persijilan untuk industri STRA

  • Melatih usahawan menguasai kemahiran dalam pengurusan dan operasi hom2stay untuk perniagaan

  • Membantu dan menyokong dasar dasar kerajaan untuk memajukan industri STRA di dalam dan luar negara

Dengan latar belakang pemain industri yang berjaya dan pakar dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan, pemasaran, kewangan, latihan dan sebagainya, MARTA yakin akan dapat membantu pemain industri STRA untuk menjadi usahawan yang lebih berjaya dan menjana pendapatan yang lumayan serta membantu kerajaan meningkatkan ekonomi negara.

Sokong aspirasi kerajaan

MARTA turut mengharapkan bantuan dan sokongan penuh daripada kerajaan kerana persatuan ini juga antara industri yang menyokong sektor pelancongan yang kini lebih tertumpu kepada pelancongan berkonsepkan kekeluargaan.

Kepada semua pengusaha hom2stay di seluruh negara, patuhilah prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan termasuk melaksanakan proses pensanitasi terhadap rumah penginapan dan kelengkapannya, saringan suhu serta penjarakan sosial bagi mengehadkan jumlah penginap.

MARTA juga berharap agar setiap pengusaha memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan demi menjaga nama baik industri kerana setiap pengusaha adalah duta kecil pelancongan di kawasan dan negeri masing-masing.

Kepada semua pengusaha hom2stay di seluruh negara, daftarlah sebagai ahli MARTA agar kita dapat bersama-sama merancang pelbagai program yang menepati aspirasi kerajaan.

Untuk pendaftaran, sila hubungi Pengerusi Biro Keahlian dan Modal Insan MARTA, Fathiah Ramli di talian 011-1082 7696 atau layari laman Facebook fb.me/martamalaysia.

-- BERNAMA

Suhairi Sulaiman ialah Pengerusi Pertubuhan Penginapan Kediaman Pelancongan Malaysia (MARTA)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)