TINTA MINDA

MACAU SCAM SUDAH DI TAHAP KRISIS NASIONAL?

19/10/2020 11:03 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datuk Seri Akhbar Satar

Sindiket Macau Scam dan judi dalam talian merupakan satu sindiket jenayah terancang yang mengaut keuntungan atas angin dengan meninggalkan ribuan mangsa sehelai sepinggang dan dalam situasi porak-poranda untuk menghadapi masa depan.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh pihak polis, pada tahun 2019 saja, terdapat 28,508 kes penipuan (scam) dan 18,130 pembukaan akaun yang melibatkan jumlah wang RM2.5 bilion.

Selain itu, lebih 80,000 akaun keldai milik individu yang membenarkan sindiket menggunakannya bagi aktiviti penipuan dalam talian dikesan dari 2019 hingga Oktober ini.

Ekoran kekerapan rakyat yang terlalu mudah terpedaya oleh modus operandi tipu daya mereka, Macau Scam saban hari menjadi bahan berita dalam media.

Sindiket terancang

Terkini, kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpas salah satu cabang sindiket ini, termasuk penangkapan beberapa pegawai polis yang disyaki turut menjadi dalang operasi haram. Tangkapan sindikit yang terbongkar mutakhir ini dipercayai hanyalah “tip of the iceberg”.

SPRM juga sudah membekukan sebanyak 730 akaun bank yang mempunyai nilai RM80 juta. Sebanyak 23 kenderaan mewah ditahan. SPRM juga merampas wang tunai sebanyak RM5 juta dan 23 kenderaan mewah dalam siasatan pengubahan wang haram dan sindiket Macau Scam sejak beberapa hari lepas.

Pada masa sama, SPRM sudah menahan 20 suspek berhubung siasatan kes itu iaitu 11 orang awam, lapan kakitangan penguat kuasa dan seorang warga China. Aktiviti ini dikendalikan oleh komplot yang besar dan terancang.

Pelbagai pendedahan dibuat menerusi media berkaitan jenayah siber khususnya jenayah penipuan atau scam sudah tentu jumlahnya akan meningkat.

Pelbagai cara dilakukan untuk mengutip wang perlindungan daripada pengusaha Macau Scam dan judi dalam talian yang dijalankan oleh beberapa sindiket dipercayai warga China.

Kuala Lumpur dijadikan pusat atau markas kepada Macau Scam dan judi dalam talian sindikit antarabangsa yang menyasarkan rakyat dari pelbagai negara khususnya China, Hong Kong dan rakyat Malaysia sendiri.

Dipercayai sindiket Macau Scam dan judi dalam talian ini melindungi tidak kurang daripada sepuluh sindiket besar di Malaysia. Rata-rata pekerja adalah dalam kalangan rakyat Malaysia dan China, bergantung kepada kumpulan sasaran sindiket ini. Upahnya adalah lumayan serta risiko ditangkap agensi penguatkuasa adalah rendah.

Modus operandi

Berikut adalah antara modus operandi sindiket tersebut:

1. Satu kumpulan agensi penguatkuasaan yang tiada integriti mengesan dan membocorkan maklumat kepada ketua kumpulan terbabit berhubung operasi-operasi yang akan dijalankan ke atas sindiket.

2. Berpakat dengan pihak berkuasa untuk membuat serbuan dan tangkapan ke atas kumpulan-kumpulan sindiket terbabit. Kedua-dua dalang ini akan mengatur pertemuan dengan sindiket yang telah diserbu pihak berkuasa dan meminta wang perlindungan untuk melepaskan pekerja-pekerja yang ditahan.

3. Menetapkan bayaran bulanan daripada sindiket Macau Scam dan judi dalam talian sebagai bayaran perlindungan dan jaminan bebas daripada tindakan undang-undang.

4. Bertindak sebagai penyedia logistik termasuk menyediakan pusat operasi sindiket yang kebiasaannya dibuat di rumah banglo dan kondominium eksklusif. Kedua-dua dalang ini akan mencari dan menyewakan rumah / kondominum / bangunan pejabat untuk dijadikan pusat pengoperasian. Ini bermakna sindiket-sindiket di bawah perlindungan kumpulan ini terpaksa menyewa daripada kedua-dua dalang terbabit. Keuntungan berlipat kali ganda dikutip oleh kedua-dua dalang itu apabila menyewakan semula rumah / kondominium / bangunan dengan kadar sewa berlipat kali ganda.

5. Dalang tersebut akan menentukan tempoh sesuatu tempat dijadikan pusat operasi. Ini bergantung kepada “panas” atau tidak kawasan kejiranan terbabit. Pusat operasi akan berpindah randah dari satu rumah / kondominium/ bangunan pejabat bagi mengelakkan masyarakat setempat membuat aduan. Ini kerana jumlah pekerja warga China atau tempatan yang terlibat adalah ramai.

Sebagai contoh, dalam serbuan di bangunan pejabat di Cyberjaya beberapa tahun lalu, dianggarkan seramai 500 orang pekerja warga China telah ditahan pihak berkuasa. Adakah proses tapisan yang telah ditetapkan kerajaan berjalan dengan lancar? Jumlah yang ramai ini mudah menimbulkan syak masyarakat setempat. Oleh sebab itu, mereka juga sering berpindah dan mendiami kawasan kejiranan yang eksklusif dan tersorok.

6. Salah seorang dalang yang terlibat adalah pemilik pusat penjualan komputer dan ICT terkemuka di Kuala Lumpur. Beliau akan menyediakan semua bentuk logistik daripada segi perkakasan dan perisian komputer untuk kegunaan sindiket-sindiket terbabit. Oleh itu, cukup mudah bagi sindiket mendapatkan perkakasan dan perisian ICT bagi menjalankan aktiviti mereka.

7. Membeli pusat hiburan (karaoke). Semua sindiket bawah naungan kumpulan dalang ini dikehendaki membayar RM1 juta sebagai saham pembelian pusat karaoke ini. Selain itu, setiap malam, semua sindiket naungan perlu membuka dua bilik karaoke berserta dengan GRO dan dadah. Difahamkan sindiket terpaksa membayar puluhan ribu ringgit untuk kos pembukaan bilik karaoke dan hiburan ini.

Oleh sebab itu, karaoke (club) ini tidak pernah kosong dan sentiasa penuh. Kedua-dua dalang ini juga menjadikan karaoke ini pusat menghiburkan pegawai penguat kuasa dengan hiburan, wanita dan dadah.

8. Melaburkan wang-wang haram hasil dari kutipan perlindungan bulanan, sewa rumah / pusat operasi, peralatan logistik dan aktiviti peras ugut dalam syarikat-syarikat yang sengaja diwujudkan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa. Ini termasuk melaburkan wang haram dalam syarikat milik artis dan selebriti tanah air.

Agensi penguatkuasaan

Difahamkan terdapat lebih 700 syarikat digunakan oleh dalang untuk tujuan untuk “mencuci duit” atau pengubahan wang haram termasuk restoran, syarikat pembinaan, syarikat ICT, karaoke, kelab malam, pinjaman wang sah dan tidak sah (ah long), syarikat penjualan kenderaan import dan sebagainya.

Sudah sampai masanya agensi penguatkuasaan mengatasi masalah Macau Scam ini secara holistik. Ketua sindiket yang pasti ada dalam senarai maklumat risikan polis mesti ditangkap dan ditumpaskan.

Manakala jika masih ada pegawai termasuk pegawai kanan agensi penguatkuasaan yang bersekongkol, melidungi, mengambil rasuah daripada sindiket Macau Scam dan judi dalam talian hendaklah disiasat dan diambil tindakan tanpa memilih bulu.

Kajian yang dibuat oleh Association of Certified Fraud Examiners, sindiket penipuan termasuk Macau Scam ini terjadi disebabkan oleh factor pakatan sulit iaitu kerjasama antara sindiket dan orang dalam. Isu integriti orang dalam sama ada agensi penguatkuasaan atau swasta yang turut membantu sindikit Macau Scam ini sehingga ramai rakyat rugi berjuta ringgit kerana ditipu.

Apapun, kita masih ada pegawai kerajaan yang berintegriti tinggi dan tegas serta menunjukkan contoh yang baik dalam menangani isu rasuah. Kadangkala, dengan pengalaman berpuluh tahun dalam pekerjaan tidak membawa makna jika mereka itu tidak mempunyai integriti.

Sebagai ketua, mereka mesti bersifat telus selain memenuhi tiga kriteria.

Kriteria pertama ialah berdasarkan merit seseorang yang boleh dinilai menerusi pengalaman dan profesionalisme dalam melakukan tugas. Kedua ialah integriti iaitu pemimpin dilantik tahu dan tidak melakukan kesalahan demi kepentingan individu.Ketiga ialah memilih pemimpin yang berani kerana benar. Ini bermaksud, apa juga tindakan yang dilakukan merupakan satu tindakan yang berani meskipun diarah atau diwahyukan melakukan sesuatu yang tidak baik dan melanggar undang-undang.

Pihak berkuasa hendaklah menyiasat sehingga ke lubang cacing mereka yang terlibat dan mendalangi sindikit Macau Scam dan judi dalam talian ini.

Bagaimanapun, mengatasi masalah Macau Scam dan judi haram dalam talian ini bukan hanya terletak kepada agensi penguatkuasaan sahaja.

Orang ramai perlu mematuhi nasihat pihak berwajib supaya tidak terjebak dalam aktiviti haram ini. Mereka juga hendaklah melapor kepada pihak polis sekiranya berdepan dengan masalah Macau Scam ini.

Begitu juga tanggungjawab hakim untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap penjenayah Macau Scam serta judi haram dalam talian supaya ia menjadi pengajaran pada mereka. Isu Macau Scam ini bukan saja boleh meruntuhkan masyarakat bahkan juga imej negara.

-- BERNAMA

Datuk Seri Akhbar Satar ialah Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)