TINTA MINDA

MANFAATKAN CUKA KAYU DARIPADA SISA BIOMAS KELAPA SAWIT

29/03/2021 10:21 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Zainul Akmar Zakaria

Oleh: Prof Madya Dr Zainul Akmar Zakaria

Malaysia menghasilkan 112 juta tan tandan buah segar kelapa sawit diproses pada tahun 2019. Daripada setiap tan minyak sawit yang dihasilkan, empat tan sisa biomas kelapa sawit (SBKW) akan terhasil.

Pendekatan biasa bagi pengurusan SBKW ini termasuklah teknik pengambusan tanah, pengkomposan, penukaran kepada baja, bahan asas bagi penghasilan bahan bakar serta digunakan sebagai makanan haiwan dan terbaharu ialah teknik pirolisis.

Pirolisis

Pirolisis merupakan satu teknik yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah pengumpulan SBKW. Ia boleh ditakrifkan sebagai proses perawatan terma bagi tujuan degradasi bahan organik yang terdapat dalam sisa biomas, dan dijalankan pada suhu tinggi dan tanpa kehadiran oksigen, dan akan menghasilkan komponen pepejal (bio-arang), cecair (bio-minyak, tar, cuka kayu) dan gas.

Satu kumpulan penyelidikan dari Sekolah Kejuruteran Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai oleh Prof Madya Dr Zainul Akmar Zakaria telah melaksanakan pelbagai kajian berkenaan aplikasi cuka kayu SBKW ini.

Melalui kajian ini, kumpulan penyelidikan UTM telah menjalankan uji kaji proses pirolisis menggunakan bahan mentah iaitu sisa biomas kelapa sawit untuk menghasilkan cuka kayu. Daripada output (cuka kayu) yang terhasil, mereka menjalankan uji kaji terhadap aplikasi cuka kayu tersebut di pelbagai lapangan.

Cuka kayu terhasil melalui proses kondensasi wap semasa proses pirolisis dijalankan. Ia merupakan campuran air (80-90 peratus) dan sebatian organik (10-20 peratus). Komposisi unik ini yang membolehkan ia diaplikasikan untuk pelbagai kegunaan.

Kajian ini telah mendapat kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia serta sokongan kewangan dari Kementerian Pengajian Tinggi melalui dana Universiti Penyelidikan dan dana Skim Geran Penyelidikan Fundamental.

Hasil penyelidikan Dr Zainul dan kumpulan penyelidikannya ini telah berjaya memperolehi perlindungan paten di bawah MyIPO serta turut telah memenangi hadiah dalam beberapa ekspo inovasi R&D tempatan mahupun antarabangsa

Agen Anti Pengoksidaan

Melalui kajian tersebut, mereka telah berjaya membuktikan potensi aplikasi cuka kayu dari SBKW ini sebagai agen anti pengoksidaan. Kandungan fenolik yang tinggi dipercayai bertanggungjawab bagi sifat antioksidan ini dan telah dibuktikan, melalui uji kaji makmal, untuk mempunyai potensi setanding dengan agen antioksida komersial seperti Vitamin C.

Selain itu, cuka kayu dari SBKW juga telah dibuktikan mempunyai keupayaan sebagai agen antibakteria dan antibiofilem bagi spesis seperti Escherichia Coli (E.coli), Bacillus Cereus dan Staphylococcus Aureus yang merupakan bakteria berbahaya dan sering dijumpai di persekitaran yang tercemar. Cuka kayu dari SBKW turut terbukti keberkesanannya sebagai agen antifungi.

Dalam satu lagi kajian yang dilaksanakan oleh Dr Khoirun Nisa Mahmud, salah seorang penyelidik beliau, bersama Prof Madya Dr Najihah Mohd Hashim dari Universiti Malaya mendapati cuka kayu dari SBKW telah menunjukkan potensi besar untuk digunakan sebagai agen antikeradangan berdasarkan keberkesanan komponen fenolik dalam cuka kayu untuk merencatkan penghasilan nitrik oksida, suatu elemen penting untuk isu keradangan dalam sel.

Sungguhpun begitu, lebih banyak kajian perlu dilakukan sebelum produk cuka kayu dari sisa biomas kelapa sawit ini boleh dipasarkan terutamanya yang melibatkan kegunaan terhadap kesihatan manusia. Sokongan berterusan daripada pihak pemegang taruh yang berkaitan adalah amat diperlukan bagi memastikan khazanah dari sisa aktiviti perladangan tempatan ini dapat dimanfaatkan untuk negara.

Sebagai sebuah negara pengeluar dan pengeksport minyak kelapa sawit kedua terbesar di dunia, inilah masanya untuk Malaysia mengambil peluang untuk memanfaatkan cuka kayu dari SBKW bagi menambah hasil negara serta menjadi pelopor kepada penyelidikan dalam bidang ini.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Zainul Akmar Zakaria merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan dan ahli UTMShine, Universiti Teknologi Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)