Oleh Prof Madya Dr Ezrin Hani Sukadarin & Ts Dr Khairilmizal Samsudin
Pada bulan Jun, rakyat Malaysia dikejutkan dengan dua insiden kemalangan membabitkan bas ekspres yang membawa pelajar institusi pengajian tinggi.
Tragedi pertama berlaku pada 9 Jun 2025 di Jalan Raya Timur-Barat (Gerik-Jeli), apabila sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terbalik setelah melanggar sebuah Perodua Alza. Nahas tersebut melibatkan 48 mangsa dan telah meragut 15 nyawa.
Keesokannya, pada 10 Jun, satu lagi insiden dilaporkan melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), yang melanggar bahagian belakang sebuah treler di Lebuhraya Pantai Timur.
Walaupun tiada kematian dilaporkan dalam kejadian kedua ini, insidennya tetap mengerikan dan terus mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan pengangkutan awam di negara ini.
Apa yang lebih menyayat hati ialah hakikat bahawa semua mangsa dalam tragedi pertama adalah mahasiswa iaitu bakal jurutera, guru, saintis dan pemimpin masa hadapan negara.
Kehilangan mereka bukan sekadar angka dalam statistik kemalangan, ia merupakan kehilangan besar terhadap potensi, harapan dan pelaburan masa depan negara.
Sementara itu, kecederaan yang dialami oleh mangsa-mangsa yang terselamat pula membawa implikasi jangka panjang dari segi fizikal, psikologi dan ekonomi.
Bukan sahaja kepada mereka, tetapi turut memberi kesan mendalam kepada keluarga dan komuniti.
Statistik JPJ
Laporan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan bahawa pada musim perayaan Aidilfitri 2025 sahaja, sebanyak 22,552 saman telah dikeluarkan, dengan 158 buah bas ekspres dilarang beroperasi atas faktor keselamatan.
Malah, lebih 1,800 buah bas direkodkan melakukan pelbagai kesalahan, termasuk memandu sambil menggunakan telefon bimbit dan tidak menyediakan pemandu kedua.
Statistik ini membuktikan bahawa walaupun pemeriksaan teknikal terhadap kenderaan semakin ditekankan, masih wujud kelompongan besar dalam aspek paling kritikal — iaitu faktor manusia.
Lebih membimbangkan ialah majoriti kesalahan ini berlaku walaupun penguatkuasaan dijalankan. Ini menunjukkan penguatkuasaan luaran sahaja tidak cukup tanpa pemantauan dan budaya keselamatan dalaman yang kukuh dalam syarikat bas.
Prosedur seperti pemeriksaan harian kenderaan, taklimat keselamatan (roll call), penilaian kesihatan pemandu, serta pemantauan masa kerja dan rehat masih kurang diamalkan secara menyeluruh.
Tanpa kawalan dalaman yang konsisten dan berdisiplin, pemandu cenderung untuk mengabaikan aspek keselamatan sehingga nyawa penumpang terancam.
Perumpamaan "bak telur di hujung tanduk" benar-benar menggambarkan kerentanan nyawa penumpang apabila kesihatan dan kecergasan pemandu bas tidak dipantau.
Dalam kedua-dua kejadian ini, siasatan awal menyebut kemungkinan faktor kecuaian dan kegagalan mengawal kenderaan adalah disebabkan oleh keletihan, tekanan atau masalah kesihatan tersembunyi seperti penyakit jantung atau gangguan pola tidur.
Perlu Pemeriksaan Kesihatan
Namun, sejauh manakah pemandu bas menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh secara berkala?
Sebagai perbandingan, dalam industri pengangkutan kereta api, pemandu tren menjalani latihan intensif enam hingga 12 bulan dan disaring ketat dari segi kesihatan: ujian penglihatan dan pendengaran, tekanan darah, fungsi jantung (ECG), ujian darah dan saringan psikologi/psikometrik.
Pembaharuan sijil kompetensi pemandu tren juga melibatkan penilaian prestasi dan pemeriksaan kesihatan tahunan, dan hanya mereka yang lulus sahaja dibenarkan meneruskan tugas.
Ironinya, pemandu tren beroperasi di atas landasan yang tetap, di bawah pemantauan berterusan dari bilik kawalan, sebarang pergerakan mereka boleh dijejak dan dibataskan sekiranya terdapat risiko.
Walaupun begitu, keperluan kesihatan pemandu tren begitu ketat dan meyakinkan. Bagaimana pula dengan pemandu bas?
Pemandu bas beroperasi di atas laluan terbuka, secara bebas, tanpa pemantauan langsung dari mana-mana pusat kawalan.
Mereka membuat keputusan sendiri sepanjang pemanduan dan membawa penumpang melalui kawasan berbukit, cerun dan selekoh tajam - seperti yang berlaku dalam tragedi di Gerik.
Namun begitu, keperluan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi pemandu bas jauh lebih longgar. Lesen vokasional PSV (Public Servive Vehicle) mereka perlu diperbaharui setiap tahun, tapi pemeriksaan kesihatan yang diwajibkan biasanya terbatas kepada saringan penglihatan dan tekanan darah sahaja.
Tiada ujian jantung, saringan mental, ujian narkotik dan latihan semula secara berkala melainkan selepas berlakunya kemalangan. Bukankah ini satu kelemahan yang perlu diperbaiki segera?
Sudah tiba masanya sistem pengangkutan awam, khususnya pengendalian bas, dinilai semula.
Cadangan seperti pemeriksaan kesihatan tahunan, ujian psikometrik, ujian narkotik, alkohol secara berkala, latihan berkala seperti teknik pemanduan jarak jauh dan pengurusan keletihan perlu diperkenalkan.
Malah, pembaharuan lesen PSV juga sepatutnya dikaitkan dengan kelulusan pemeriksaan kesihatan lengkap yang disahkan oleh pengamal perubatan bertauliah.
Sama seperti pemandu tren, pemandu bas perlu dilihat sebagai barisan hadapan keselamatan penumpang.
Pihak kerajaan seperti Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan Malaysia perlu memimpin reformasi ini.
Peraturan baharu perlu diwujudkan dan dikuatkuasakan secara menyeluruh oleh JPJ, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan agensi pengangkutan awam yang lain.
Syarikat-syarikat bas pula perlu meletakkan keselamatan dan kesihatan pemandu sebagai keutamaan dalam pengurusan operasi mereka. Namun, reformasi tidak seharusnya terhenti pada aspek pencegahan semata-mata.
Pengurusan Krisis
Tumpuan juga perlu diberikan kepada pengurusan krisis dan tindak balas kecemasan pasca-tragedi, kerana ia sama pentingnya dalam mengurangkan impak kemalangan.
Pertama, pengurusan komunikasi krisis yang cekap dan berempati. Apabila tragedi berlaku, cara pihak berkuasa dan syarikat pengendali bas berkomunikasi dengan orang awam, terutamanya keluarga mangsa, adalah amat kritikal.
Kenyataan yang terburu-buru, bersifat defensif atau cuba melepaskan tanggungjawab bukan sahaja tidak profesional, malah menambah luka di hati keluarga yang sedang bersedih.
Mereka memerlukan maklumat yang tepat, saluran komunikasi yang jelas, dan yang paling penting, rasa empati yang tulen.
Sudah tiba masanya pihak bertanggungjawab mempunyai protokol komunikasi krisis yang standard, memastikan setiap jurucakap dilatih untuk menangani situasi dengan sensitif dan penuh hormat.
Kedua, insiden ini mendedahkan satu lagi penambahbaikan, iaitu tahap kesiapsiagaan orang awam dalam memberi bantuan kecemasan.
Dalam situasi kemalangan di lokasi terpencil seperti di laluan Gerik-Jeli, orang awam yang berada di tempat kejadian adalah barisan hadapan sebelum ketibaan ambulans.
"Tempoh keemasan" atau golden hour selepas kemalangan adalah sangat kritikal.
Pengetahuan asas seperti Bantuan Pernafasan (CPR) dan cara menghentikan pendarahan boleh menjadi penentu antara hidup dan mati.
Mungkin sudah sampai masanya modul bantuan kecemasan asas ini diintegrasikan secara lebih meluas, bukan sahaja untuk pemandu tetapi juga dalam kursus mandatori lain atau kempen kesedaran awam yang perlu dianjurkan. Keselamatan bukan sesuatu yang boleh dirunding.
Setiap penumpang yang menaiki bas meletakkan nyawanya di tangan pemandu. Dan jika kita benar-benar serius mahu mengelakkan kemalangan seperti yang menimpa pelajar UPSI dan UMPSA berulang, maka sudah tiba masanya kita mengiktiraf bahawa tugas memandu bas bukan hanya sekadar kerja rutin malah ia adalah pekerjaan berisiko tinggi, yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang kukuh, serta sistem sokongan yang mantap.
Nyawa tidak boleh diganti, dan langkah pertama untuk menghargainya ialah memastikan pemandu yang menggalas tanggungjawab besar ini benar-benar bersedia, bukan sahaja dengan lesen, tetapi juga dengan kesihatan dan kewaspadaan yang terjamin.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Ezrin Hani Sukadarin ialah Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Ts Dr Khairilmizal Samsudin ialah Pensyarah Kanan, Universiti Sains Malaysia dan kini berkhidmat sementara di Faculty of Resilience, Rabdan Academy, United Arab Emirates.