Dalam era kecerdasan buatan (AI) yang semakin dominan, keupayaannya menjawab soalan kompleks, menulis laporan, mengatur jadual dan menganalisis data bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Namun, satu persoalan kritikal kini timbul: jika teknologi semakin canggih, mengapa pekerja semakin penat dan kurang bermotivasi?
Laporan Microsoft Work Trend Index 2025 menunjukkan 83% pekerja di Malaysia berasa keletihan dan kekurangan tenaga untuk menyempurnakan tugasan harian.
Pada masa yang sama, 86% pemimpin organisasi menjangkakan penggunaan AI secara aktif dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang. Ini membuktikan bahawa AI bukan lagi konsep masa depan tetapi ia sudah menjadi sebahagian daripada realiti kerja masa kini.
Jurang antara potensi teknologi dan realiti kerja
Matlamat utama teknologi ialah untuk memudahkan kehidupan dan mengurangkan beban kerja manusia.
AI, khususnya, dicipta untuk mengambil alih tugas-tugas berulang dan membosankan supaya pekerja dapat memberi tumpuan kepada tugasan bernilai tinggi seperti penyelesaian masalah, perancangan strategik dan inovasi. Namun, di sebalik potensi besar ini, realiti di tempat kerja menunjukkan sebaliknya.
Struktur kerja tradisional masih dikekalkan walaupun teknologi baharu diperkenalkan.
Akibatnya, pekerja bukan sahaja menjalankan tugas asal mereka, tetapi turut mengurus teknologi baharu yang sepatutnya membantu.
Beban kerja meningkat dengan mesyuarat yang bertambah, komunikasi digital yang tiada henti, dan tekanan untuk sentiasa ‘tersedia’ sepanjang masa. Inilah yang menyumbang kepada keletihan kronik dalam kalangan pekerja moden.
AI sebagai rakan strategik, bukan ancaman
Melabel AI sebagai ‘musuh’ adalah pendekatan yang kurang bijak. Hakikatnya, AI ialah alat.
Sama seperti alat lain dalam sejarah revolusi industri, keberkesanannya bergantung kepada bagaimana ia digunakan. Malangnya, kita masih belum bersedia dari segi sistem kerja, budaya organisasi dan keupayaan psikososial untuk menyambut perubahan ini dengan berkesan. Pemikiran yang jumud terhadap sesuatu bersifat tradisional menyebabkan ancaman ini semakin terpahat dalam fikiran.
Kita masih mengukur produktiviti berdasarkan jam bekerja, jumlah emel dibalas atau masa di hadapan skrin bukan berdasarkan impak sebenar kerja. Sudah tiba masanya organisasi mula mengutamakan hasil yang bermakna, kualiti hubungan kerja, serta kesejahteraan emosi dan mental pekerja.
Minda baharu untuk dunia kerja baharu
Peralihan kepada dunia kerja berasaskan AI memerlukan perubahan budaya. Pekerja perlu dibekalkan dengan kemahiran yang tidak boleh digantikan oleh mesin seperti empati, kreativiti, komunikasi berkesan dan pemikiran kritikal.
Inilah kekuatan manusia dalam dunia yang semakin automatik. Sebagai hidupan yang dibekalkan dengan akal yang sempurna, pekerja seharusnya lebih kreatif dan bijak dalam mengurus dan meletakkan kedudukan AI dalam tugasan yang sepatutnya.
Pemimpin perlu menunjukkan contoh yang baik dengan menetapkan sempadan yang jelas dalam waktu kerja, mempromosikan keseimbangan kehidupan dan pekerjaan, serta menghargai nilai kerja yang bermakna berbanding sekadar fokus kepada angka.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, tetapi juga membina budaya organisasi yang lebih lestari dan berfokus pada kesejahteraan manusia. Dengan menerapkan nilai-nilai ini, pemimpin dapat memastikan teknologi dan manusia berfungsi seiring untuk mencapai hasil yang optimum tanpa mengorbankan kesejahteraan pekerja.
Menyusun semula sistem kerja dengan gabungan AI dan akal
AI hanya memberi manfaat apabila disokong oleh sistem kerja yang menyokong fokus, fleksibiliti dan kejelasan peranan. AI masih bekerja berpandukan arahan yang jelas diberikan oleh manusia.
Hasil kerja AI adalah menggambarkan kehendak dan pemikiran manusia. Contohnya, AI boleh membantu menghasilkan laporan mingguan, tetapi strategi dan keputusan tetap memerlukan kebijaksanaan manusia semasa memberikan arahan kepada AI.
Organisasi yang ingin kekal relevan perlu melabur dalam kedua-duanya iaitu teknologi dan modal insan. Ini termasuk latihan semula (reskilling), peningkatan kemahiran (upskilling) dan persekitaran kerja yang lebih inklusif serta menyokong kesejahteraan pekerja.
Kepentingan terhadap dua elemen penting ini iaitu teknologi dan modal insan diyakini mampu mengekalkan nilai kemanusiaan dalam hasil kerja yang diinginkan.
Menjawab cabaran dengan tindakan
Dunia kerja kini berada di persimpangan perubahan yang signifikan, yang mana kecerdasan buatan (AI) tidak lagi dilihat sebagai pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik untuk kelangsungan dan kemajuan organisasi.
Walau bagaimanapun, penerapan teknologi AI tanpa penyesuaian budaya kerja dan perubahan dalam cara berfikir boleh menyebabkan penumpukan bebanan sedia ada, bukannya meningkatkan produktiviti atau kesejahteraan pekerja.
Oleh itu, persoalan utama bukanlah sama ada AI harus digunakan, tetapi bagaimana kita dapat memanfaatkan AI secara bijak dan beretika, tanpa mengorbankan elemen kemanusiaan dalam proses kerja. Jika penerapan AI tidak disertai dengan pengubahsuaian pendekatan terhadap kerja dan pengurusan sumber manusia, maka kita berisiko terus terperangkap dalam kitaran beban kerja yang semakin menekan meskipun teknologi semakin canggih.
Untuk itu, keseimbangan antara teknologi dan nilai-nilai manusia harus dijaga bagi memastikan bahawa AI benar-benar memberi manfaat kepada semua pihak dalam dunia kerja yang semakin kompleks ini.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Khairunesa Isa ialah Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)