Dalam 54 hari lagi, Malaysia akan meraikan ulang tahun kemerdekaannya yang ke-63. Dalam pada itu, ada satu lagi hari keraian yang akan disambut iaitu sambutan ulangtahun 50 tahun rukun negara. Jika disorot secara ringkas berkaitan sejarah rukun negara, ia diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong IV, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.
Kupasan yang sama saban tahun
Program Darah Muda terbitan Bernama TV pada 1 Jun lepas mengundang wakil belia daripada latar belakang yang pelbagai bagi mengupas kepentingan dan penghayatan rukun negara ini. Apabila ditanya kepada Chew Sir Boon, Ahli Jawatankuasa Jemputan Malaysian Chinese Association (MCA) Kebangsaan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Terengganu, berkenaan formula keharmonian sosial di Terengganu, jawapan yang diberikan adalah budaya hidup kesalingan itu adalah kerana masyarakat memahami satu sama lain.
Apabila ditanya kepada B. Ravichandran, Setiausaha Agung Majlis Belia Hindu Malaysia yang juga Tokoh Belia Negara 2019, berkenaan peranan agama dalam menyatupadukan masyarakat, jawapan yang diberikan berkisar tentang bagaimana agama menyuruh kepada kebaikan dan ini memupuk persefahaman dan hubungan masyarakat yang sihat.
Apabila ditanya kepada A’zlan Abu Bakar, Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia, mengenai kaedah yang baik untuk memastikan ekspresi belia terhadap sebarang isu yang ingin dibangkitkan tidak melanggar mana-mana prinsip rukun negara, jawapan yang diberikan adalah peranan kerajaan dan membangkitkan soal peranan belia untuk mencari kaedah penyampaian yang lebih kreatif.
Bahkan pada 24 Februari 2020, dalam wawancara bersama Norwahidah Zinalibdin, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional Negeri Kelantan, di rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM, siaran TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM)) mengupas rukun negara dari aspek pensejarahan, pedefinisian, dan kepentingan penghayatan.
Sekiranya dibuat carian secara dalam talian berkenaan artikel dan temu bual berkenaan topik rukun negara lima tahun ke belakang, dapatannya tidak jauh berbeza daripada apa yang disebutkan oleh tetamu Darah Muda dan SPM tadi. Ini suatu petanda yang tidak baik dari segi perkembangan kapasiti perbincangan berkenaan suatu topik yang sangat fundamental dalam konteks pembangunan negara bangsa Malaysia.
Pastinya ini bukanlah cubaan menafikan atau meremehkan apa yang disebut oleh pemimpin-pemimpin belia dan pegawai kerajaan. Apa yang disebutkan itu tepat, betul dan benar. Sekiranya tujuan penjelasan berkenaan rukun negara dibuat sedemikian rupa kerana mengganggap ia sebagai suatu pendahuluan, tidak ada salahnya.
Tinggal lagi, yang ingin dibangkitkan adalah sampai bila mahu ulang sebut ‘pendahuluan’ ini. Tambahan pula, seperti yang didedahkan tadi mengenai dapatan carian tentang kenyataan yang dibuat berkenaan topik rukun negara, semuanya membawa naratif yang sama. Selepas lima tahun, tahun 2015 hingga 2020, masih dengan skop perbincangan yang sama, tidak ada yang baharu, tidak ada perspektif yang lebih segar.
Segar ertinya kritikal dan praktikal
Ada dua kaedah yang wajar digerakkan segera agar minat belia untuk mendalami rukun negara dapat ditawan. Pertamanya ialah memastikan perbahasan lima prinsip rukun negara dan lima objektif masyarakat Malaysia yang mahu dibentuk bertembung dengan istilah-istilah popular dalam kalangan belia. Istilah popular yang dimaksudkan ialah istilah akademik yang mendapat perhatian belia yang dizahirkan melalui aktiviti di media sosial; posting, tweet, kongsian, komentar dan reaksi.
Sebagai contoh, apabila membincangkan prinsip ‘kepercayaan kepada tuhan’. Ketika membincangkan makna prinsip ini dari sudut sejarah dan visi asalnya, ia juga perlu dibincangkan dari sudut pluralisme agama. Doktrin dan falsafah teologi dalam konteks negara Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen, wajar dibahaskan.
Rasionalnya, terkait dengan pelbagai kelemahan mekanisme menyemarakkan diskusi berkenaan rukun negara secara mendalam. Kelemahan yang dalam kebanyakan keadaan tidak boleh disalahkan kepada sesiapa. Ini adalah kerana kuasa media sosial sangat berpengaruh. Trend perbincangan cepat berubah, belia pula cepat bosan dan belia yang sama juga sangat dahagakan pengetahuan baharu.
Rumusannya di sini, apabila timbul perkataan dan diskusi berkenaan pluralisme di media sosial, belia tertarik dan seterusnya mengikuti semua bahan yang dikongsikan melalui media sosial. Belia tertarik kerana bagi mereka itu istilah baharu dan perkara itu suatu yang tidak difahami. Ketika inilah, apabila kita membincangkan prinsip rukun negara pertama, kita gunakan istilah yang sama. Bukan kerana isi perbincangannya sama antara pluralisme dan pluralistik agama, tetapi kerana kita mahu menarik perhatian belia.
Ada dua kelebihan di sini iaitu (1) perbincangan rukun negara akan bersifat semasa dan (2) kita boleh ambil peranan menjelaskan kepada belia mengenai kefahaman yang sebenarnya berkenaan isu pluralisme dan pluralistik agama tadi.
Sekiranya cadangan ini dipersetujui, maka akan berbangkit soal bagaimana untuk kita mengesan dan mengikut rapat minat belia yang kerap berubah – adakalanya sukar dijangka. Jawapannya adalah memanfaatkan analisis data raya. Sudah tersedia pelbagai platform analisis data raya yang boleh dimanfaatkan untuk mencerap trend dan tingkah laku belia di media sosial.
Berani tidak bererti memberontak
Seperkara yang ironi apabila disebut tentang keharusan belia bersikap berani adalah bagaimana ‘orang tua’ mengasak belia supaya bersuara, tetapi apabila belia bersuara dituding pula oleh ‘orang tua’ yang sama kepada belia sebagai pemberontak, hilang adab dan berani tidak bertempat. Ironi ini adakalanya sangat menyakitkan hati. Lebih parah apabila belia terlalu lama terperangkap dalam ironi ini, akhirnya mereka memilih untuk lari daripada masyarakat.
Termasuklah apabila belia cuba mengembangkan perbincangan berkenaan isu-isu demokrasi dalam negara, ada ketikanya belum sempat perbincangan itu matang, sudah dipotong oleh pihak-pihak lain atas dasar ‘tidak sesuai dengan masyarakat kita’. Mencabar konotasi sesuatu istilah yang berkait dengan institusi demokrasi negara bukan semuanya adalah kerana memberontak.
Minggu ini hangat berkenaan isu ubah suai jata negara yang bersifat provokatif. Diberitakan rampasan lebih 1,000 naskhah buku tersebut oleh pihak polis sejak hal ini mendapat perhatian masyarakat. Sama ada tindakan pihak penerbitan itu suatu kesalahan jenayah, itu diserahkan kepada kebijaksanaan institusi kehakiman untuk menentukannya. Tetapi satu hal yang boleh dibincangkan ialah berkenaan niat tindakan sedemikian dibuat.
Secara peribadi, tindakan ini dilihat sebagai suatu cubaan menampilkan jenaka politik. Dan satira politik bukanlah suatu tindakan memberontak, sebaliknya merupakan instrumen mengekspresikan emosi rakyat dalam negara demokrasi yang diterima oleh negara-negara demokrasi yang lain. Lihat saja bagaimana Permaisuri Britain dan Presiden Amerika Syarikat dijadikan jenaka sepanjang tahun oleh rakyat mereka sendiri. Jelas, bahawa yang dipersendakan itu ialah tindakan pemimpin tersebut dalam konteks yang sangat terbatas. Dan ini sebenarnya marupakan amalan demokrasi yang sihat.
Tinggal lagi, satira merupakan seni. Sekiranya mahu bersatira, perkara yang paling utama adalah kemestian menguasai keupayaan mengimbangi antara jenaka dan menghina. Tiada apa yang salah dalam berjenaka, dalam batas yang munasabah. Sebaliknya, tidak ada kompromi bagi tindakan menghina negara dan seluruh institusinya.
Oleh itu, sepertimana belia mesti mengimbangi antara terlalu ghairah berpendapat dan terlalu takut untuk bersuara, ‘orang tua’ pula perlu mengimbangi antara terlalu tegar konservatif dan terlalu ortodoks. Keseimbangan inilah yang akan memandu belia ke jalan yang benar. Keseimbangan ini jugalah yang akan melahirkan pemimpin masa depan yang lebih matang dan berkemajuan.
Rukun Negara malar hijau
Kesimpulannya, aspirasi rukun negara tidak boleh disangkal sebagai suatu prinsip kenegaraan yang sangat asasi. Namun begitu, perbincangannya janganlah terlalu ‘buku teks’ dan tidak bercambah. Sudahlah perbincangannya bersifat bermusim, apabila dibincangkan pula, kandungan perbincangannya sama saja sepanjang tahun. Manakan belia tidak berminat untuk menghayati rukun negara. Untuk ke hadapan ini, diyakini dengan gandingan falsafah bersejarah dan teknologi analisis data raya, diskusi rukun negara akan lebih segar dan berani.
-- BERNAMA
Irfan Faruqi ialah Pengacara Program ‘Darah Muda’ terbitan Bernama TV