PENA WANITA

 KEMPEN STAY-AT-HOME: DI MANA SILAPNYA?

09/11/2020 10:03 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Sitinurbayu Mohd Yusoff

Penghujung tahun 2019, dunia telah dikejutkan dengan penularan pandemik baru dan sangat berbahaya iaitu wabak Coronavirus 2019 (COVID-19) yang merupakan strain baharu Coronavirus yang sebelum ini tidak pernah dikenal pasti. Penyakit yang melibatkan pernafasan ini mula dikesan di Wuhan, China pada Disember 2019. Penyakit ini dikenal pasti berjangkit daripada individu kepada individu melalui titisan pernafasan atau sentuhan dan penyakit ini merupakan famili virus yang menyebabkan pelbagai penyakit daripada selesema hingga ke penyakit yang lebih teruk seperti penyakit MERS-CoV dan SARS-CoV. Selepas China, penyakit ini telah merebak ke seluruh dunia dengan pantas tidak terkecuali Malaysia. Kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa langkah dalam usaha untuk membendung wabak COVID-19 daripada terus menular di negara ini. Antara langkah yang diambil oleh kerajaan adalah menerusi kempen kesedaran awam terhadap masyarakat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kempen Stay-at-Home atau duduk di rumah merupakan antara kempen kesedaran awam yang terawal diperkenalkan dengan harapan rantaian penyakit berjangkit ini dapat diputuskan.

Pada bulan Mac tahun 2020, Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan PKP dalam satu pengumuman khas bagi mengekang penularan wabak penyakit COVID-19 ini. PKP ini adalah termasuk larangan perhimpunan awam untuk sebarang aktiviti berunsur keagamaan, aktiviti sosial, sukan dan riadah, kebudayaan serta penutupan sekolah, pejabat kerajaan dan premis perniagaan, mengehadkan perjalanan keluar negara untuk rakyat Malaysia dan menyekat kemasukan pelancong asing ke dalam negara bermula dari 18 Mac hingga 31 Disember 2020 yang melibatkan tujuh fasa iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melibatkan fasa pertama hingga fasa keempat, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang melibatkan fasa keenam dan fasa ketujuh.

Antara kedegilan dan tanggungjawab

Meskipun kerajaan telah mengarahkan larangan sebarang aktiviti perhimpunan awam, masih terdapat rakyat Malaysia yang ingkar dengan arahan dan dilihat masih berkumpul di tempat-tempat awam terutamanya di kawasan pasar dan kedai makan. Keingkaran mematuhi arahan PKP boleh memburukkan lagi keadaan semasa dengan peningkatan jumlah kes jangkitan COVID-19 dalam negara. Kesedaran dan pematuhan yang masih kurang terhadap arahan PKP menerusi Kempen Stay-at-Home dalam kalangan penduduk di Malaysia amat membimbangkan. Langkah keselamatan dan pencegahan risiko dijangkiti virus COVID-19 dan kematian akibat daripada jangkitan virus merbahaya ini masih dianggap kurang penting bagi sesetengah masyarakat. Fenomena ini adalah sangat membimbangkan kerana masyarakat yang berada di luar rumah dan berada di tempat awam yang sesak menyebabkan mereka terdedah kepada risiko dijangkiti virus COVID-19 yang tinggi berbanding dengan mereka yang berada di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berulang-ulang kali menyeru masyarakat agar terus kekal berada di rumah dan mengelakkan untuk berada di luar kawasan rumah terutamanya di tempat awam yang sesak. Beliau menegaskan bahawa duduk di rumah adalah usaha yang boleh dilakukan untuk memutuskan rantaian virus COVID-19 daripada terus menular. Penulis tidak memahami mengapa masih ada masyarakat yang berdegil dan ingkar dengan arahan ini?

Jika ada individu yang terpaksa juga keluar untuk bekerja semasa tempoh PKP ini, kita masih faham dan boleh bertolak ansur tetapi ada juga segelintir masyarakat yang terus berdegil dan ingkar dengan arahan PKP. Mereka keluar rumah secara sengaja dengan alasan mereka bosan duduk di rumah. PKP ini hanyalah untuk tempoh waktu seketika sahaja dan bukan selama-lamanya keadaan akan berterusan begini. Jika masyarakat tidak mementingkan diri sendiri dan tahu akan tanggungjawab masing-masing, penulis percaya tidak mustahil pandemik ini boleh dihapuskan dengan segera dan penularan wabak virus yang merbahaya ini boleh dikawal sepenuhnya.

Kadang-kadang penulis ada terfikir juga bagaimana semasa PKP yang mula-mula dahulu, masyarakat yang tidak ada pengalaman langsung dalam menghadapi situasi kritikal sebegini boleh pula mematuh Prosedur Operasi Standard (SOP) dan arahan PKP daripada pihak berkuasa. Kes COVID-19 paling tinggi sebelum ini pernah dicatatkan hanya 277 kes iaitu pada gelombang kedua pandemik semasa fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan. Tetapi pada gelombang ketiga pandemik COVID-19 ini, kes harian pesakit yang dijangkiti virus COVID-19 pernah mencapai angka paling tinggi iaitu sebanyak 1240 kes pada 26 Oktober 2020. Jumlah keseluruhan kes COVID-19 yang dilaporkan sepanjang gelombang ketiga Perintah Kawalan Pergerak Pemulihan (PKPP) setakat ke hari artikel ini ditulis adalah sebanyak 19,274 kes (sumber: KKM). Statistik ini amat membimbangkan. Keselamatan masyarakat adalah dalam keadaan yang amat berisiko tinggi. Penularan virus COVID-19 ini memberi kesan yang besar secara keseluruhannya termasuklah dari segi perubatan, perkhidmatan, pentadbiran mahupun ekonomi negara. Semua sektor penting negara terkesan dan terjejas akibat penularan virus Covid-19 ini.

Kempen Stay-at-Home

Kempen Stay-at-Home merupakan sebuah kempen kesihatan awam yang diperkenalkan susulan statistik yang membimbangkan iaitu sebanyak 70 kematian dicatatkan dari 18 Mac 2020 hingga 10 April 2020 yang membawa kepada jumlah kes keseluruhan adalah sebanyak 4,346 orang yang dijangkiti virus COVID-19. Kempen ini diadakan sejajar dengan misi kerajaan untuk mengurangkan jumlah penduduk yang dijangkiti virus COVID-19 dan seterusnya mengurangkan kematian yang diakibatkan oleh virus yang merbahaya ini. Kempen Stay-at-Home adalah sebuah kempen yang diwujudkan untuk menggalakkan orang ramai kekal berada di rumah dengan tujuan untuk melindungi penduduk daripada terdedah kepada kebarangkalian dijangkiti virus COVID-19.

Sungguhpun begitu, dalam konteks Malaysia, kempen kesihatan awam kurang mendapat sambutan daripada masyarakat. Masyarakat Malaysia lebih cenderung untuk mengambil sikap sambil lewa terhadap usaha kempen kesihatan awam yang dilaksanakan oleh KKM. Hal yang demikian dibuktikan menerusi kepatuhan terhadap PKP sejak ianya dikuatkuasakan bermula dari fasa pertama sehingga fasa ketujuh. Saranan Perdana Menteri kepada rakyat keseluruhannya untuk kekal berada di rumah seolah-olah tidak diberikan perhatian yang serius. Kebanyakan masyarakat masih berani untuk keluar dari rumah walaupun telah dilarang berbuat demikian berkali-kali.

Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Adham Baba menggalakkan rakyat Malaysia untuk terus mematuhi arahan PKP dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19. Justeru, kempen ini adalah untuk menggalakkan semua masyarakat agar menjadi lebih bertanggungjawab dengan duduk di rumah dan peka dengan keadaan semasa. Setiap individu memainkan peranan dan tanggungjawab dalam membantu mengurangkan risiko jangkitan virus COVID-19 dengan mematuhi arahan kerajaan supaya duduk di rumah sepanjang PKP dilaksanakan. Keselamatan masyarakat Malaysia adalah tanggungjawab semua pihak termasuk orang awam, kerajaan dan juga pihak swasta.

Kerakusan pemimpin politik dikatakan punca penyebaran virus?

Memang ada desas-desus yang menyatakan bahawa penularan COVID-19 gelombang ketiga ini adalah disebabkan oleh Pilihanraya Negeri (PRN) yang dijalankan di Sabah baru-baru ini tetapi penulis berpendapat, sekiranya SOP dilaksanakan dengan ketat dan semua yang terlibat mematuhi arahan SOP dengan baik, kemungkinan besar virus ini tidak akan tersebar dengan mudah dan jumlah jangkitan masih boleh dikawal. Namun, apa yang berlaku adalah SOP yang dikeluarkan tidak dipatuhi dengan sewajarnya oleh masyarakat terutamanya semasa tempoh PRN berlangsung. Sebenarnya banyak faktor penyumbang kepada terjadinya gelombang ketiga penularan virus COVID-19 ini tetapi penulis bukanlah orang yang selayaknya untuk mengulas mengenai isu-isu ini terutamanya yang melibatkan politik. Penulis berpandangan, punca utama terjadinya gelombang ketiga penularan virus COVID-19 ini adalah disebabkan oleh kedegilan dan ketidakpatuhan masyarakat terhadap SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Keingkaran terhadap PKP dan Kempen Stay-at-Home juga menjadi salah satu faktor penyumbang kepada peningkatan jumlah masyarakat yang dijangkiti oleh virus bahaya ini. Jika diteliti, terdapat kemungkinan wujud keperluan untuk mendidik dan mengasuh minda masyarakat agar memahami tujuan Kempen Stay-at-Home diadakan sepanjang tempoh PKP. Pihak berkuasa tempatan seharusnya lebih tegas dalam memastikan arahan PKP, SOP & Kempen Stay-at-Home dipatuhi oleh semua lapisan masyarakat. Penganjuran kempen ini tidak boleh dipandang ringan demi kepentingan masyarakat sejagat.

-- BERNAMA

Sitinurbayu Mohd Yusoff, merupakan pensyarah program Komunikasi, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)