PENA WANITA

LITERASI MEDIA: MEDIA SOSIAL, BERITA PALSU, VIDEO DEEPFAKE

07/09/2020 02:53 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Dr Ts Nor Azan Mat Zin

Hampir lima bulan sudah berlalu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac. Setiap daripada kita tiba-tiba mempunyai banyak masa, maka dihabiskan untuk pelbagai aktiviti sesuai dengan keadaan. Salah satu adalah melayan media sosial sama ada Facebook, Twitter, WhatsApp (WA) atau hanya melayari laman web. Selain mencari resipi menu harian, rancak juga berkongsi setiap mesej yang diterima kadang-kadang tanpa dibaca, apa lagi jika mesej berakhir dengan “viralkan/kongsi jika anda sayangi keluarga/rakan”. Tidak kiralah mesej atau bahan yang ditular itu bahan lama dikitar semula atau berita palsu atau skim penipuan (scam). Golongan berpencen turut terjebak aktif dengan aktiviti di media sosial kini.

Apa yang perlu kita sedari adalah kekuatan media sosial sebagai alat sebaran pantas untuk berita palsu termasuk video dan audio ‘deepfake’, kempen pemasaran produk, propaganda dan fitnah, selain kegunaan positifnya (contoh: mesej peringatan rasmi kerajaan oleh Majlis Keselamatan Negara). Tambahan pula, ramai mempercayai maklumat yang diterima kerana beranggapan bahawa semua mesej WA atau Twitter yang dibaca adalah dihantar oleh manusia, tentu sekali tidak! Banyak sebaran adalah automatik, penyebarnya adalah robot (bot) iaitu antara aktiviti yang dilaksana oleh pasukan siber (cybertrooper) – askar upahan di media sosial. Institut Internet Oxford melaporkan terdapat bukti bahawa Malaysia mempunyai pasukan cybertrooper terlatih sehingga 2,000 orang.

Ciri positif dan negatif AI

Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin canggih turut mengupayakan sebaran automatik maklumat, selain penciptaan bahan seperti video dan audio palsu yang realistik. Suatu masa dahulu, kita terbiasa dengan istilah ‘photoshop’, kebelakangan ini pula video/audio/gambar deepfake membanjiri media sosial, kebanyakannya untuk tujuan negatif terutama pornografi. Maka, mangsa utama adalah wanita, tetapi deepfake boleh juga diguna untuk membuli, menjatuhkan reputasi atau memeras ugut sesiapa sahaja – rakan kerja atau teman sekolah kerana orang yang berniat jahat boleh meletakkan seseorang ke dalam senario yang memalukan seperti adegan seks atau lainnya, mengguna perisian yang boleh diperoleh dengan mudah atau mengupah orang yang pakar. Sebanyak 96 peratus video deepfake di Internet adalah pornografi yang biasanya menggantikan bahagian atas/kepala mangsa dengan badan pelakon lucah, dalam situasi yang mengaibkan.

Pada akhir 2019, terdapat 14,678 video deepfake di internet berbanding 7,964 pada akhir Disember 2017, iaitu peningkatan mendadak sebanyak 84 peratus, maka berpotensi menjadi masalah besar dalam masyarakat. Beberapa negara seperti Amerika Syarikat telah menggubal undang-undang khusus bagi menghalang penyebaran video deepfake. Socmed sedang berusaha mengenal pasti dan menanda serta menghapuskan video deepfake namun semakin canggih teknologi AI untuk mengenal pasti audio dan video deepfake, semakin bertambah kualiti teknologi untuk menciptanya.

Pentingnya ilmu ICT

Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) umpama serampang dua mata; kecanggihannya boleh dimanfaat dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, pemasaran, pelbagai industri dan kesihatan tetapi pada masa yang sama boleh diguna untuk tujuan negatif seperti pemusnahan reputasi, pornografi dan propaganda politik. Multimedia digital seperti gambar, suara (audio) dan video terdedah kepada manipulasi mengikut tujuan dan niat individu. Gambar boleh disunting dengan perisian seperti photoshop, audio dan video juga boleh diubah mengguna perisian penyuntingan khusus yang boleh didapati secara percuma di internet, contohnya Filmora untuk suntingan video. Terkini, teknologi AI deep learning membolehkan penciptaan audio dan video deepfake yang hampir tidak boleh dibezakan daripada perkara sebenar. Seeing is believing atau ‘lihat maka percaya’ menjadi realiti apabila kita tiada ilmu tentang teknologi. Justeru, melengkapkan diri dengan pengetahuan asas media digital amat penting.

Dalam keadaan masa kini, berita palsu dan hantaran berkaitan COVID-19 yang membanjiri medsos, boleh menimbulkan kecemasan dan kegusaran dalam kalangan orang awam. Terdapat gambar individu terjatuh dikatakan mati akibat COVID-19. Bayangkan jika kita semua yakin dan beramal dengan nasihat yang tular bahawa air suam, vitamin C dan cuaca panas mencukupi untuk menghapus virus COVID-19, atau herba tertentu boleh mengubati jangkitan virus ini, sudah tentu kepatuhan terhadap langkah kawalan segera oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti PKP gagal dipatuhi dan akibat buruk pasti menimpa masyarakat dan negara akhirnya.

Kenal pasti kesahihan maklumat

Apakah berita palsu? Maklumat dan nasihat tidak berguna, salah malah berbahaya yang boleh melambatkan respon kesihatan awam, menambah perpecahan dan kecelaruan sosial. KKM perlu memperuntukkan tenaga kerja untuk mengenal pasti dan menapis/melabel berita palsu. Sebagai contoh, untuk tempoh antara bulan Jan-April 2020, sebanyak 4.8 peratus daripada berita dan hantaran dalam talian berkaitan COVID-19 di Itali adalah palsu, manakala puncak jumlah berita palsu berkaitan COVID-19 sebanyak 7.3 peratus adalah pada permulaan pandemik, pada akhir Januari. Institut Reuter, di Universiti Oxford melaporkan bahawa 59 peratus hantaran berkaitan COVID-19 di Twitter adalah palsu, 27 peratus tuntutan palsu dikesan di YouTube dan 24 peratus di Facebook. Risiko terhadap keselamatan peribadi pula boleh berlaku apabila video dan audio deepfake diguna untuk pengecaman individu dalam sesuatu sistem biometrik.

Mengetahui ciri-ciri berita palsu, audio dan video deepfake adalah langkah awal yang boleh membantu kita mengenal pasti kesahihan maklumat yang tersebar luas sebelum mempercayainya dan menularkan kepada orang lain atau untuk mengelak diri daripada ditipu. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan poster cara mengenali berita palsu, begitu juga pejabat mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan nasihat menangani maklumat palsu.

Orang ramai perlu sentiasa mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi atau menyemak hantaran dengan mengikuti langkah-langkah seperti yang digariskan oleh MCMC. Kata kunci ialah baca, fikir, semak baru bertindak sama ada untuk percaya atau berkongsi melalui media sosial.

--BERNAMA

Prof Dr Ts Nor Azan Mat Zin ialah pensyarah dan penyelidik di Pusat Kajian Teknologi Perisian & Pengurusan (SOFTAM), Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)