TINTA MINDA

KELESTARIAN PENGURUSAN TANAH:  MANFAAT TEKNOLOGI GIS

25/12/2020 01:21 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Nurul Hana Adi Maimun dan Dr Zakri Tarmidi

Hari Tanah Sedunia atau ‘World Soil Day’ disambut di seluruh dunia pada 5 Dis setiap bermula tahun 2012. Hari Tanah Sedunia diusulkan oleh Kesatuan Antarabangsa Sains Tanah pada tahun 2002 bagi meraikan pentingnya tanah terhadap kesejahteraan manusia dan alam sekitar.

Tanah yang diurus dengan baik dapat menjamin kelangsungan makanan, air dan tenaga kepada manusia serta mengurangkan impak perubahan iklim. Setiap tahun, Hari Tanah Sedunia disambut dengan tema berkaitan tanah yang berbeza-beza. Tahun ini, Hari Tanah Sedunia disambut dengan tema Pastikan Tanah Hidup, Lindungi Biodiversiti Tanah (Keep Soil Alive, Prot ect Soil Biodiversity).

Tanah sumber terhad

Tanah merupakan sumber alam yang terhad dan tidak boleh diperbaharui. Tanah telah digunakan sebagai sumber dalam pelbagai bidang, termasuklah bidang pertanian, penternakan, sebagai kawasan tadahan air, kawasan sumber mineral, dan lain-lain lagi.

Penggunaan sumber tanah yang tidak terkawal menyebabkan sumber tanah semakin menurun saban tahun. Pembangunan dan amalan pengurusan tanah yang tidak lestari seperti penebangan hutan tanpa kawalan dan pencemaran alam sekitar menyebabkan berlakunya pelbagai bencana alam seperti tanah runtuh dan perubahan iklim.

Terdapat beberapa kejadian bencana besar yang telah melanda seluruh dunia akibat ketidaklestarian penggunaan sumber tanah. Antaranya banjir kilat di Kuala Lumpur, tanah runtuh di Cameron Highlands, serta lubang benam (sinkhole) yang berlaku di Beijing pada awal tahun 2020.

Sekiranya ketidaklestarian penggunaan sumber tanah ini berterusan, para saintis menjangkakan bahawa akan terdapat lebih banyak kejadian bencana besar yang bakal berlaku dan akan memberikan impak pada skala yang jauh lebih besar.

Tambahan pula, impak daripada pandemik COVID-19 yang menyukarkan penduduk dalam mendapatkan akses kepada bekalan makanan wajar dijadikan pengajaran dan menjadi titik tolak untuk mengekalkan sumber alam yang berharga ini.

Kepentingan tanah

Menyedari kepentingan tanah terhadap kesejahteraan manusia dan keseimbangan alam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, melalui sambutan Hari Tanah Sedunia mengajak seluruh masyarakat dunia untuk menjaga dan memulihara sumber tanah, agar ia kekal lestari. Sokongan dan pengiktirafan terhadap pengurusan tanah yang lestari dapat menjamin kelangsungan sumber makanan dan seterusnya memastikan keseimbangan ekosistem.

Selain meningkatkan tahap kesedaran penduduk terhadap kepentingan penjagaan sumber tanah, pihak bertanggungjawab juga berperanan besar dalam memastikan sumber tanah ini terpelihara. Bagi memastikan sumber tanah ini terpelihara, terdapat keperluan untuk satu kaedah pengurusan tanah yang baik.

Pengurusan tanah yang baik ini perlu menunjukkan kawasan tanah mana yang masih dalam keadaan baik, kawasan tanah yang telah diterokai, kawasan yang perlu diselamatkan, dan kawasan yang perlu terus digazetkan. Pengurusan tanah yang baik memerlukan kepada satu sistem pengurusan tanah yang sesuai, dan boleh dicapai pada bila-bila masa. Sistem pengurusan ini perlulah mampu memaparkan kedudukan sesuatu kawasan tanah, serta keadaan kawasan sekitar tanah tersebut.

Sistem Maklumat Geografi (GIS)

Untuk menunjukkan lokasi kawasan tanah yang terkesan ini, integrasi maklumat tanah dengan Sistem Maklumat Geografi (GIS) harus menjadi satu keutamaan. GIS akan membantu dalam memaparkan lokasi kawasan tanah ini, apa keadaan sekelilingnya, apa keadaan bentuk muka buminya, dan lain-lain maklumat secara geografinya.

Selain itu, GIS juga mampu menunjukkan maklumat tambahan, seperti pihak berkuasa yang terlibat, sempadan pentadbiran yang berkaitan seperti sempadan negeri, daerah, mukim, atau pihak berkuasa tempatan.

Integrasi GIS dengan maklumat tanah yang efisien mampu membantu pihak bertanggungjawab dalam mengenal pasti lokasi tanah, aktiviti yang berlaku di sesuatu kawasan, serta memantau kawasan tanah yang berisiko dalam kawasan pentadbiran mereka.

Keupayaan GIS dalam memetakan kawasan berisiko tinggi dan kawasan tumpuan (hotspot) kegiatan haram memudahkan perkongsian maklumat dengan pihak berkuasa lain, agar tindakan pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan efisien.

Tanah merupakan sumber khazanah alam semula jadi yang tidak ternilai harganya. Pengabaian sumber tanah mendedahkan dunia kepada pelbagai bencana yang merugikan semua penduduk dunia.

Oleh itu, masyarakat daripada segenap lapisan haruslah sama-sama berganding bahu dalam menyokong usaha kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam melestarikan sumber tanah.

Selain itu, teknologi GIS haruslah dimanfaatkan sebaik mungkin dalam sistem pengurusan tanah agar segala urusan dan pemantauan aktiviti berkaitan tanah dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Semoga sumber tanah kita terus kekal lestari dan dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

-- BERNAMA

Dr Nurul Hana Adi Maimun dari Pusat Kajian Harta Tanah (UTM CRES), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Dr Zakri Tarmidi merupakan Kumpulan Penyelidikan 3D GIS, UTM.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)