Perbankan Islam yang merupakan wadah utama umat Islam melakukan transaksi kewangan patuh syariah tidak sepi daripada sebarang kritikan sejak awal penubuhannya sehingga kini. Ada kritikan yang dirasakan wajar bagi kesinambungan dan perkembangan yang lebih positif bagi industri perbankan Islam di negara ini, malah ada juga tohmahan liar yang dilemparkan akibat salah faham segelintir pihak tentang objektif dan operasi perbankan Islam. Namun, sewajarnya, perkataan “Islam” yang terdapat pada namanya harus seiring dengan label yang digunakan agar ia tidak disalahertikan dan perlu menggambarkan kesucian agama Islam itu sendiri. Keadaan ini amat penting terutama dalam menangani pasca COVID-19 yang penuh dengan pelbagai cabaran semasa.
Peranan perbankan Islam
Sesiapa sahaja tidak dapat menafikan tentang peranan dan sumbangan besar yang telah dimainkan oleh industri perbankan Islam kepada umat Islam negara ini sehingga saiz aset perbankan Islam tempatan dijangka mencapai 40 peratus daripada pegangan pasaran menjelang akhir tahun 2020. Sumber daripada Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menjangkakan saiz aset perbankan Islam akan mencapai separuh daripada aset keseluruhan industri perbankan di negara ini menjelang tahun 2030. Ini menggambarkan betapa industri perbankan Islam telah diterima dengan baiknya oleh majoriti rakyat di negara ini yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan patuh syariah yang menjadi alternatif utama produk dan perkhidmatan konvensional yang berasaskan riba yang diharamkan dalam muamalat Islam.
Jika kita susuri sejarah penubuhan perbankan Islam di negara ini, kita dapati bahawa proses untuk merealisasikan institusi perbankan tanpa riba dan mengamalkan prinsip muamalat Islam yang lebih adil dan saksama ini bukanlah terjadi dengan mudah tetapi dilaksanakan dengan perancangan dan penelitian yang jitu hasil sumbangan daripada golongan pakar, ahli akademik dan pengamal industri yang ingin melihat umat Islam bebas daripada cengkaman riba bagi semua transaksi kewangan harian.
Bank Islam Malaysia Berhad ditubuhkan selepas wujudnya Akta Perbankan Islam pada 1983, diikuti bank Islam kedua iaitu Bank Muamalat Malaysia Berhad pada 1999. Kini, sejumlah 16 institusi perbankan Islam sama ada di bawah pemilikan tempatan atau asing beroperasi di negara ini dengan menawarkan pelbagai jenis produk meliputi simpanan, pembiayaan, pelaburan dan seumpamanya.
Harus difahami walaupun perbankan Islam cuba untuk mengaplikasikan sistem muamalat dan ekonomi Islam secara sepenuhnya berdasarkan Maqasid Syariah yang tertentu, namun disebabkan kerangka asas (framework) yang digunakan termasuklah daripada aspek perundangan dan tadbir urus sektor ini yang menggunakan kerangka konvensional, agak sukar institusi perbankan Islam untuk memenuhi objektif sebenar penubuhan institusi ini sepenuhnya mengikut objektif syariah tersebut.
Sistem konvensional
Perbankan Islam masih terikat kepada beberapa sistem konvensional seperti pengukuran risiko dan keuntungan yang menggunakan ukuran konvensional sepenuhnya dan bersifat material atau tangible. Perkara ini mempengaruhi urus tadbir dan operasi perbankan Islam yang dilihat tidak memenuhi kehendak Islam sepenuhnya dalam membangunkan ekonomi ummah berasaskan ekonomi Islam yang harus lebih adil, saksama dan membantu golongan kurang mampu. Golongan kurang bernasib baik yang terdiri daripada golongan B40 atau B20 malah B10 dilihat kurang diberi perhatian oleh industri perbankan Islam ini sehinggakan golongan ini terpinggir dari arus transaksi yang mana lebih tertumpu kepada golongan M40 dan T20 atau golongan yang kaya. Di sinilah perkara yang agak janggal berlaku di mana timbul persoalan apakah mekanisme yang dibangunkan menggunakan nama “Islam” tersebut harus mengetepikan golongan ini dengan begitu mudah? Apakah produk khusus yang ditawarkan bagi membantu golongan ini? Apakah golongan ini tiada dalam kamus percaturan keuntungan dalam pengoperasian perbankan Islam?
Walaupun perbankan Islam mempunyai tadbir urus dan perundangan sendiri seperti yang termaktub dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam atau IFSA 2013 serta Kerangka Tadbir Urus Syariah, perbezaannya tidaklah begitu ketara dengan kerangka dan tadbir urus konvensional. Antara keperluan yang sedikit berbeza adalah untuk mempunyai jawatankuasa syariah pada peringkat institusi perbankan Islam terbabit juga peringkat Bank Negara Malaysia yang dikenali sebagai Majlis Penasihat Syariah.
Pengawasan oleh penasihat syariah pada kedua-dua peringkat sangat baik bagi keberkesanan tadbir urus perbankan Islam namun, terdapat suara yang merasakan kebebasan dan ketelusan belum sepenuhnya dapat dicapai memandangkan penasihat syariah terbabit diberi ganjaran dan dibayar imbuhan dari institusi perbankan Islam berkenaan dan bukannya dari institusi yang bebas dan berasingan. Di samping itu, penasihat syariah hanya melihat aspek hukum semata-mata bagi proses penasihatan mereka dan tidak melihat kepada aspek-aspek lain yang mungkin juga bercanggah dengan Maqasid Syariah jika dilihat dari perspektif ekonomi dan kewangan yang lebih luas. Pandangan yang diberi juga agak merisaukan kerana sesuatu pandangan yang tidak dibolehkan dalam sesuatu mazhab akan cuba dicari alternatif lain dalam mazhab-mazhab lain. Ini walaupun tidak salah bagi mencari penyelesaian terbaik bagi isu-isu baharu, namun dilihat oleh sesetengah pihak sebagai cuba mencari helah daripada pemakaian hukum tersebut. Antara yang terbaru adalah isu ar-Rahnu yang telah diputuskan tidak memenuhi keperluan syariah dalam Mesyuarat Penasihatan Syariah pada 2019 walaupun produk ar-Rahnu telah ditawarkan sejak 1992 lagi. Perbezaan pandangan inilah yang mengusarkan pelbagai pihak mengenai proses sebenar penasihat tersebut dilakukan.
Kesimpulannya, penulis merasakan perlunya perbankan Islam diberi nafas baharu agar benar-benar secocok dengan Maqasid Syariah dan sesuai dengan pemakainan “Islam” pada namanya yang tentunya cuba untuk menjaga kemaslahatan semua golongan dan bukan hanya golongan kaya sahaja di negara ini. Golongan pelajar di institusi pengajian tinggi misalnya, perlu pembiayaan bagi membiayai pengajian tinggi mereka yang selama ini hanya diberikan oleh PTPTN sahaja. Peranan yang lebih besar perbankan Islam bagi membantu golongan ini dan golongan B40 yang lain amat diperlukan bagi mengurangkan salah faham masayarakat terhadap institusi ini daripada terus berpanjangan. Nafas baharu inilah yang amat dinanti-nantikan oleh masyarakat Islam di negara ini dan bukan hanya perkiraan keuntungan semata-mata oleh institusi perbankan Islam.
--BERNAMA
Prof Madya Dr Muhammad Ridhwan Ab. Aziz Dekan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia.