Pandemik COVID-19 menyaksikan perubahan yang sangat ketara daripada pelbagai aspek dan lapangan seperti ekonomi, pendidikan, sosial, kesihatan dan lain-lain. Penularan wabak ini merentas hampir ke seluruh dunia tanpa mengira bangsa, agama, pangkat, dan taraf kehidupan sosial. Kebolehjangkitan penyakit ini yang mudah menular antara manusia menyaksikan lebih dua juta penduduk dunia kini dijangkiti dengan angka kematian yang sudah melebihi angka dua ratus ribu orang.
Bagi mengekang penularan wabak ini, banyak negara termasuk Malaysia telah mewujudkan perintah berkurung agar rantaian wabak ini dapat diputuskan. Penjarakan sosial dan pemakaian topeng muka merupakan norma baharu yang sering dihebahkan dalam media massa bagi memastikan masyarakat tidak mengambil enteng dan sentiasa berada dalam keadaan sikap berjaga-jaga agar tidak mudah dijangkiti dan pada masa sama tidak mudah menjangkiti orang lain.
Norma baharu kehidupan
Bukan sahaja institusi kesihatan dan barisan hadapan, perubahan norma kehidupan yang baharu ini juga menyaksikan penyesuaian kehidupan seharian oleh pelbagai lapisan masyarakat, tidak kira orang awam, pejabat-pejabat kerajaan dan syarikat swasta, hotel-hotel, sekolah, universiti dan sebagainya.
Malah, tidak terkecuali adalah pesakit-pesakit kronik yang mempunyai janji temu mingguan atau bulanan dengan doktor-doktor pakar di klinik dan juga hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut, penyambungan ubat, ujian klinikal dan lain-lain.
Sebagai contoh, pesakit-pesakit strok yang mempunyai janji temu rawatan fisioterapi dan latihan pemulihan fizikal secara mingguan di hospital terpaksa menghadapi kekangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana proses perawatan susulan yang terbantut dan mengakibatkan penyembuhan fizikal mereka turut terjejas.
Pada saat pelbagai inisiatif dan adaptasi perubahan dengan menggunakan teknologi seperti internet, video komunikasi dan sebagainya telah dilakukan oleh sektor-sektor yang lain, sektor kesihatan juga perlu ke hadapan dalam isu ini bagi menyediakan rawatan ‘norma baharu’ untuk pesakit-pesakit strok seperti ini agar rawatan optimum dapat diberikan.
Telerehabilitasi untuk pesakit strok
Banyak kajian telah dilakukan sebelum ini bagi menguji keberkesanan penggunaan teknologi bagi interaksi antara pihak klinik/hospital dan pesakit strok yang hanya perlu berada di rumah tanpa perlu ke hospital untuk menjalani janji temu rehabilitasi susulan.
Proses yang dikenali sebagai telerehabilitasi ini telah menunjukkan keberkesanan dan lebih efisien dalam menyediakan khidmat rehabilitasi kepada pesakit strok, terutamanya bagi mereka yang duduk jauh di pedalaman dan menghadapi kesukaran untuk ke hospital. Ini secara tidak langsung dapat menjimatkan masa, wang dan tenaga untuk berulang-alik antara rumah dengan hospital.
Komunikasi antara pesakit strok dengan pihak hospital boleh dilakukan melalui pelbagai medium seperti telefon, telesidang video dan juga sensor (Kinect sensor) dengan jaringan internet. Selain daripada itu, teknologi terkini seperti realiti maya (virtual reality) boleh diaplikasikan bagi membolehkan pesakit strok melakukan proses rehabilitasi di alam maya dan segala maklumat penting dan berkaitan untuk penilaian pihak hospital boleh diakses secara mudah dengan menggunakan server dan cloud-based system.
Konsultasi telerehabilitasi boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti diagnosis, pendidikan, dan juga pengesanan rawatan susulan. Bagi proses ini, maklum balas daripada pesakit sangat penting agar strategi rehabilitasi dapat disesuaikan dengan keperluan individu pesakit strok yang berbeza yang akhirnya menatijahkan kualiti rehabilitasi yang terbaik.
Keberkesanan telerehabilitasi
Di Malaysia, kita masih kekurangan ahli jurupulih professional dan tahap pematuhan pesakit strok bagi menjalani janji temu sesi rehabilitasi di hospital juga adalah sangat rendah. Ditambah pula dengan keadaan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini dan dijangka berterusan untuk satu jangka masa yang masih belum dapat ditentukan, satu strategi rehabilitasi yang baharu perlu dilakukan bagi memastikan perkhidmatan rehabilitasi yang optimum dapat disediakan kepada pesakit strok di negara ini.
Kajian kami daripada Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama agensi-agensi yang lain menunjukkan telerehabilitasi mampu meningkatkan tahap kualiti fizikal pesakit strok di samping memudahkan proses rehabilitasi dijalankan untuk kedua-dua pihak sama ada pesakit atau pihak hospital sendiri.
Dengan menggunakan pengimbasan imej otak seperti Magnetic Resonance Imaging (MRI), dapatan daripada kajian kami menunjukkan perubahan fungsi dan struktur di dalam otak atau dikenali sebagai neuroplasticity (neuroplastisiti) menunjukkan perubahan positif yang signifikan dalam kalangan pesakit yang melakukan telerehabilitasi berbanding pesakit yang melakukan rehabilitasi konvensional.
Walaupun kajian ini dilakukan dalam skala yang kecil, keputusan positif daripada kajian ini boleh dijadikan contoh untuk merangka satu strategi rehabilitasi yang baharu bagi pesakit strok untuk disesuaikan dengan ‘norma baharu’ ketika ini agar dapat memastikan mereka mendapat perkhidmatan rawatan kesihatan yang terbaik.
Cabaran dan pengehadan
Walaupun banyak kebaikan dan manfaat diperoleh daripada telerehabilitasi, terdapat beberapa cabaran dan pengehadan yang perlu diberi perhatian. Antaranya adalah bagaimana penilaian perkembangan fizikal pesakit dapat dilakukan sepanjang proses rehabilitasi memandangkan proses ini perlu dilakukan secara berhadapan antara satu sama lain.
Ini dapat diatasi dengan cara doktor/ahli jurupulih memberi panduan kepada penjaga pesakit strok bagaimana untuk melakukannya dan proses ini dipantau dengan menggunakan telesidang video. Antara cabaran lain yang mungkin dihadapi ialah apabila terdapat kesulitan atau isu berkaitan teknologi seperti terputus rangkaian internet, sistem tidak berfungsi dan lain-lain yang memerlukan bantuan teknikal.
Selain daripada itu, perlu diingat juga kerahsiaan maklumat pesakit perlu dipastikan keselamatannya daripada aspek etika kesihatan dan juga persetujuan pesakit diperlukan sepanjang proses rehabilitasi ini dijalankan. Bagi mengatasi masalah ini, satu garis panduan yang lengkap serta sistematik perlu dibangunkan supaya perkhidmatan rehabilitasi yang efektif dan selamat dapat disediakan yang akhirnya dapat memberikan manfaat dan kebaikan untuk para pesakit strok.
-- BERNAMA
Mohd Khairul Izamil Zolkelfey merupakan calon Ijazah Kedoktoran Neurosains di Universiti Sains Malaysia