TINTA MINDA

BDR Perlukan Disiplin Digital Dan Infrastruktur Kukuh

29/04/2026 05:16 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Nor Aziati Abdul Hamid

Keputusan kerajaan melaksanakan bekerja dari rumah (BDR) atau work from home (WFH) mulai 15 April 2026 lalu bagi sektor awam dan berkaitan kerajaan ialah langkah yang tepat dalam keadaan semasa.

Ketika negara berdepan tekanan kos tenaga, kenaikan harga bahan api dan keperluan mengurus mobiliti harian secara lebih cekap, WFH bukan lagi sekadar pilihan pengurusan sumber manusia.

Ia sudah menjadi sebahagian daripada strategi kesinambungan operasi negara.

Namun, dalam keterujaan melihat BDR sebagai penyelesaian segera, ada satu hakikat yang tidak boleh diabaikan.

Dasar ini hanya akan berjaya jika ia disokong oleh ekosistem digital yang benar-benar bersedia.

Tanpa infrastruktur yang kukuh, kawalan keselamatan yang jelas dan disiplin pengurusan yang tegas, BDR boleh menjadi longgar dari segi operasi dan lemah dari segi akauntabiliti.

Perkara pertama yang perlu difahami ialah pelaksanaan BDR bukan untuk semua sektor dan semua bentuk pekerjaan.

Beberapa bidang seperti keselamatan, pertahanan, penguatkuasaan, perkhidmatan kecemasan, kesihatan kritikal dan sebahagian fungsi pendidikan sememangnya memerlukan kehadiran fizikal. Ini ialah realiti operasi yang tidak boleh dipermudahkan.

Oleh itu, pendekatan kerajaan yang bersifat bersasar perlu dilihat sebagai langkah matang.

Kerja Hibrid Tersusun

Di peringkat global, model kerja masa kini tidak lagi sekadar perbandingan mudah antara “bekerja dari rumah” dan “bekerja di pejabat.”

Model sebenar ialah kerja hibrid yang tersusun, berasaskan fungsi dan berpandukan keperluan operasi.

Banyak kerajaan dan organisasi besar masih menetapkan kehadiran minimum ke pejabat untuk jawatan tertentu, sambil membenarkan fleksibiliti bagi peranan yang benar-benar sesuai.

Justeru, BDR tidak boleh diukur berdasarkan berapa ramai orang boleh bekerja dari rumah.

Yang lebih penting ialah sama ada organisasi masih boleh mengekalkan mutu perkhidmatan, penyelarasan kerja, pemantauan tugasan dan keyakinan rakyat terhadap kecekapan institusi.

Dalam konteks global, banyak negara juga tidak melihat BDR sebagai model kerja mutlak.

Yang menjadi amalan kini ialah kerja hibrid yang tersusun, berdasarkan fungsi tugas dan keperluan organisasi.

Maksudnya, fleksibiliti tetap diberikan, tetapi dalam rangka yang terkawal dan terukur. Ini penting supaya perubahan lokasi kerja tidak menjejaskan hasil kerja.

Transformasi Cara Bekerja

Malaysia juga perlu bergerak dalam kerangka yang sama. Pelaksanaan BDR mesti dilihat sebagai transformasi cara bekerja, bukannya sekadar perubahan tempat bekerja.

Jika pekerja hanya berpindah dari pejabat ke rumah tanpa perubahan pada sistem pemantauan, pengurusan dokumen, keselamatan akses dan pencapaian prestasi, maka dasar ini tidak dapat mencapai matlamat sebenar.

Di sinilah isu infrastruktur digital menjadi sangat penting.

BDR yang berjaya memerlukan internet yang stabil, sistem pengurusan dokumen yang tersusun, aplikasi kolaborasi yang selamat, capaian kepada sistem organisasi secara terkawal dan kaedah pemantauan kerja berasaskan output.

Organisasi yang masih bergantung sepenuhnya kepada kehadiran fizikal, tandatangan manual dan aliran kerja tradisional pasti akan menghadapi kesukaran.

Lebih penting lagi, Malaysia perlu memberi perhatian serius kepada dasar Bring Your Own Device atau BYOD.

Dalam banyak keadaan, BYOD dilihat sebagai jalan mudah kerana pekerja boleh terus menggunakan telefon, tablet atau komputer riba sendiri untuk mengakses sistem kerja.

Dari sudut operasi, ini memang memberi kelebihan. Ia mempercepatkan pelaksanaan BDR, mengurangkan kos penyediaan peranti rasmi dan membolehkan organisasi bergerak pantas apabila keadaan mendesak.

Tetapi BYOD juga membawa risiko yang besar jika tidak diurus dengan betul. Peranti peribadi tidak berada pada tahap keselamatan yang sama.

Ada yang tidak dikemas kini, ada yang tidak disulitkan, ada yang menggunakan rangkaian rumah yang lemah, dan ada juga yang digunakan serentak untuk urusan kerja serta urusan peribadi.

Dalam keadaan ini, risiko kebocoran data, akses tanpa kebenaran dan pencerobohan siber menjadi jauh lebih tinggi.

Sebab itu BYOD tidak boleh dianggap sebagai kemudahan biasa. Ia mesti diurus sebagai isu tadbir urus digital.

BDR & Keselamatan Digital

Organisasi yang ingin mengakses penggunaan peranti peribadi perlu mempunyai dasar yang jelas mengenai jenis peranti yang dibenarkan, tahap yang boleh diberikan, kaedah pengesahan identiti, keperluan penyulitan, pemisahan data rasmi dan data peribadi, serta tindakan yang perlu diambil jika berlaku kehilangan peranti atau insiden keselamatan.

Prinsip yang perlu dipegang sangat mudah. Semakin tinggi sensitiviti sesuatu tugas, semakin rendah kesesuaian untuk menggunakan peranti peribadi.

Tugasan pentadbiran rutin mungkin masih boleh dilaksanakan melalui BYOD dengan kawalan tertentu, yang melibatkan data kerajaan yang sensitif, maklumat rakyat, urusan kewangan, penguatkuasaan atau sistem kritikal tidak semestinya bergantung kepada peranti milik sendiri.

Dalam masa yang sama, kejayaan BDR juga menuntut perubahan budaya pengurusan. Penilaian kerja tidak lagi boleh hanya bergantung kepada kehadiran fizikal atau masa berada di pejabat.

Sebaliknya, ia perlu beralih kepada pencapaian hasil, masa, kualiti tugasan dan keupayaan menyelaraskan kerja secara digital.

Pengurus perlu lebih jelas menetapkan sasaran, garis masa dan akauntabiliti. Tanpa perubahan ini, BDR akan mudah disalah tafsir sebagai kelonggaran, sedangkan hakikatnya memerlukan disiplin yang lebih tinggi.

Hakikatnya, BDR boleh membawa banyak manfaat jika dilaksanakan dengan betul.

Ia boleh mengurangkan tekanan perjalanan harian, membantu pengurusan tenaga, meningkatkan fleksibiliti tertentu dan menyokong kesinambungan operasi dalam situasi mencabar.

Namun, manfaat ini tidak datang secara automatik. Ia memerlukan pelaburan dalam sistem, latihan, keselamatan dan tatakelola.

Malaysia sudah membuat langkah pertama yang betul dengan memperkenalkan BDR secara bersasar.

Langkah seterusnya ialah memastikan seluruh pelaksanaannya dibina atas asas digital yang selamat, cekap dan berkesan.

Tanpa disiplin digital, BDR hanya akan menjadi arahan sementara. Dengan disiplin digital, BDR boleh menjadi model kerja moden yang benar-benar berfungsi.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Nor Aziati Abdul Hamid ialah Pensyarah dan Penyelidik Bersekutu, Pusat Penyelidikan Perkhidmatan & Pengurusan Operasi (CRSOM), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)