PENA WANITA

MEMAHAMI KONSEP EMANSIPASI WANITA

23/11/2020 10:02 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Nur Saadah Khair

Emansipasi secara umumnya merujuk kepada “pembebasan daripada perhambaan”. Tetapi istilah ini sering dikaitkan dengan wanita kerana emansipasi juga bermaksud “pemberian hak yang dalam hukum antara wanita dan lelaki” (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010). Secara khusus, emansipasi wanita adalah “proses pelepasan diri para wanita dari kedudukan sosial ekonomi yang rendah atau dari pengekangan hukum yang membatasi kemungkinan untuk berkembang dan untuk maju” (Kamus Besar Bahasa Indonesia, 2016).

Namun begitu, emansipasi wanita yang dibawa oleh kerangka Barat lebih menjurus kepada pembebasan buat wanita dari kuasa dan kawalan kaum lelaki dan struktur kuasa tradisional, serta memperjuangkan hak kesamarataan wanita dan lelaki (European Institute for Gender Equality, 2019).

Isu emansipasi wanita ini sebenarnya juga telah dibawa oleh Rasulullah SAW sejak kedatangan Islam yang membawa misi untuk membebaskan wanita daripada tradisi Jahiliyyah yang memandang hina kepada kaum wanita. Wanita pada zaman tersebut dijadikan sebagai alat untuk memuaskan hawa nafsu, dilakukan seperti barang dagangan, dijual beli melalui akad nikah, dan dihadkan seluruh kebebasannya, malah bayi perempuan dibunuh dengan ditanam hidup-hidup. Tetapi kedatangan Islam membawa satu perubahan besar dan signifikan terhadap status wanita.

Hak wanita

Isu wanita adalah topik universal yang mendapat perhatian dunia Islam dan barat. Namun demikian, hujah yang menyatakan bahawa wanita ditindas kerana agama perlu dibidas, kerana ia bukan sahaja membawa impak negatif kepada imej wanita, tetapi memberi kesan yang lebih besar ke atas Islam sebagai sebuah agama.

Ini adalah kerana agamawan atau ulama turut mengangkat isu wanita dan mempertahankan hak-hak mereka selari dengan usaha yang telah dilakukan oleh para reformis, nasionalis, dan juga sasterawan.

Tidak dinafikan bahawa beberapa reformis dari Timur Tengah telah banyak mempengaruhi ulama di Tanah Melayu khasnya pada awal abad ke-20. Sebagai contoh, Syed Syeikh Ahmad al-Hadi (1867 – 1954) berpeluang bertemu dengan Syeikh Muhammad ‘Abduh ketika berusia 28, dan banyak usaha dan sumbangan al-Hadi dalam pendidikan dan penulisan juga terinspirasi daripada pemikiran beliau. Antara karya yang dihasilkan adalah Hikayat Setia Asyik kepada Maksyuknya atau Syafik Affandi dengan Faridah Hanom (1926); Agama Islam dan Akal (1931); Kitab Alam Perempuan (1930) dan lain-lain.

Antara contoh lain juga adalah usaha menterjemahkan karya yang ditulis oleh Muhammad Rashid Rida daripada bahasa Arab (Nida’ Li Al-Jins Al-Latif) ke bahasa Melayu (Seruan Kepada Jenis Yang Lembut: Perempuan) oleh Abdullah Abdul Rahman (1876 – 1950). Beliau bukan sahaja aktif dalam penulisan, tetapi bertanggungjawab menubuhkan Sekolah Perempuan Melayu pertama di Johor pada tahun 1911.

Menariknya, gerakan untuk memperjuangkan pendidikan wanita dan penglibatan wanita dalam masyarakat diperkukuhkan oleh para intelektual agama dan ahli reformasi dari kalangan lelaki. Pada abad ke-20, banyak karya yang dilahirkan dalam mengangkat martabat wanita serta menyokong hak-hak dan emansipasi wanita.

Dalam pada yang sama, nasionalis seperti Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestaman, dan Burhanuddin al-Helmi turut sama menyokong usaha ini di samping memperjuangkan kemerdekaan. Malah, sasterawan dan novelis juga menyumbang kepada emansipasi wanita di dalam karya-karya mereka seperti Ahmad Rashid Talu (lakah Salmah, 1928); Keris Mas (Korban Kesuciannya, 1949); Ahmad Lutfi (Ustazah, 1950); A. Samad Said (Salina, 1961), dan lain-lain.

Tambahan kepada pejuang lelaki, wanita di Tanah Melayu turut memperjuangkan hak-hak mereka. Rokiah Nuruddin, Ibu Zain, Ainun Abdullah, Kontik Kamariah, dan Rahmah Ahmad adalah antara contoh wanita yang membangkitkan isu-isu wanita Melayu.

Sebagai contoh, Ibu Zain (1903-1989) telah mewakili wanita Tanah Melayu berjuang untuk membebaskan wanita dari belenggu tradisi lama dan pada masa yang sama membuka minda rakyat untuk menjadi optimis mengenai perubahan dan kemodenan. Beliau juga dikenali sebagai pejuang pendidikan anak perempuan bagi mempertahankan bahawa anak-anak perempuan mesti diberi pendidikan sama seperti yang diterima oleh anak-anak lelaki..

Slogan yang dibawa oleh Ibu Zain adalah ‘Agama dididik, Moden dibela’ bagi menolak dakwaan bahawa gerakan mereka dipengaruhi oleh kerangka Barat. Ini adalah kerana banyak juga persepsi yang menolak untuk berubah atas dasar pengaruh Barat dan risau sekiranya agama Islam diketepikan jika mereka menerima pendidikan atas acuan Barat.

Emansipasi wanita dalam Islam

Hakikatnya, emansipasi wanita telah dibawa oleh Islam sejak wahyu diturunkan ke atas Nabi Muhammad SAW. Ia merupakan perjuangan yang panjang, dan usaha ulama dalam isu ini tidak wajar dilupakan, malah karya serta manuskrip mereka harus terus mekar menjadi bukti bahawa wanita bukan sekadar ‘kaum senyap’ atau ‘kaum kelas kedua’.

Sokongan terhadap emansipasi wanita merupakan penolakan terhadap diskriminasi dan penindasan terhadap wanita. Peranan ulama adalah sangat besar bagi membuktikan bahawa Islam adalah agama yang tidak menyekat hak wanita tetapi memuliakan wanita dengan mengiktiraf hak-hak wanita. Malah, Islam tidak membezakan hak kaum lelaki dan wanita.

Wanita juga berperanan memelihara hak dan tanggungjawab mereka tetapi perlu berlandaskan agama, kerana agama adalah panduan dalam kehidupan. Peranan ini bukan terletak pada lelaki atau wanita sahaja, tetapi ia adalah tanggungjawab bersama.

-- BERNAMA

Nur Saadah Khair ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan EXCO kajian Islam dan Hadis (WAFIQ).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)