Sepanjang tempoh negara berhadapan dengan pandemik COVID-19, terdapat beberapa isu yang yang timbul termasuk dalam bidang pendidikan antaranya home-based learning, pengajaran secara dalam talian, pengajaran luar talian, gaji guru dan banyak lagi isu berkaitan.
Dalam hal ini, penulis berkongsi hasil satu kajian tinjauan yang melibatkan 1,742 guru tentang kesediaan pendidik melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPDR), serta cabaran yang guru hadapi dalam melaksanakan PdPDR. Tinjauan tersebut mendapati bahawa majoriti, iaitu sebanyak 85 peratus guru melaksanakan aktiviti PdPDR antara satu hingga empat jam sehari, manakala 15 peratus lagi melaksanakan PdPDR selama lebih empat jam sehari. Analisis secara terperinci pula mendapati 67 peratus hanya mampu melaksanakan PdPDR kurang daripada dua jam sehari, berpunca daripada pelbagai kekangan dan cabaran di pihak guru dan juga murid.
Secara tidak langsung, hasil kajian ini mengesahkan bahawa guru telah menjalankan tanggungjawab mereka sepanjang PKP, namun pada masa yang sama menimbulkan persoalan daripada aspek kuantiti pembelajaran murid, yang terlalu sedikit - yakni antara satu hingga empat jam sahaja.
Cabaran melaksanakan PdPDR
Guru dalam tinjauan ini juga berkongsi akan cabaran dan kekangan PdPDR atau home-based learning (HBL). Hampir 80 peratus guru menyatakan bahawa cabaran utama ialah memastikan keberadaan murid semasa kelas berlangsung, diikuti dengan cabaran dalam menyesuaikan kaedah pengajaran dengan keperluan dan kesediaan murid, di samping hendak memastikan murid memberi tumpuan, murid faham, murid seronok belajar dengan bilangan murid seramai 30 hingga 40 dalam setiap kelas.
Antara 70 dan 80 peratus pula menyatakan masalah kestabilan internet, kebolehgunaan peranti mengajar seperti komputer, telefon, computer tablet, ruang pembelajaran murid, sokongan ibu bapa dan keprihatinan kepimpinan sekolah. Selain itu, terdapat juga cabaran lain yang menggugat kredibiliti guru, seperti ASTRO, NETFLIX, video game dan lain-lain yang seumpamanya, yang boleh diakses pada bila-bila masa secara percuma dan lebih menarik minat murid sekolah khususnya remaja.
Perlu juga diambil kira aspek lain seperti masalah kesihatan fizikal, mental dan emosi akibat ‘terkurung’ apabila murid tidak boleh keluar rumah, berjumpa rakan, beriadah, yang berkeluarga besar tapi rumah kecil, yang tidak cukup makan, menghadapi konflik keluarga dan pelbagai lagi masalah-masalah lain yang kadangkala tidak terjangkau dek akal.
Hakikatnya, semua di atas adalah pelbagai bentuk gangguan pembelajaran, yang sekiranya tidak ditangani dengan berkesan, akan menjejaskan pembelajaran anak-anak kita, walau di mana mereka berada.
Gangguan pembelajaran
PKP yang berpunca daripada pandemik COVID-19 merupakan antara gangguan pembelajaran yang berlaku di seluruh dunia. Apabila fenomena gangguan pembelajaran berlaku, proses pengajaran terjejas menyebabkan matlamat pembelajaran tidak tercapai seperti yang dihasratkan.
Dalam dunia pendidikan khususnya yang melibatkan murid sekolah, gangguan pembelajaran sebenarnya sudah lama berlaku, di peringkat lokal dan global – yang secara langsung dan agak berkala yakni bencana alam seperti banjir, jerebu, gempa bumi, kebakaran; dan yang tidak langsung tetapi berterusan seperti kemiskinan, konflik keluarga, media massa, sosial, agama, dan politik. Namun gangguan-gangguan ini kurang diberi perhatian kesannya kepada pendidikan anak-anak kita kerana ia berlaku sepanjang masa atau mungkin juga kerana kita telah mengagih-agihkan gangguan tersebut kepada kategori pendapatan seperti B40, M40 atau T20; mengikut lokasi seperti pedalaman, luar bandar dan bandar; mengikut kementerian seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Sumber Manusia; dan pelbagai lagi menyebabkan kita tidak memandang isu Pendidikan secara holistik.
Pandemik yang berlaku sepanjang tahun 2020 sebenarnya bukan sahaja telah menjejaskan pendidikan anak-anak kita, malah telah menerobos nilai, amalan dan budaya hidup kita. Menghargai nyawa, menjaga kebersihan, kuarantin diri, menjaga jarak sudah menjadi nilai yang wajib diutamakan. Malah menukar suatu amalan yang lazimnya ‘normal’ juga sudah menjadi kebiasaan masa kini – seperti tidak berjabat tangan untuk memeterai perjanjian atau salam perkenalan; melapor secara sukarela kepada pihak kerajaan kehadiran di mana-mana tempat awam menerusi QRCode; menjarakkan diri ditempat awam; memakai penutup separuh muka (face mask); dan amalan SOP yang lain-lain.
Berita terkini menggambarkan PKPP dan PKBB semakin dilonggarkan, dengan memberikan tanggungjawab menjaga keselamatan kepada individu masing-masing dengan pesanan mentera ‘kita-jaga-kita’.
Normal baharu
Hakikatnya, pengajaran daripada pandemik yang berlaku bukanlah sekadar isu remeh seperti guru makan gaji buta, bukan juga isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), atau isu sama ada anak kita belajar atau tidak, lulus/gagal dalam peperiksaan – pengajaran akibat pandemik sewajarnya terkesan lebih mendalam dalam diri setiap individu dewasa yang boleh berfikir secara waras dan bijak.
Pandemik COVID-19 menyedarkan kita bahawa hal-hal pendidikan melibatkan anak-anak kita, generasi masa hadapan kita dan bukan di bawah tanggungjawab guru semata – malah tanggungjawab yang perlu dipikul bersama-sama, merentas kementerian, jabatan, bahagian, sempadan, bangsa, agama dan politik.
Pandemik ini membangkitkan tanggungjawab untuk menjadi pemimpin kepada diri sendiri dan orang lain; hormati pandangan dan kehidupan orang sekeliling; serta prihatin, cakna dan bersangka baik dengan makhluk lain.
COVID-19 mengesahkan pernyataan bahawa manusia wajib merancang, namun Tuhan yang menentukan, justeru mengingatkan dan memberi ruang kita memperbaiki kehidupan dengan membuang/mengubah normal lama, mengamal normal baharu dan menjangka/ mencipta normal masa hadapan.
Pandemik COVID-19 mengingatkan bahawa kita sebenarnya berada dalam satu sistem kehidupan, satu peradaban, satu bangsa manusia yang berfungsi untuk saling melengkapi ke arah evolusi kehidupan yang maju, hijau, madani dan lestari.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor dari Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia