TINTA MINDA

MENCARI KEJERNIHAN

11/11/2020 09:58 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Ishak Hasnan

Pada 3 Sept 2020 yang lalu pengguna air di Lembah Klang sekali lagi menghadapi kesukaran akibat gangguan bekalan air. Loji Rawatan Air (LRA) Sg Selangor Fasa 1,2,3 dan LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas. Gangguan kali ini disyaki disebabkan oleh pencemaran air sungai dari pelepasan sisa kilang yang terdapat ditepi sungai Gong.

Kemudian pada awal bulan Oktober yang pula LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas. Ini kerana berlaku pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Langat. Pada 19 Okt pula sekali lagi LRA Sg Selangor Fasa 1,2,3 dan LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas kerana terdapat pencemaran . Sepanjang bulan Sept dan Okt ini pengguna terpaksa berdepan dengan tiga kali gangguan bekalan air.

Punca utama ketiga-tiga gangguan bekalan air ialah pencemaran sungai. Air sungai atau air permukaan (surface water) masih menjadi sumber air mentah utama kebanyakan LRA di Malaysia. 90 peratus daripada LRA menggunakan air permukaan sebagai sumber air mentah. Sebahagian mukasauk (intake) LRA berada ditepi sungai di kawasan hilir iaitu setelah sungai melalui kawasan pertanian, kawasan industri dan kawasan kediaman. Dengan itu sungai amat terdedah kepada aktiviti pencemaran.

Langkah, perancangan dan cadangan

Pengguna punya alasan tersendiri untuk merasa bosan dengan gangguan air yang berlaku. Tetapi pihak berkuasa tidak pernah lelah dan jemu untuk mencari jalan penyelesaian. Pelbagai langkah, rancangan, cadangan dan idea dikemukakan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan. Antaranya ialah:

Memasukkan PDRM kedalam pasukan penguat kuasa

Langkah terkini ialah memasukkan PDRM dalam pasukan penguat kuasa anti pencemaran alam. Sebelum ini PDRM tidak terlibat dalam meninjau dan menyiasat kes pencemaran sungai. Dengan kemasukan PDRM diharapkan penguatkuasaan akan dapat dilakukan dengan berkesan.

Pembinaan Denai (River Trails)

Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) juga akan membina lebih banyak denai iaitu laluan jalan kaki di tepi sungai. Laluan ini boleh digunakan untuk tujuan riadah. Oleh itu orang ramai yang beriadah di Denai ini boleh menjadi pemerhati kepada sebarang cubaan untuk mencemarkan sungai dan terus melaporkan kepada pihak berkuasa. KASA mensasarkan 10,000 km denai akan dibina menjelang 2030.

Penggunaan Peralatan Canggih

Ada juga agensi yang menggunakan teknologi canggih iaitu memasang alat pengesan (sensor) pencemaran di tempat tertentu di sungai. Alat pengesan ini akan menghantar data ke pejabat secara dalam talian untuk dianalisa. Jika terdapat pencemaran berlaku maka tindakan segera boleh diambil. Ada juga agensi yang bercadang untuk menggunakan drone untuk memantau sungai.

Pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS)

TAPS ialah takungan air yang dibina di tepi sungai tetapi tidak bersambung dengan sungai. Airnya tidak terjejas apabila sungai mengalami pencemaran. Air dari TAPS ini akan digunakan sebagai sumber alternatif apabila sungai mengalami pencemaran. Ketika ini beberapa TAPS sedang dibina di negeri Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah. Lebih banyak lagi TAPS akan dibina dalam RMK-12.

Lebuh raya Air (Water Hiway)

KASA juga bercadang untuk membina lebuh raya air iaitu terusan air terbuka yang menghubungkan negeri yang mempunyai sumber air yang berlebihan dengan negeri yang kekurangan sumber air. Negeri yang kekurangan sumber air buleh menggunakan air dari terusan ini. Walau bagaimanapun persetujuan dari kedua dua kerajaan negeri perlu diperolehi terlebih dahulu.

Pemindahan Dan Penjualan Air (Water Transfer)

Ia sama seperti lebuh raya air tetapi menggunakan saluran paip tertutup. Seperti projek pemindahan air sungai dari Pahang ke Selangor. Pemindahan air mentah dari Johor ke Melaka dan lain-lain. Penjualan air bersih berskala besar antara negeri juga ada dicadangkan. Tetapi masih dalam perundingan. Yang sedang berjalan ialah penjualan air bersih pada skala yang kecil di kampung-kampung berhampiran sempadan negeri. Persetujuan antara kerajaan negeri yang terlibat juga perlu diperolehi.

Meningkatkan Takat Simpanan (Reserve Margin) Air Bersih

Takat simpanan bermaksud simpanan air bersih yang ada. Sebahagian negeri mempunyai simpanan air yang kurang dari 5 peratus atau kurang dari satu hari keperluan. Apabila LRA terpaksa dihenti tugas maka gangguan air akan mudah berlaku. Oleh itu takat simpanan ini perlu dinaikkan sekurang-kurangnya ke paras 20 peratus. Lebih banyak simpanan lebih baik untuk pengguna. Oleh itu lebih banyak kolam takungan perlu dibina.

Eksplorasi Air Bawah Tanah (Under Ground Water)

Walaupun pasukan penguat kuasa sumber air telah diperkuatkan dan pelbagai program dilaksanakan penjenayah alam sekitar pasti tahu kelemahan yang berlaku. Sungai masih tetap berdepan dengan risiko pencemaran. Tiada jaminan bahawa sungai akan 100 peratus selamat dari insiden pencemaran.

Langkah jangka panjang

Untuk itu sebagai langkah jangka panjang, sudah tiba masanya LRA perlu dilengkapi dengan sumber air mentah alternatif yang lebih terjamin bebas dari pencemaran terutamanya LRA yang menggunakan air sungai yang mempunyai risiko tinggi berlaku pencemaran. Kebergantungan kepada air sungai perlu dikurangkan. Untuk itu sumber air bawah tanah perlu dilihat sebagai alternatif terbaik.

Kuantiti air bawah tanah yang ada di negara ini sememangnya berpotensi untuk dieksplotasi dan digunakan sebagai sumber air mentah. Negeri Kelantan menggunakan 53 peratus air bawah tanah sebagai sumber air mentah LRA nya. Air bawah tanah terletak di bawah pentadbiran Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG). Untuk itu Operator Air (OA), JMG, Pusat Penyelidikan, IPT dan lain lain pihak harus bekerjasama untuk melakukan R&D terhadap air bawah tanah. Kajian kuantiti, kualiti dan kaedah rawatan yang sesuai ke atas air bawah tanah perlu dicari. Air bawah tanah biasanya mengandungi bahan seperti Ferum dan Mangan terlarut yang lebih tinggi dari air sungai di samping bahan bahan mineral terlarut yang lain. Bahan bahan ini memerlukan kaedah khusus untuk mengurangkannya ke paras yang selamat. Jika tidak ia akan menjejaskan kualiti air terawat. Sudah terdapat teknologi dari luar untuk merawat air bawah tanah. Tetapi kos nya agak tinggi. Untuk itu teknologi dan kepakaran tempatan perlu dibangunkan supaya kosnya dapat dikurangkan serta negara tidak terlalu bergantung kepada teknologi dan kepakaran luar.

Air bawah tanah dan lain-lain sumber air alternatif juga diperlukan untuk mengatasi masalah kekurangan air mentah terutamanya pada musim kemarau. Apabila air sungai berkurangan atau kering maka sumber air bawah tanah akan menjadi menyelamat. Di negara barat walaupun mereka menjaga sungai dengan baik tetapi mereka banyak menggunakan air bawah tanah sebagai sumber air mereka. Denmark menggunakan 99 peratus air bawah tanah sebagai sumber air. Switzerland sebanyak 83 peratus, begitu juga dengan negara barat yang lain. Mereka tidak terlalu bergantung kepada air permukaan sebagai sumber air

Isu air merupakan cabaran kepada semua pemain industri bekalan air dan pihak yang berkepentingan dalam mencari kejernihan bagi mempastikan pengguna dapat menikmati bekalan air bersih yang berterusan tanpa gangguan hingga ke generasi akan datang.

-- BERNAMA

Ishak Hasnan ialah Pengerusi Malaysian Water Engineers Action Committee (MyWAC)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)