TINTA MINDA

WARTAWAN WARGA: SIAPA DAN APA?

17/07/2020 03:44 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Rani Ann Balaraman

Wartawan warga/kewartawanan warga atau citizen journalist/citizen journalism merupakan satu istilah yang semakin dikenali di negara kita. Jenis kewartawanan ini mula mendapat perhatian dan nama semasa kejadian pengeboman di beberapa tempat yang menempatkan pengangkutan awam di London pada 7 Julai 2005.

Kebanyakan kejadian yang berlaku pada hari yang penuh tragedi itu telah dilaporkan terus oleh orang awam yang secara kebetulan berada di tempat kejadian melalui sistem pesanan ringkas (SMS), rakaman telefon, audio dan video. Imej pertama daripada pengeboman London itu bukan diterima daripada kamera video berkualiti tinggi, daripada rangkaian TV atau kamera berkualiti daripada wartawan foto tetapi daripada telefon oleh warga yang merupakan mangsa kejadian.

Dari situ kekuatan wartawan warga semakin bertambah dan kepentingannya makin ketara selepas kejayaan pilihan raya di Korea Selatan yang dikatakan hasil sumbangan penulisan berita daripada wartawan warga yang bernaung di bawah syarikat bernama OhMynews.

Definasi kewartawanan warga

Di Malaysia, kewartawanan warga mula mendapat perhatian semasa pilihan raya umum (PRU) ke-13 apabila media konvensional dikatakan gagal memberikan liputan berita yang sama rata kepada pihak pembangkang. Dari sini media alternatif iaitu media dalam talian memainkan peranan penting dalam melahirkan wartawan warga.

Persoalannya di sini, siapa itu wartawan warga dan apa definisi tepat untuk mengambarkan wartawan warga?

Wartawan warga merupakan mereka yang menjalankan tugasan kewartawanan tanpa latihan kewartawanan yang formal. Namun, istilah kewartawanan warga tidak harus diberikan definisi yang sempit dengan menamakan kepada sesiapa sahaja yang menulis berita tanpa pendidikan kewartawanan yang betul sebagai wartawan warga.

Wartawan warga merupakan mereka yang mengambil inisiatif sendiri untuk melaporkan dan mengulas mengenai isu-isu yang mereka bimbangi dan untuk itu, mereka menggunakan alat-alat yang terdapat di internet. Golongan ini akan teruskan penulisan dan bukannya berhenti menulis selepas sekali dua menulis.

Bagaimanapun, definisi ini tidak difahami secara mendalam oleh ramai pengkaji yang sering mengkategorikan wartawan profesional sebagai wartawan warga apabila mereka menyumbangkan berita dalam halaman blog dan media sosial.

Untuk membenarkan andaian ini, wartawan warga diberikan pelbagai gelaran seperti community journalism, participatory journalism, network journalism, citizen media, public journalism, participatory journalism, grassroots journalism, open source journalism dan sebagainya.

Bagaimanapun, setiap gelaran berkenaan mempunyai definisi, konsep dan fungsinya yang tersendiri. Contohnya seperti kewartawanan masyarakat (community journalism) atau kewartawanan sivik yang kedua-duanya diamalkan oleh wartawan profesional. Collaborative journalism juga satu konsep yang berasingan dan diamalkan oleh wartawan profesional dan bukan profesional yang bekerjasama antara satu sama lain. Begitu juga dengan kewartawanan penyertaan (participatory journalism) yang membolehkan penyertaan pengguna berita dalam proses membuat berita, tetapi proses ini masih dikawal oleh wartawan profesional dalam media arus perdana.

Elak salah tafsir

Ada pula yang salah faham mengenai wartawan dalam talian sebagai wartawan warga. Sebenarnya wartawan dalam talian ini tidak boleh dikategorikan sebagai wartawan warga kerana golongan ini merupakan mereka yang mempunyai pendidikan dan latar belakang kewartawaanan dan yang paling penting ialah mereka menerima gaji untuk hasil berita mereka.

Manakala accidental journalist pula merupakan individu yang melihat satu-satu kejadian secara kebetulan dan kemudianya merakamkan video atau gambar dan kemudian ia dimuat naik dalam media sosial dengan kapsyen atau tanpa kapsyen. Selepas kejadian itu, seseorang individu itu tidak menulis atau muat naik apa-apa berita lain. Individu berkenaan hanya berada di satu kawasan kejadian pada masa yang tepat. Itu sahaja.

Dalam situasi ini sebenarnya apa yang berlaku di London pada 2005 merupakan kejadian yang dilaporkan oleh accidental journalist. Bagaimanapun, mereka digelar sebagai citizen journalist sebab warga yang melaporkan kejadian berkenaan. Walaupun definisi yang diberikan kepada mereka yang menyumbangkan berita pada masa itu adalah kurang tepat, tetapi kejadian itu telah menjadikan perkataan wartawan warga atau citizen journalism menjadi popular.

Apa yang boleh disimpulkan di sini ialah bukan semua mereka yang menulis dan muat naik hasil penulisan mereka dalam halaman sosial, blog atau sebagainya merupakan wartawan warga. Setiap jenis kewartawanan mempunyai definisi dan fungsinya yang tersendiri. Jangan tersilap dalam mendefinisikan jenis-jenis kewartawanan yang pelbagai ini.

-- BERNAMA

Rani Ann Balaraman merupakan pensyarah kewartawanan dari Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia. Bidang kajian yang diminati oleh beliau ialah mengenai kewartawanan terutamanya kewartawanan media baru.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)