TINTA MINDA

KEPIMPINAN DENGAN HIKMAH DAN BERHEMAH, BERSAMA MENCAPAI AWAN MENGAKAR KE BUMI

15/11/2024 08:58 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Anuwar Ali dan Prof Datuk Ir. Ts. Dr Ruzairi Abdul Rahim

Menuntut ilmu hingga ke menara gading’ adalah ungkapan yang sering kita dengar semasa di bangku sekolah, atau sebagai nasihat daripada ibu bapa. Institusi pendidikan tinggi (IPT) menjadi destinasi seterusnya selepas zaman persekolahan. Ibu bapa pastinya mempunyai harapan besar untuk melihat anak-anak mereka ditempatkan di IPT yang sesuai dengan minat dan kemampuan. Malaysia mempunyai 20 universiti awam dan 33 politeknik di seluruh negara. Selain itu, terdapat lebih daripada 400 institusi pendidikan tinggi swasta.

Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia sentiasa berusaha memastikan IPT di negara ini terus mengekalkan kualiti tinggi dan berada di landasan yang tepat demi kegemilangan negara. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan, antaranya merangka dan melaksanakan strategi kecemerlangan dengan pelbagai kerangka. Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 bakal membawa pendidikan tinggi negara ke tahap yang selari dengan keperluan global, melibatkan teknologi digital dan AI, sambil mengekalkan nilai peradaban dan integriti.

Secara ringkas, setiap komponen dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara merangkumi kebolehpasaran graduan, budaya inovasi, tatakelola, governan, infrastruktur, tenaga pakar dan kelestarian program akademik. Hasilnya, Malaysia berpotensi menjadi destinasi pilihan utama pelajar luar negara untuk menimba ilmu. Selain itu, IPT tempatan juga akan dapat melipatgandakan jumlah tenaga mahir yang memenuhi keperluan industri, sekali gus memacu ekonomi global. Untuk memastikan IPT dapat mencapai aspirasi negara, kepimpinan institusi memainkan peranan penting. Barisan kepimpinan IPT bukan sahaja perlu berwibawa dan dihormati, tetapi juga perlu berkemampuan untuk memandu IPT dalam menghadapi cabaran-cabaran yang semakin mendesak.

Penulisan ini mengajak pembaca meneliti cabaran-cabaran dalam mengemudi institusi pendidikan tinggi serta menggariskan komponen-komponen utama yang diperlukan dalam kepimpinan universiti bagi memastikan ia kekal di landasan yang betul, selari dengan kehendak pimpinan negara dan melonjak ke tahap kecemerlangan. Menurut Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa perasmian program Landasan Hala Tuju KPT 2024, universiti perlu melahirkan ummah yang “Mencapai awan dan mengakar ke bumi”. Ungkapan ini singkat, tetapi pelaksanaannya amat mencabar.

Dalam dunia yang semakin maju, melahirkan graduan yang memenuhi keperluan pasaran memerlukan kebolehan untuk bergerak pantas mengikuti perkembangan semasa. Dalam konteks universiti, kecemerlangan didefinisikan sebagai kemampuan para akademik mencipta ruang dan peluang yang dapat memberikan ilmu dan kemahiran kepada generasi muda, agar graduan yang dihasilkan berupaya menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara. Keupayaan ini pula harus memenuhi kehendak dan harapan akademik serta masyarakat.

Bagi memastikan ekosistem tersebut berfungsi dengan baik, jalinan ilmu dan hikmah sangat penting. Universiti memerlukan pemimpin yang bukan sahaja dihormati oleh warga universiti, tetapi juga mendapat perhatian masyarakat. Antara aspek utama yang diperlukan ialah penguasaan ilmu, budaya kepimpinan aras tinggi, kemahiran tatakelola, jaringan ilmu yang luas serta hikmah yang tinggi. Mengambil contoh kepimpinan para ulama dan ilmuan, kepimpinan universiti harus berteraskan amal dan budaya yang mampu menyatukan cendekiawan serta pentadbir dalam memberikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik.

Barisan kepimpinan universiti yang berkesan mesti mampu membawa seluruh warga universiti, termasuk pelajar-pelajarnya untuk diiktiraf di peringkat dunia. Secara umum, unsur-unsur kepimpinan ini meliputi kemajuan akademik, penguasaan keperluan kerjaya dunia, pemahaman terhadap transformasi ilmu, kemahiran tatakelola, kemampuan koordinasi komunikasi dan kolaborasi, merapatkan jurang serta meraikan peluang.

Mengemudi sebuah universiti bukan hanya sekadar melaksanakan projek pembangunan, tetapi juga memerlukan pemikiran strategik yang selari dengan keperluan negara. Sebagai contoh, suatu ketika dahulu negara memerlukan pakar dalam bidang IT dan teknologi, maka apakah elemen penting dalam pelan akademik bagi memenuhi keperluan tersebut? Kini, bakat pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) menjadi fokus utama; oleh itu, setiap universiti bertanggungjawab merangka perancangan untuk melahirkan graduan atau modal insan yang diperlukan dalam pelbagai sektor ekonomi.

Cabaran menjadi lebih besar apabila negara kini menghadapi pelbagai isu ekonomi yang menjejaskan kehidupan rakyat. Dengan kekangan kewangan dan peruntukan kerajaan yang terhad untuk universiti awam, kebijaksanaan kepimpinan universiti dalam menjana pendapatan untuk kelestarian operasi menjadi faktor yang amat penting. Sekali lagi, pemimpin universiti perlu bijak menyusun strategi-strategi yang berkesan. Kumpulan kepimpinan dan seluruh warga universiti perlu bekerjasama dalam merancang, membina budaya kerja dan menanamkan nilai-nilai terbaik seperti integriti, berdaya saing, berinovasi dan profesional.

Antara contoh strategi penting termasuk menawarkan program akademik yang berkualiti, memperkasakan penyelidikan dan inovasi ke arah komersialisasi, menawarkan perundingan kepakaran, menyediakan makmal untuk ujian dan sewaan, serta menggalakkan syarikat permulaan oleh pelajar dan ahli akademik. Perlaksanaan strategi ini memerlukan kerjasama erat antara warga universiti, industri dan komuniti.

Pemantauan dan tatakelola penting dalam memastikan prestasi institusi cemerlang penuh integriti. Pengurusan tertinggi universiti harus melatih dan memberi kepercayaan kepada setiap lantikan agar menjadi barisan pelaksana operasi cekap, cepat dan amanah. seluruh warga universiti mesti menjadi penggerak utama dalam semua perancangan ini. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Pendek kata, kepimpinan yang bijaksana mampu membawa prestasi universiti ke tahap yang lebih tinggi. Warga universiti ayuh kita rapatkan jurang, bina peluang agar kolam ilmu tidak kontang demi generasi melonjak terbilang.

-- BERNAMA

Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Anuwar Ali ialah pakar pengajian tinggi Malaysia (Profesor Emeritus Universiti Kebangsaan Malaysia, Mantan Naib Canselor UKM, Open Universiti)

Prof Datuk Ir. Ts. Dr Ruzairi Abdul Rahim ialah Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)