Sejak tiga bulan lalu, COVID-19 telah meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada kehidupan manusia, sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) malah ia turut memberi kesan kepada aspek pemasaran. Dalam menghadapi krisis yang seolah-olah tidak berkesudahan ini, usahawan perlu melakukan anjakan dalam perniagaan mereka terutamanya dalam aspek pemasaran. Anjakan dalam aspek pemasaran dan gaya hidup pengguna sudah tentu menuntut usahawan untuk lebih proaktif dalam merangka strategi perniagaan mereka. Cabaran hidup rakyat Malaysia kini yang dalam proses melazimkan kehidupan dengan norma baharu selepas memasuki Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Sudah tentulah landskap pemasaran sebelum, semasa dan selepas PKP mengalami perubahan yang besar dalam memenuhi permintaan pengguna dan tuntutan semasa. Suka atau tidak, kita mesti mengikut trend peredaran global dengan mengubah strategi serta landskap pemasaran untuk memastikan survival dalam perniagaan.
Landskap pemasaran dan pengguna sebelum PKP
Landskap pemasaran sebelum PKP lebih tertumpu kepada cara pemasaran secara konvensional dan digital. Cara pemasaran konvensional masih sama seperti biasa. Daripada segi transaksi urus niaga pula, pengguna membayar secara tunai atau menggunakan kad kredit untuk produk atau perkhidmatan yang diperoleh daripada pihak penjual. Kesedaran terhadap pemasaran digital sudah wujud namun masih kurang mendapat tumpuan dan sambutan di Malaysia. Rakyat Malaysia mula diperkenalkan dengan e-dompet Touch ’n Go yang pada awalnya bukan semua orang sedar akan kewujudan aplikasi ini. Pelbagai usaha yang diperkenal untuk memastikan rakyat Malaysia mencuba aplikasi e-dompet Touch ’n Go. Contohnya, pengguna mendapat ‘cashback’ setelah melakukan pembelian di kedai-kedai terpilih melalui aplikasi tersebut. Namun penggunaan yang berkonsepkan e-dompet masih belum begitu meluas dan mendapat sambutan.
Landskap pemasaran dan gaya hidup pengguna semasa dan selepas PKP
Apabila kerajaan menguatkuasakan PKP, kebanyakan usahawan atau PKS tidak mampu menanggung kos operasi perniagaan kerana transaksi perniagaan masih dijalankan secara konvensional. Justeru, cabaran semasa menuntut usahawan dan PKS menukar landskap pemasaran kepada digital secara dalam talian untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka. Perubahan gaya hidup disebabkan PKP memerlukan usahawan untuk melakukan anjakan dalam strategi pemasaran mereka melalui platform e-dagang. Ini bertepatan dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu menggalakkan peralihan PKS dan PKS mikro kepada platform e-dagang bagi memperluaskan akses pasaran. Perubahan gaya hidup pengguna dengan norma baharu juga akan berlaku secara mendadak apabila kerajaan mengumumkan akan mengadakan kerjasama dengan syarikat swasta dalam menjalankan kempen “Shop Malaysia Online” bagi menggalakkan rakyat berbelanja secara dalam talian dengan kod promosi dan pelbagai baucar diskaun akan diberi melalui platform e-dagang. Untuk permulaan, sejumlah RM70 juta diperuntukkan untuk dipadankan dengan jumlah yang sama oleh platform e-dagang.
Selain itu, akan lebih banyak masa digunakan oleh pengguna untuk melakukan transaksi dalam talian bagi pembelian dengan menggunakan ‘telefon pintar’, ‘perbankan dalam talian’ serta ‘e-dompet’. Terkini, kerajaan telah mengumumkan PENJANA dengan RM50 akan dikreditkan ke akaun e-dompet rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan bawah RM100,000. Ini sudah tentu akan menggalakkan lagi penggunaan e-dagang dan transaksi secara dalam talian.
Strategi pemasaran secara konsisten
Pada musim PKP inilah, usahawan perlu mengambil peluang membuat strategi pemasaran secara konsisten supaya pelanggan akan terdetik hati untuk membeli produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Kata kuncinya adalah jangan berputus asa untuk membina penjenamaan dan pemasaran yang kukuh.
Usahawan terpaksa memikirkan langkah seterusnya untuk kekal meraih pendapatan walaupun tidak serancak hari kebiasaannya. Sebagai contoh, perniagaan melibatkan panggung wayang terjejas teruk. Selepas hampir dua bulan kita mengamalkan hidup norma baru, pasti ramai yang rindu untuk menonton filem di panggung wayang sambil makan ’popcorn’? Apa yang berlaku di era norma baharu, orang ramai beralih kepada medium baru dalam talian seperti Netflix, iFlix, Viu dan sebagainya. GSC Cinemas baru sahaja mengumumkan bahawa Popcorn dan Snacks Combos GSC boleh didapati dan dibeli menerusi aplikasi GrabFood sahaja! Tidak perlu keluar ke mana-mana, hanya gunakan aplikasi tersebut dan makanan akan dihantar terus sampai ke pintu rumah anda.
Perubahan dalam gaya hidup pengguna ini memerlukan usahawan melakukan anjakan dengan menumpukan kepada pemasaran video. Berdasarkan kajian, hampir 90 peratus penduduk dunia ’engage’ dengan produk atau servis yang menjadi kesukaan mereka menggunakan video. Selain itu, satu kaji selidik yang dijalankan mendapati kebanyakkan pembelian di internet atau media sosial adalah 70 peratus dipengaruhi oleh video. Statistik ini cukup untuk menuntut usahawan di era PKP dan pasca-PKP menumpukan kepada pemasaran video seiring dengan perubahan dalam kehidupan pengguna disebabkan pandemik COVID-19.
Antara langkah baharu untuk meningkatkan jumlah jualan adalah dengan membuat video secara langsung dan berinteraksi dengan pelanggan mengenai produk yang dijual sama ada di Facebook, Instagram, Shopee Live dan sebagainya. Dengan membuat FB ’Live’, kita boleh berhubung dengan pelanggan secara dekat. Ini menunjukkan kita ada alternatif tambahan dalam meluaskan usaha mencari prospek. Di samping itu, penggunaan saluran ’YouTube’ juga merupakan anjakan dalam dunia pemasaran video di era norma baharu. Walaupun ’kegilaan’ menggunakan saluran YouTube telah menjadi tumpuan sebelum PKP tetapi dengan adanya PKP, saluran ini semakin menjadi tumpuan penonton dalam kalangan rakyat Malaysia. Tidak hairanlah mengikut satu kajian yang dijalankan, rakyat Malaysia merupakan antara pengguna YouTube paling besar berdasarkan per kapita penduduk. Ini sudah cukup untuk membuka mata para usahawan untuk merebut ruang dan peluang bagi memanfaatkan pemasaran video menggunakan saluran YouTube.
Landskap pemasaran juga turut berubah daripada konvensional kepada digital setelah pandemik COVID-19 yang telah melanda secara global. Senario ini dijangka akan berterusan dalam jangka masa panjang. Jadi, setiap usahawan harus buat penambahbaikan dari segi menyediakan platform sistem pemasaran digital yang jitu.
Usahawan perlu cepat bertindak dan berubah kerana trend perubahan dalam gaya hidup pengguna juga turut berubah dengan begitu pantas sekali. Kegagalan usahawan untuk melakukan anjakan yang besar dalam landskap pemasaran akan membuatkan mereka ketinggalan. Pilihan di tangan anda, mahu berubah mengikut trend atau sekadar menjadi penonton dalam era norma baharu. Bertindaklah sebelum terlambat, inilah norma baharu kita.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Mohammad Bin Ismail merupakan Pengarah Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan (CEED) dan Pensyarah Kanan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).