TINTA MINDA

INSENTIF  BELANJAWAN 2021 SEKTOR AGRIKULTUR: JAMINAN KESELAMATAN MAKANAN DAN COVID-19

17/11/2020 10:39 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Ts Dr Saiful Irwan Zubairi

Berikutan terdapat potensi peningkatan ketidakupayaan jaminan keselamatan makanan dalam mengharungi gelombang ketiga COVID-19 ini, banyak negara-negara dunia terutamanya negara-negara sedang membangun sedang berusaha keras dan menggembeleng tenaga dalam mengoptimumkan sumber semulajadi sedia ada demi memastikan sektor agrikultur kekal berfungsi seperti biasa.

Antara usaha tersebut adalah dengan memastikan pasaran produk agrikultur mempunyai bekalan mencukupi dengan harga yang masih berpatutan, makanan berkualiti dan berkhasiat serta keupayaan pengguna dalam mendapatkan akses bekalan bahan mentah di saat kawalan pergerakan diperketatkan dan kehilangan sumber pendapatan. Pembentangan Belanjawan 2021 di saat gelombang ketiga memuncak amatlah bertepatan pada masanya di saat rakyat menantikan insentif penting dalam merencana kemaslahatan semasa rakyat Malaysia terutama sekali di sektor agrikultur huluan and hiliran.

Kesan berantai

Pemberian lebih RM1.7 bilion berupa subsidi, bantuan sara hidup dan insentif kepada para petani dan nelayan bakal merancakkan kembali majoriti sumber pendapatan rakyat B40 yang berkerja di peringkat huluan (petani, peladang, pesawah dan pekebun) yang mana jaminan utama keselamatan makanan dilihat bakal memberi kesan berantai kepada negara akibat pandemik yang tiada masih tiada penghujungnya.

Secara amnya, berdasarkan kepada data semasa daripada The World Bank Group 2020, pasaran global agrikultur kekal stabil di mana perdagangan sektor makanan kekal utuh berbanding sektor perdagangan lain secara keseluruhan. Tahap pengeluaran global bagi 3 makanan ruji utama dunia (beras, gandum dan jagung) sedang berada pada kadar yang sangat tinggi dan sektor ini sedang mengalami burnout yang serius sekiranya tidak ditangani dengan baik. Ditambah pula dengan permintaan dunia yang telah melebihi tahap keupayaan pengeluaran dan pengetatan SOP pengeksportan sumber mentah bakal memburukkan lagi tahap keselamatan makanan bagi negara-negara pengimport terbesar.

Risiko utama kepada tahap keselamatan makanan pada sesuatu negara khususnya di Malaysia sepanjang krisis pandemik ini adalah gangguan rantaian bekalan makanan domestik, kerosakan peralatan/perkakasan pemprosesan bahan makanan di peringkat huluan dan hiliran, kesukaran kebolehdapatan alat ganti peralatan/perkakasan dan kehilangan punca pendapatan rakyat yang boleh menimbulkan chaos dan tunjuk perasaan kepada kerajaan sedia ada.

Walaupun dilihat harga makanan kekal stabil, kesan berantai ini telah mulai kelihatan seperti inflasi harga bahan mentah di sepanjang rantaian pembekalan makanan kepada pengguna, gangguan pembekalan dan operasi pengangkutan dan penurunan kadar tukaran mata wang semasa. Peningkatan harga makanan ditambah pula dengan pengurangan sumber pendapatan sudah pastinya akan memberikan kesan yang besar kepada kepada pengguna dengan cara menggurangkan kuantiti dan kualiti kaedah pemakanan sedia ada dan pastinya berpotensi memberi kesan kepada tahap kesihatan dan nutrisi keluarga.

The U.N. World Food Programme telah meramalkan sebanyak 265 juta penduduk dunia (135 juta penduduk dunia sedia ada yang sedang mengalami masalah kebolehdapatan sumber makanan sebelum krisis COVID-19 bakal berhadapan dengan risiko ketidakstabilan jaminan makanan pada penghujung tahun 2020 disebabkan oleh kehilangan sumber pendapatan. Bagaimanapun, ramalan risiko tersebut dilihat agak sederhana dengan kerancakkan kepelbagaian pemberian insentif Belanjawan 2021 seperti pembiayaan kredit mikro melalui TEKUN, PUNB dan BSN berjumlah RM1.2 bilion dalam membantu golongan B40 dan M40 yang terjejas sumber pendapatan mereka bagi menjana kembali kuasa pembelian yang semakin berkurangan.

Selain itu, pengeluar produk makanan juga berdepan dengan risiko kerugian yang mendadak akibat corak permintaan pengilang/pembekal dan pengguna di sepanjang rantaian pembekalan makanan dengan memilih kepada sumber makanan/pertanian yang lebih murah dari negara jiran. Oleh yang demikian, dengan pemberian insentif tersebut diharapkan Jabatan Pertanian Negeri (JPN) dapat menyediakan kembali subsidi penting seperti biji benih, baja dan pestisid bergred tinggi agar hasil pertanian tempatan mampu menyiangi sumber negara jiran.

Ini sudah pastinya memberi kesan kepada sektor agrikultur tempatan yang bergantung harapan sepenuhnya daripada pihak kerajaan pada sekian lamanya dan sudah pastinya kesan pengambilan sumber bahan mentah daripada tanaman/produk agrikultur tempatan akan mencorak dan menstabilkan kembali harga produk akhir pasaran tempatan dan menggurangkan kebergantungan kepada negara jiran.

Berikut merupakan jangkaan kesan utama pandemik COVID19 kepada elemen rantaian sistem makanan dan polisi penting yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan bersandarkan kepada saranan oleh The Food and Agriculture Organization of the United Nations (FOA) dalam mengatasi masalah tersebut:

Kesan terhadap permintaan makanan

Daripada sudut permintaan semasa, kesan disebabkan oleh pandemik ini adalah akan berlakunya kepelbagaian kuasa pembelian oleh para pengguna. Kuasa pembelian untuk barangan mentah terutamanya dilihat sangat bergantung rapat kepada harga pasaran. Sensitiviti kuasa pembelian ini juga turut dipengaruhi oleh perubahan kepada pendapatan kasar isi rumah terutamanya pada golongan B40 dalam mencorak kuasa permintaan tersebut. Keadaan ekonomi semasa yang berada pada kadar 5.5 peratus (KDNK) dan peningkatan kadar pengganguran pada 4.2 peratus (3.3 peratus pada 2019) memperlihatkan kelembapan ekonomi yang ketara akibat pandemik tidak terjangka ini.

Margin pengganguran yang besar menjadikan kuasa pembelian golongan B40 ini semakin lemah terjejas dan memberi kesan kepada permintaan dan pembelian barangan asas harian penting. Diburukkan lagi dengan tahap kemiskinan sedia ada dan kebolehupayaan golongan miskin tegar dan B40 ini dalam mendapatkan akses kepada makanan berkhasiat dan penjagaan kesihatan semasa.

Oleh yang demikian, krisis kesihatan yang berlaku sekarang sememangnya memberi kesan berantai bukan sahaja kepada kuasa pembelian pengguna, malahan juga kepada rantaian pembekalan dan pengeluar akibat berlakunya penurunan permintaan mendadak. Polisi penting yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan kepada golongan B40 dan miskin tegar adalah seperti memberi jaminan kepada program sokongan nutrisi dan kesihatan kepada para ibu yang menjaga kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah, memastikan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) diperbaiki dengan menu makanan yang seimbang serta berkhasiat, penyediaan bekalan susu setiap hari persekolahan, memperluaskan program perlindungan sosial untuk mempertingkatkan akses kepada bekalan makanan yang mencukupi dan mempertingkatkan promosi tabiat memakan makanan sihat dan sumber yang bersih.

Kesan terhadap pembekalan makanan

Daripada sudut pembekalan semasa, tindakan pengawalan pergerakan atau penjarakan sosial boleh memberi kesan di sepanjang rantaian pembekalan. Ini termasuklah kesan terhadap pengambilan buruh kasar (pekerja asing mahupun tempatan), penggunaan modal berbayar dalam proses pengeluaran produk dan lain-lain rantaian yang berkait rapat seperti pengangkutan antarabangsa/domestik, pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan, pengedaran kepada pasaran hiper dan sektor peruncitan (kedai, pasaran, restoran dan peniaga kecil dan sederhana).

Kesan ini akan menjadi lebih buruk terhadap pembekalan bahan mentah hasil pertanian yang mudah rosak seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang memerlukan capaian sistem logistik yang cekap dan cepat. Gangguan dalam pembekalan boleh menyebabkan ketidaktentuan atau perubahan harga makanan yang drastik dan sudah pastinya jika adanya peningkatan harga yang mendadak, ianya akan ditanggung oleh pengguna di akhir rantaian.

Peruntukan sebanyak RM1.4 bilion bagi Skim Pembangunan Nasional oleh Bank Pembangunan Nasional bagi menyokong pelaksanaan rantaian pembekalan domestik dan meningkatkan penghasilan produk tempatan merupakan langkah yang tepat dalam menyerap kembali kos peningkatan harga yang mendadak ataupun menampung kembali kos operasi pekilang akibat penurunan permintaan (mengakibatkan penurunan harga) sepanjang tempoh pandemik yang tidak menentu. Menurut FAO Food Price Index, terdapatnya penurunan harga di peringkat antarabangsa sebanyak 4.3 peratus antara Februari dan Mac 2020 terhadap semua kumpulan makanan (bijiran, gula, minyak masak, daging dan produk tenusu) disebabkan oleh kuasa permintaan di sepanjang rantaian pembekalan yang berkurangan akibat COVID-9. Oleh yang demikian, polisi penting yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan adalah menyelesaikan masalah logistik utama (penyimpanan dan pembekalan) dengan pengenalan peruntukan RM30 juta (Belanjawan 2021) untuk e-rebat RM200 bagi setiap pembelian unit penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga (operasi pengilangan dan penyimpanan bahan mentah) dan memastikan operasi perladangan (fokus kepada peladang kecil dan sederhana) bagi memastikan pengekalan pembekalan dan keberadaan sumber bahan mentah agrikultur yang segar dan bebas kerosakan.

Kesan terhadap perdagangan makanan antarabangsa

Perdagangan makanan turut mengalami kesan yang besar akibat daripada pandemik dan tiada negara di dunia mempunyai 100 peratus keupayaan untuk membekalkan hasil sumber tanaman makanan kepada penduduknya. Penjelasan munasabah adalah negara-negara yang terjejas teruk akibat pandemik berkemungkinan besar bergantung sepenuhnya kepada imbangan pembekalan perdagangan produk agrikultur daripada negara jiran mahupun negara lain.

Masalah sampingan lain seperti jangkaan kelembapan ekonomi global, peningkatan permintaan minyak mentah, perubahan harga makanan akibat gangguan aliran produk makanan import, penurunan bekalan makanan tempatan akibat peningkatan yang tinggi oleh aliran pengeksportan dan pasaran kewangan dengan penukaran mata wang antarabangsa yang tinggi melemahkan lagi proses perdagangan antarabangsa. Negara yang merupakan pengeksport bersih produk agrikultur sudah pastinya akan mengalami impak yang berbeza dengan negara pengimport bersih produk agrikultur.

Begitu juga kepada negara pengeksport produk agrikultur (buahan dan sayuran) yang menggunakan sumber tenaga buruh yang tinggi akan turut mengalami impak yang berbeza berbanding dengan negara yang bergantung sepenuhnya kepada aliran modal bagi pemprosesan yang produktif. Peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi perlanjutan subsidi upah dalam membantu 70,000 majikan dan 900,000 pekerja dalam sektor peladangan dan agrikultur amatlah bertepatan dalam mengimbangi kembali imbangan aliran tenaga kerja dan pembekalan hasil agrikultur. Profil peningkatan pengimportan bahan makanan dari RM38.86 bilion ke RM54 bilion mulai tahun 2013 sehingga 2018 (Jabatan Statistik Malaysia 2018) didorong oleh ketidakupayaan negara dalam mengimbangi aliran tenaga kerja, produktiviti agrikultur yang rendah dan permintaan pasaran tempatan yang mendadak.

Oleh yang demikian, antara strategi penting dalam memperbaiki kesan ini adalah dengan mempelbagaikan sumber lokasi pengimportan agar Malaysia tidak hanya terlalu bergantung kepada satu sumber negara sahaja terutamanya dalam bahan makanan penting seperti susu segar (Australia), daging mentah (India) dan cili (Thailand). Langkah terbaik yang dilakukan oleh negara jiran seperti Singapura dengan mempelbagaikan sumber pengimportan produk makanan dari lebih 170 negara dunia (2019) memperlihatkan kesan jangka panjang yang baik dalam memberi jaminan kepada keupayaan keselamatan makanan negara tersebut di saat dunia mengalami krisis kesihatan tidak menentu.

-- BERNAMA

Ts Dr Saiful Irwan Zubairi ialah Teknologis Profesional/Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)