TINTA MINDA

BIOMETRIK ERA PANDEMIK: CABARAN DAN SOLUSI

27/07/2020 07:19 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Nur Ariffin Mohd Zin

Dewasa ini, penggunaan biometrik telah menjadi satu keperluan dan dimanfaatkan secara meluas oleh kebanyakan organisasi. Biometrik merujuk kepada kaedah pengecaman identiti melalui ciri-ciri biologi dan tingkah laku yang ada pada setiap individu. Sistem biometrik terbukti mempunyai tahap ketepatan yang tinggi kerana setiap individu mempunyai ciri biologi dan tingkah laku yang unik. Antara aplikasi penggunaan biometrik merangkumi bidang keselamatan, forensik dan sistem kehadiran.

Kepentingan biometrik

Menurut Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), penggunaan biometrik cap jari digunakan secara meluas di agensi-agensi sektor awam seluruh Malaysia. Biometrik menjadi signifikan apabila kaedah ini digunakan untuk merekod kehadiran pegawai, menggantikan kaedah konvensional kad perakam waktu. Sebagai contoh, sistem egSentrik diperkenalkan bagi merekod kehadiran pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan Malaysia. Melaluinya, budaya kerja yang berintegriti dan berdisiplin dapat dipupuk dalam kalangan setiap pegawai.

Selain itu, biometrik juga turut digunakan secara meluas di jabatan imigresen seperti Sistem Pasport, Sistem Biometrik Pengesanan Pendatang Tanpa Izin (PATI) dan Biometric Fingerprint Identification System (BIOFIS) untuk mengesan penjenayah. Terdapat juga agensi-agensi yang mengguna pakai biometrik untuk tujuan akses masuk ke pejabat.

Wabak COVID-19

Sekitar penghujung 2019, dunia telah dikejutkan dengan wabak COVID-19 yang dikesan di Wuhan, China. Lantaran itu, pada Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak tersebut sebagai pandemik. Sebagai langkah pencegahan penularan, WHO telah menggesa agar setiap individu untuk mengamalkan penjagaan kebersihan yang tinggi dengan kerap membasuh tangan sama ada menggunakan sabun atau cecair pembasmi kuman . Secara tidak langsung, apa juga perkara yang dilakukan yang melibatkan sentuhan, sama ada objek mahupun individu, perlu diiringi dengan penjagaan kebersihan secara kendiri.

Perkara ini sudah tentunya memberi impak kepada penggunaan biometrik, terutama yang melibatkan sentuhan seperti cap jari. Keadaan ini telah mengakibatkan agensi-agensi yang mengguna pakai biometrik cap jari untuk menyah aktif pelaksanaannya buat sementara waktu sebagai satu langkah keselamatan dan pencegahan. Bagi membendung wabak ini, penggunaan kaedah konvensional mahupun pengenalan frekuensi radio (RFID) diperkenalkan semula. Selain itu, sistem merekod kedatangan melalui web telah dibangunkan sebagai satu alternatif kaedah konvensional atau bagi pelaksanaan bekerja dari rumah.

Adakah ini merupakan satu petanda bahawa biometrik cap jari sudah tidak selamat lagi digunakan? Bagaimana pula jika penggunaan cecair pembasmi kuman digunakan sebelum penggunaan biometrik cap jari? Adakah ia dibolehkan? Menurut kajian yang telah dijalankan oleh pakar kesihatan sedunia, permukaan pembaca (sensor) biometrik cap jari dikategorikan mempunyai risiko yang tinggi untuk menjadi medium penyebaran sesuatu wabak.

Oleh yang demikian, salah satu cara bagi mengatasi masalah ini ialah dengan menyah kuman permukaan pembaca tersebut menggunakan bahan yang disolusikan khas untuk peralatan biometrik. Perlu diingat bahawa penggunaan bahan lain seperti alkohol terutama yang berkepekatan tinggi boleh merosakkan lapisan pada pembaca. Antara bahan yang disarankan oleh pihak pengeluar ialah Benzethonium Chloride atau Dimethyl Benzyl Ammonium Chloride dengan kepekatan 0.26 peratus. Proses nyah kuman ini adalah digalakkan untuk dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sehari. Secara asasnya, penggunaan biometrik cap jari memerlukan jari berada dalam keadaan kering. Oleh itu, penggunaan cecair pembasmi kuman pada keadaan sebelum pengecaman cap jari dilakukan adalah dibolehkan selagi cecair ini telah kering di jari. Ini juga bagi memastikan permukaan pembaca bebas daripada kuman/virus yang boleh menyebarkan jangkitan.

Justeru, adalah sangat digalakkan untuk organisasi-organisasi yang mengguna pakai biometrik cap jari untuk menyediakan cecair pembasmi kuman berdekatan dengan mesin pengimbas biometrik di samping melaksanakan peraturan untuk mewajibkan penggunaannya.

Biometrik tanpa sentuh

Bagaimanapun, untuk keperluan jangka masa panjang, kaedah biometrik tanpa sentuh dilihat sebagai satu pilihan yang lebih ideal, praktikal dan selamat ketika penularan pandemik. Sebagai contoh, penggunaan biometrik iris (anak mata) hanya melibatkan pengguna untuk berdiri tegak dan membuka mata sambil menunggu pengecaman iris dilakukan menggunakan kamera inframerah. Begitu juga dengan biometrik wajah dengan pengguna hanya perlu berdiri di hadapan kamera yang mempunyai resolusi tinggi dan pasti ia lebih mudah dan ringkas.

Walaupun demikian, penggunaan biometrik tanpa sentuh mempunyai cabarannya yang tersendiri. Cabaran yang paling besar adalah tahap koperatif seseorang individu ketika pengecaman dilakukan. Sebagai contoh, bagi biometrik iris, tahap koperatif yang baik memerlukan individu tersebut untuk berdiri tegak dan mata perlu memandang tepat ke arah kamera inframerah. Kegagalan pengecaman akan berlaku jika individu tersebut berdiri sedikit condong atau mata tidak memandang tepat ke arah kamera. Kegagalan juga boleh berlaku akibat daripada pemakaian cermin mata atau kanta lekap. Ini berbeza dengan biometrik cap jari yang mana tahap koperatif bukan menjadi isu yang besar kerana penggunaannya hanya melibatkan pergerakan jari dalam ruang yang terhad di samping capaian yang lebih ergonomik dan semula jadi.

Bagi organisasi yang telah mengguna pakai biometrik cap jari, terdapat alternatif untuk pelaksanaan jangka panjang yang praktikal dan selamat tanpa melibatkan perubahan infrastruktur dan kos yang besar iaitu melalui penggunaan biometrik cap jari tanpa sentuh. Dengannya, data-data pengguna sedia ada dapat dikekalkan, di samping dapat menjimatkan kos untuk pelaksanaan pendaftaran cap jari. Secara kesimpulannya, tidak kira jenis biometrik yang digunakan, teknologi ini masih relevan penggunaannya pada masa pandemik, namun kita sebagai pihak pentadbir dan pengguna perlu bijak mengurus, menyelia dan menyelenggara penggunaannya mengikut kesesuaian situasi semasa.

-- BERNAMA

Dr Nur Ariffin Mohd Zin ialah Penyarah Jabatan Kejuruteraan Perisian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)