SUARA BELIA

PERTANIAN DAN PELUANG GOLONGAN BELIA

03/08/2020 08:50 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Milah Zainal

Satu cabaran yang cukup hebat ketika ini ialah apabila negara dilanda wabak COVID-19 yang bukan sahaja membabitkan rakyat di negara ini bahkan melibatkan penduduk di seluruh dunia.

Ia memberi impak yang cukup hebat kepada kehidupan semua orang di dunia, terutamanya apabila ramai penduduk dilaporkan kehilangan pekerjaan ketika ini. Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan yang dikeluarkan baru-baru ini, kadar pengangguran dalam negara kita meningkat 17.1 peratus kepada lebih 600,000 orang pada Mac 2020.

Apa yang lebih membimbangkan adalah apabila golongan belia menjadi penyumbang kepada statistik tersebut sebanyak 6.9 peratus. Kemungkinan besar ini akan memberi tekanan kepada golongan belia kerana kesukaran mendapatkan pekerjaan bagi menjana sumber pendapatan.

Walaupun ketika kita tidak berdepan dengan wabak pandemik ini, status belia yang menganggur seringkali disuarakan. Namun, berdasar kepada situasi COVID-19 yang berlaku ketika ini, kemungkinan belia yang menganggur akan duduk lama di rumah, tidak banyak tempat untuk mengisi masa lapang atau ruang kosongnya.

Jadi, antara perkara yang boleh dilakukan bagi memanfaatkan masa yang terluang, golongan belia boleh mengambil peluang melakukan aktiviti perkebunan di sekitar rumah atau di kawasan perumahan. Mudah-mudahan dengan terisinya kelompongan dan kekosongan itu, dapat mengelakkan diri mereka daripada kemurungan dan masalah jiwa lain yang datang terutamanya ketika wabak ini sedang melanda.

Mulakan langkah kecil

Penghasilan makanan untuk bekalan semasa pandemik antara isu yang sering dibincangkan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya pada peringkat awal pandemik ini melanda negara. Pokok kerisauan rakyat adalah sama ada stok makanan mencukupi, lebih-lebih lagi apabila saban hari membaca berita, boleh dikatakan setiap negara mula mengurangkan pengeluaran pertanian dan makanan. Jika perkara ini benar-benar berlaku, apa akan terjadi kepada rakyat Malaysia?

Alhamdulillah ketika musim COVID-19, saya berjaya mengurangkan keluar ke kedai mencari bahan makanan dengan menanam sayuran dan herba. Walaupun tidak semua bahan makanan harian ada tetapi sekurang-kurangnya sayuran harian seperti kangkung, bayam dan cekur manis ada di kawasan rumah.

Selain itu bahan makanan ulam dan herba seperti ulam raja, pegaga, serai, daun pandan, limau kasturi, daun bawang dan halia turut di dapati dalam kawasan rumah saya. Selain dapat menghasilkan bahan makanan sendiri untuk kegunaan harian, bertani juga menjadi terapi kepada segala tekanan atau kemurungan dalam kehidupan semasa tempoh pandemik ini.

Penyelamat tika gawat

Selain daripada bahan makanan, saya juga meminati dan sedang mengusahakan tanaman hortikultur iaitu bunga-bungaan seperti bunga kertas, bunga janda kaya, bunga taik ayam di kawasan kosong rumah saya. Rakyat Malaysia perlu disedarkan untuk bertani di rumah. Paling kurang bertani dalam pasu. Bukan sahaja menjimatkan, tetapi sebagai persediaan ketika musim gawat, COVID-19 ini.

Bidang pertanian mampu dipertingkatkan dengan penglibatan lebih ramai petani atau pengusaha terutamanya dalam golongan anak muda yang berminat menceburi bidang penghasilan makanan. Tidak kira sama ada aktiviti bertani yang dijalankan itu berskala kecil mahupun besar. Sekurang-kurangnya kita dapat menimba pengetahuan, menambah kemahiran berkebun dan memupuk minat bertani sebagai persediaan memenuhi keperluan diri dan keluarga khususnya apabila berlaku bencana yang tidak pasti berlaku.

Pada masa hadapan, apabila ekonomi negara telah pulih sepenuhnya, golongan belia yang telah mempunyai pengalaman bertani semasa pandemik mungkin mempunyai peluang untuk mendapatkan bantuan atau sokongan kewangan daripada agensi-agensi berkaitan untuk menceburi bidang pertanian ini. Kerajaan perlu menumpukan perhatian dalam usaha meningkatkan bidang pertanian bagi memajukan ekonomi negara.

Dorongan untuk lahirkan belia tani

Pertanian dilihat mampu memberikan pulangan lumayan sekiranya ia dilakukan secara serius terutamanya dengan mulakan tanah terbiar yang ada. Jabatan pertanian dan kerajaan perlu bertindak memberi dorongan kepada mereka agar boleh merealisasikan matlamat yang telah ditetapkan negara dalam industri AgroMakanan termasuk mengeksport ke luar negara.

Selain itu, kerajaan perlu mengumpulkan dan menambahkan lagi maklumat-maklumat belia tani yang berjaya sebagai suatu suntikan semangat kepada belia di luar sana. Justeru, saya mengajak semua rakyat Malaysia supaya dapat bersama-sama merealisasikan slogan Kementerian Pertanian dan Asas Tani “Pertanian itu adalah Perniagaan”.

Jadikanlah pertanian itu suatu jihad. Selain sumber makanan, pertanian mendatangkan hasil yang menguntungkan jika ia diberikan keutamaan khususnya dalam kalangan belia masa kini.

-- BERNAMA

Milah Zainal merupakan calon PhD dalam bidang Pendidikan Pengembangan di Jabatan Pendidikan dan Pembangunan Profesional Lanjutan (JPPPL), Fakulti Pendidikan, Universiti Putra Malaysia.

Beliau juga merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Islam As Syddiq (SMIAS) di Simpang Renggam, Johor dan aktif melibatkan diri dalam kerja-kerja pengembangan berkaitan pertanian.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)