TINTA MINDA

MEMENUHI KEPERLUAN SUHU PENYIMPANAN VAKSIN COVID-19 : CABARAN RANTAIAN SEJUK BEKU

19/02/2021 09:46 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Nurulaini Md Ali

Sejauh manakah keupayaan kemudahan infrastuktur bagi penyimpanan vaksin COVID-19 diyakini untuk memastikan bekalan vaksin terjaga dengan baik tanpa sebarang kerosakan? World Health Organization (WHO) menganggarkan lebih 50 peratus vaksin akan dibazirkan di seluruh dunia setiap tahun disebabkan isu-isu pengawalan suhu, logistik dan pengangkutan kapal.

Ini jelas menunjukkan vaksin yang sangat diperlukan masa kini dengan harga berbilion dollar hanya akan dibazirkan sekiranya suhu yang diperlukan tidak dipantau dan dijaga dengan baik sepenuhnya.

Cabaran penyimpanan

Vaksin COVID-19 adalah berbeza dengan vaksin-vaksin lain yang pernah dihasilkan sebelum ini dan memberi cabaran besar kepada setiap negara yang akan mendapatkannya. Faktor utama adalah suhu penyimpanan yang mencapai tahap sejuk beku iaitu suhu di antara -86⁰C sehingga -45⁰C. Ini disebabkan bahan genetik yang digunakan sangat sensitif iaitu hasil dari teknologi mRNA yang memerlukan kawalan julat suhu yang ketat dan sangat sejuk.

Vaksin Pfizer perlu disimpan and diedarkan dengan keadaan dosnya berada pada suhu -70⁰C. Sekiranya suhu ini tidak dapat dipenuhi di sepanjang proses penyimpanan dan pengedaran maka proses degradasi pada elemen tertentu akan berlaku dan vaksin tersebut tidak lagi stabil dan tidak boleh digunakan.

Rantaian sejuk beku bermula dari proses pembuatan, penghantaran ke negara-negara terlibat, ke pusat-pusat penyimpanan sehinggalah kepada pesakit atau individu yang memerlukan, perlu dipastikan tidak gagal di sepanjang rantaian proses tersebut. Ini disebabkan hanya negara-negara tertentu sahaja boleh menghasilkan vaksin COVID 19.

Pengangkutan dan penyimpanan vaksin tersebut adalah dua halangan besar di peringkat global sekiranya tiada penambahbaikan pada sistem peredaran vaksin sedia ada. Bagi tujuan penyimpanan jangka masa panjang, vaksin COVID-19-Pfizer perlu disimpan dalam peti sejuk beku pada suhu sekitar -80⁰C sehingga -70⁰C manakala suhu sekitar 2⁰C ke 8⁰C pula adalah suhu simpanan persediaan untuk diberikan kepada individu dan vaksin ini hanya boleh bertahan selama lima hari.

Oleh yang demikian, penggunaan peti sejuk beku dengan kuantiti yang lebih banyak akan melibatkan penambahan sumber kewangan kerana harganya yang mahal berbanding peti sejuk dengan suhu yang lebih tinggi.

Ketepatan suhu, prosedur pastikan keberkesanan vaksin

Pemantauan suhu yang berterusan di sepanjang rantaian sejuk beku melalui pencerapan data bacaan oleh alat pengukuran suhu yang tepat dan bersesuaian amatlah kritikal. Ketepatan pengukuran adalah keutamaan dan penyelengaraan alat pengukur suhu ini perlu diberi perhatian. Proses tentukuran dan verifikasi berperanan penting bagi memastikan pemantauan suhu secara manual ataupun dengan penggunaan aplikasi automasi memenuhi julat suhu yang telah ditetapkan.

Perlu diingatkan bahawa pemantauan suhu adalah secara 24 jam selagi vaksin tidak sampai kepada pengguna.

Kerjasama di antara The Centers for Disease Control and Prevention’s (CDC) dan Institut Standard dan Teknologi Kebangsaan di Amerika Syarikat yang dikenali sebagai NIST telah menjalankan beberapa penyelidikan berkaitan penyimpanan vaksin sejak 2009.

Di antara kajian yang dijalankan ialah Analisis Termal bagi sistem penyejukan untuk penyimpanan vaksin dan pengurusan rantaian sejuk beku: Penyelesian Pemantauan Suhu Sejuk beku.

Ini membawa kepada penghasilan prosedur bagi panduan dan cadangan kepada penggunaan peti sejuk beku yang bersesuaian, pengawalan suhu menggunakan pengukur suhu digital secara berterusan dan juga kepentingan keseragaman suhu di dalam tempat penyimpanan vaksin. Keseragaman suhu apabila menggunakan peti sejuk beku perlu mengikut kapasiti yang tertentu begitu juga penyusunan vaksin yang sistematik sehinggakan prosedur untuk membuka peti sejuk beku juga diambil kira agar suhu sedia ada tidak meningkat dengan mendadak dan kembali ke suhu asal dalam jangka masa yang singkat.

Pembangunan infrastuktur bagi rantaian sejuk beku perlu beserta pengurusan yang cekap dan difahami di setiap peringkat. Syarikat pengeluar, syarikat pengangkutan, kakitangan sektor kesihatan adalah golongan yang mesti mengetahui kepentingan peranan mereka bagi memastikan suhu sentiasa tepat bagi penyimpanan vaksin COVID-19. Rantaian ini amat kritikal supaya apabila vaksin diberikan kepada penerima, ia akan benar-benar memberikan manfaat dan membantu untuk menyelamatkan nyawa.

-- BERNAMA

Nurulaini Md Ali merupakan pakar Metrologi di Institut Metrologi Kebangsaan (NMIM), SIRIM Berhad.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)