TINTA MINDA

BELANJAWAN 2021: KESALINGHUBUNGAN INTERNET UTILITI KETIGA

09/11/2020 04:19 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datuk Saifuddin Abdullah

Saya menganggap Belanjawan 2021, yang dibentang oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu, mampu melonjakkan kerja-kerja kami di KKMM dari segi kesalinghubungan internet, ekonomi digital, ekonomi kreatif dan keselamatan siber.

Tetapi, apa yang paling signifikan ialah kenyataan Tengku Zafrul tentang kesalinghubungan digital iaitu, “Jaringan telekomunikasi kini boleh dianggap sebagai utiliti ketiga”.

Menjadikan kesalinghubungan internet sebagai ‘utiliti ketiga’ – yang diiktiraf oleh kerajaan persekutuan dan negeri-negeri – adalah satu dasar baru, langkah kehadapan yang tepat dan penanda aras maha penting dalam memecut kerja-kerja memperkukuhkan infrastruktur digital negara.

Satu daripada masalah besar dalam kerja-kerja kami di KKMM, khususnya melalui agensi kami, iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), dan syarikat-syarikat telekomunikasi, ialah kelambatan kelulusan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk penyediaan infrastruktur telekomunikasi di sesuatu tempat di dalam kawasan PBT tersebut. Di samping beberapa faktor lain, seperti penyediaan rizab kemudahan komunikasi atau ruang khas; kebenaran menggunakan struktur multi-fungsi bagi mengoptimumkan penggunaan tanah; dan penyelarasan perundangan, garis panduan dan kod teknikal; masalah utamanya ialah berkaitan dengan Kebenaran Merancang (KM).

Mana-mana pihak yang ingin memajukan mana-mana kawasan perumahan, bandar, perundustriaan dan sebagainya di dalam mana-mana kawasan PBT dikehendaki mendapatkan KM. KM ialah berkaitan dengan perancangan infrastuktur. Pada hari ini, pemaju perlu menyediakan perancangannya tentang dua utiliti, iaitu air dan elektrik. Ia tidak semestinya diperlukan menyediakan perancangan tentang kesalinghubungan internet. Kerana kesalinghubungan internet tidak dikira sebagai utiliti. Perancangan tentang kesalinghubungan internet hanya timbul setelah projek pemajuan atau pembangunan tersebut siap dibina. Inilah faktor utama mengapa kerja-kerja infrastuktur digital mengambil masa yang terlalu lama untuk disiapkan.

Perkara ini telah kami (KKMM dan SKMM) bentangkan di mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-36, yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 27 Oktober lalu. Mesyuarat tersebut telah, pada prinsipnya, bersetuju dengan permohonan kami. Malahan Perdana Menteri memberikan pandangan yang bernas tentang cara-cara meningkatkan kapasiti infrastruktur digital negara dan mengurangkan karenah birokrasi supaya selaras dengan keperluan ekonomi digital dan potensinya untuk menarik pelabur asing.

Perkara ini akan juga dibentangkan dalam mesyuarat Perdana Menteri dengan Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri pada bulan Disember ini. Ia adalah nadi kepada kerja-kerja Majlis Digital Negara dan Industri 4.0 yang juga dipengerusikan Perdana Menteri.

Perkara ini adalah sebahagian daripada cadangan kami untuk dimasukkan dalam Garis Panduan Perancangan Infrastuktur (GPP-I) untuk memudahkan cara penyediaan infrastruktur digital. Pertama, ia memerlukan penyediaan satu garis panduan yang seragam untuk memudah cara penyediaan infrastuktur digital negara. Dan kedua, ia perlukan penyelarasan dan rundingan segera bagi penyediaan garis panduan berkenaan di peringkat negeri, iaitu melalui sesi libat urus dan perbincangan bersama pihak-pihak yang berkepentingan.

GPP-I ini akan dapat mengatasi tiga cabaran yang dihadapi dalam perancangan infrastruktur digital hari ini, iaitu tiadanya sumber rujukan bagi perancangan infrastruktur digital bagi pembangunan baharu; kelewatan penyediaan perkhidmatan komunikasi; dan kos yang tinggi, masa yang lama dan bantahan pengguna.

Sebaliknya, dengan GPP-I ini, ia akan menghasilkan tiga jenis manfaat. Rakyat akan mendapat perhidmatan komunikasi dengan lebih cepat, kapasiti yang lebih tinggi dan kualiti pengalaman yang lebih baik. PBT akan mempunyai pembangunan yang dirancang dengan lebih baik yang menjadikannya lebih berdaya saing dan mampan bagi menarik minat pelabur kerana perkhidmatan komunikasi telah tersedia. Dan syarikat penyedia perkhidmatan akan mendapat peluang pelaburan yang lebih menarik.

Menjadikan kesalinghubungan internet sebagai utiliti ketiga memberikan suntikan yang amat diperlukan bagi kami melaksanakan Pelan Tindakan Jalinan Negara (JENDELA) 2020-2022, yang dilancarkan Perdana Menteri pada bulan Ogos lalu, dengan sebaik-baiknya.

Ia memberi makna berganda kepada peruntukan-peruntukan telekomunikasi digital yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, iaitu:

• Program Jaringan Prihatin dalam bentuk bantuan kredit telekomunikasi RM180 seorang untuk golongan B40 berjumlah RM1.5 bilion;

• Data internet percuma melalui padanan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi berjumlah RM1.5 bilion;

• JENDELA untuk kesalinghubungan 430 sekolah seluruh negara berjumlah RM500 juta;

• Perluasan perkhidmatan jalur lebar bagi tempoh 2021-2022 melalui SKMM berjumlah RM7.4 bilion; dan

• Kesalinghubungan internet di 25 kawasan perindustrian di bawah JENDELA berjumlah RM42 juta.

Ini dituruti dengan peruntukan Belanjawan ini memberi fokus kepada pertumbuhan berterusan ekonomi digital negara dengan mengambil kira manfaatnya melangkaui keseluruhan segmen masyarakat serta membantu proses pemulihan ekonomi negara. Dalam menyegerakan pelaksanaan ini, fokus diberikan untuk terus merancakkan aktiviti ekonomi digital melalui:

  • Program Peningkatan Kemahiran dan Latihan Semula oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berjumlah RM100 juta bagi memudahkan peralihan bakat tenaga kerja sedia ada ke bidang ICT;

  • Skim Transformasi Pendigitalan Industri bernilai RM1 bilion bertujuan merancakkan kembali aktiviti pendigitalan dan automasi sehingga 31 Disember 2023; dan

  • Insentif Shop Malaysia Online yang dilaksanakan oleh MDEC berjumlah RM150 juta bagi menggalakkan perbelanjaan secara dalam talian dan bakal memanfaatkan 500 ribu usahawan tempatan termasuk pengusaha produk halal dan kraf tangan.

Pada masa yang sama, semakin kita meningkatkan aktiviti-aktiviti dalam talian, maka, kita juga perlu meningkatkan kawalan keselamatan siber negara. Dalam hal ini, CyberSecurity Malaysia (CSM) diberi peruntukan RM27 juta bagi menangani jenayah siber.

KKMM juga menerima peruntukan-peruntukan untuk bidang-bidang lain. Bagi saya, peruntukan-peruntukan tersebut adalah menepati perancangan rapi kerajaan PN yang prihatin dalam merancakkan semula aktiviti-aktiviti ekonomi, iaitu dengan strategi “6R”: pembahagian dasar ekonomi kepada kepada enam tahap: Restore (Ketegasan), Resilience (Ketahanan), Restart (Memulakan-semula), Recovery (Pemulihan), Revitalise (Memperkasa) dan Reform (Menyusun semula). Belanjawan 2021 ialah tahap kelima (Memperkasa). Rancangan Malaysia Ke-Dua Belas (RMK12) yang akan dibentangkan pada Januari 2021 ialah tahap keenam (Menyusun semula).

-- BERNAMA

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)