NOTA KAMPUS

ANTARA MENCARI PEKERJAAN DAN MEMBINA PEKERJAAN

19/06/2020 08:10 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Mohd Nizam Sahad

Sebelum berlakunya penularan gejala COVID-19, isu pengangguran siswazah telah banyak diperkatakan. Pastinya pada era dan pasca-COVID-19 cabaran pasaran pekerjaan bagi siswazah akan lebih mencabar.

Pihak kerajaan dan universiti awam menyedari hakikat ini. Oleh sebab itulah, program semasa dan program baru yang ingin ditawarkan perlu membuat kajian kebolehpasaran dan mempunyai nilai yang diinginkan majikan.

Antara nilai yang diinginkan majikan dari pasaran siswazah yang memohon pekerjaan ialah mereka yang mempunyai keupayaan berfikir secara kritis dan mampu menyelesaikan masalah dengan cepat dan pantas.

Mereka menginginkan pekerja yang mampu berfikir dan berdikari untuk sama-sama memajukan syarikat dan organisasi mereka.

Dalam masa yang sama, para siswazah tidak boleh lagi mempunyai mentaliti memilih dan mencari pekerjaan tetapi mereka hendaklah membina pekerjaan mereka dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman semasa di universiti. Persoalannya, bagaimana siswazah boleh membina pekerjaan?

Kenal pasti trend semasa

Pertama, siswazah wajib bijak mengenal pasti trend semasa dan mengambil peluang daripada kerja yang tercipta daripada trend tersebut.

Sebagai contoh, trend kerja yang wujud semasa penularan COVID-19 ialah sektor penghantaran makanan, sektor pembuatan makanan dan produk yang turut menyediakan khidmat penghantaran.

Siswazah tidak boleh berasa malu melakukan apa jua pekerjaan pada masa kini. Fikirkan ke arah untuk menimba pengalaman dan pengetahuan ketika mengatur langkah ke alam pekerjaan.

Asalkan halal dan baik, siswazah mesti sanggup melakukannya. Anda ialah golongan bijak pandai. Tidak mustahil satu hari nanti anda yang akan menjadi peneraju syarikat khidmat penghantaran. Semuanya bermula dari bawah dengan pengalaman yang diperoleh.

Banyak contoh mereka yang berjaya dalam bidang perniagaan bermula dari bawah sebagai pekerja. Ini sekadar satu contoh. Banyak lagi peluang pekerjaan yang muncul hasil dari perubahan suasana ekonomi dunia.

Malah, ajaran Islam juga amat menggalakkan umatnya menceburi dunia perniagaan dan keusahawanan. Berusaha dengan tangan dan titik peluh sendiri merupakan sesuatu yang disukai agama.

Oleh yang demikian, berbekalkan daya intelektual yang ada, anda semua seharusnya bijak merancang masa depan dengan bersiap sedia dengan kemahiran dan semangat jitu membina pekerjaan bagi masa depan anda.

Asah kemahiran, cabar potensi diri

Anda semua juga harus memiliki pemikiran global. Anda perlu banyak berjalan dan melihat budaya, pasaran dan suasana perniagaan di negara luar. Dalam hal ini, universiti berperanan melakukan program pendedahan yang bersesuaian terhadap pelajar mereka.

Selain itu juga, pencapaian akademik semata-mata tidak boleh lagi menjadi kayu ukur kepada kejayaan seseorang siswazah. Apa yang lebih penting ialah pencapaian yang bersifat praktikal yang boleh dijadikan asas kepada penerimaan seseorang siswazah dalam pasaran pekerjaan di luar sana.

Kesemua yang dibicarakan di atas menuntut anda untuk keluar dari zon selesa dari sekadar ke kuliah dan bilik tutorial. Sebaliknya anda harus bersifat proaktif mempelbagaikan kemahiran diri yang berkaitan dengan kemahiran insaniah khususnya kemahiran komunikasi dalam pelbagai bahasa, kemahiran kerja berpasukan, kemahiran kepimpinan dan kemahiran keusahawanan.

Mudah-mudahan anda beroleh keyakinan diri dan keyakinan bahawa rezeki seseorang telah ditetapkan Tuhan melalui usaha yang berterusan mencuba dan terus mencuba serta mencabar potensi diri dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Mohd Nizam Sahad merupakan pensyarah kanan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)