NOTA KAMPUS

MASIH RELEVANKAH BAHAGIAN HAL EHWAL PELAJAR DI UNIVERSITI?

17/05/2021 10:18 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Zulkifli Hasan

Sektor pendidikan melalui cabaran yang begitu hebat dengan perkembangan yang berlaku di dunia. Dengan impak Revolusi Industri 4.0, Perubahan Iklim (climate change) dan kemudiannya diikuti dengan wabak COVID-19, dunia pendidikan perlu berubah dan beradaptasi dengan pantas.

Universiti atau pusat pengajian tinggi juga perlu bersedia dengan transformasi dan perubahan yang bersesuaian secara menyeluruh terutama dari aspek pembangunan pelajar. Berdasarkan pemerhatian, di kala universiti merencanakan perubahan dan pelan transformasi, Bahagian Hal Ehwal Pelajar kadangkala tidak mendapat perhatian dan penekanan yang sewajarnya.

Penekanan selalunya diberikan terhadap aspek akademik, pengajaran dan pembelajaran. Bukan itu sahaja, ramai juga yang melihat Hal Ehwal Pelajar dari sudut yang negatif sehingga disinonimkan dengan pelbagai label seperti Hal Ehwal Penjara dan sebagainya. Situasi ini mencetuskan persoalan kepada keperluan untuk menjenamakan semula dan memberi wajah baharu kepada Hal Ehwal Pelajar.

Penjenamaan semula perluas peranan HEP

Sesuai dengan perkembangan dunia dan peredaran zaman, Hal Ehwal Pelajar perlu dijenamakan kepada sesuatu yang lebih menyeluruh melangkaui aspek memberikan perkhidmatan semata-mata. Menyedari perkara ini, beberapa institusi dan universiti telah pun mengambil inisiatif awal menukar Hal Ehwal Pelajar kepada nama yang lain seperti Bahagian Pembangunan Pelajar, Student Development and Campus Lifestyle, Student Development and Experience dan Student Development and Community Engagement. Seiring dengan perubahan ini, peranan Bahagian Hal Ehwal Pelajar mesti diberikan fungsi dan peranan yang lebih menyeluruh bersesuaian dengan keperluan kepada pembangunan pelajar yang lebih holistik.

Kritikan terhadap kerangka Hal Ehwal Pelajar bukanlah sesuatu yang baharu. Bloland, Stamatakos and Rogers menerusi monograf diterbitkan pada 1994 bertajuk Reform in Student Affairs: A Critique of Student Development mengkritik teori dan model Hal Ehwal Pelajar dengan menyatakan bahawa ia tidak efisyen dan tidak mencukupi termasuk mengenepikan beberapa aspek penting dalam pengajian tinggi seperti misi, matlamat dan peranan universiti dan hubungannya dengan masyarakat.

Monograf ini menyarankan halatuju Hal Ehwal Pelajar yang baharu dengan memberikan penekanan kepada prinsip-prinsip dan nilai teras pengajian tinggi dan memaksikakan sumbangan pembangunan pelajar selain daripada perkhidmatan biasa yang diberikan.

Dalam konteks Malaysia, Hal Ehwal Pelajar juga sering menjadi kritikan bukan sahaja ahli akademik dan pelajar malahan masyarakat umum. Persepsi umum melihat Hal Ehwal Pelajar sebagai bahagian yang mengongkong atau mengawal aktivisme pelajar. Ada yang mengganggap bahawa selain Akta Universiti Kolej Universiti 1971, bahagian Hal Ehwal Pelajar menjadi antara punca utama lemahnya budaya kritis, daya inovasi dan daya karya di kalangan pelajar. Peranan Hal Ehwal Pelajar difahami dalam konteks yang sempit iaitu sebagai pejabat perkhidmatan yang mengatur dan menguruskan aktiviti pelajar termasuk mengawal aspek kewangan, kelulusan program.

Sudah sampai masanya untuk kita menyemak kembali amalan dan ruang lingkup Hal Ehwal Pelajar. Jika sebelum ini, Hal Ehwal Pelajar tertumpu menguruskan aktiviti dan program merangkumi aspek kertas kerja, kelulusan, urusan kewangan dan sebagainya, kini peranan ini sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama pelajar-pelajar menerusi Kesatuan Pelajar atau Majlis Perwakilan Pelajar.

Kesatuan Pelajar perlu diperkasakan menerusi perkongsian governan dan urustadbir termasuk diberikan autoriti menguruskan kewangan sendiri, mentadbir kelab dan persatuan serta mengendalikan hal ehwal kelulusan dan kebenaran program. Inilah amalan yang dilaksanakan di universiti di negara-negara maju di mana Kesatuan Pelajar memainkan peranan penting dan mempunyai tanggungjawab bersama dalam aspek Pembangunan Pelajar. Bahkan pertubuhan pelajar ini dibolehkan memiliki aset sendiri seperti bangunan, kenderaan, saham serta mempunyai kelestarian kewangan.

Sekiranya ini berlaku, ia membolehkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar menumpukan perhatian kepada program Pembangunan Pelajar yang benar-benar berkualiti dan berfokus bagi meningkatkan kemahiran dan potensi pelajar seperti program Pembangunan Kepimpinan, Pembangunan Kemahiran Digital, Pembangunan Syahsiyah dan Integriti, Pembangunan Minda Kritis dan Pembangunan Fizikal dan Emosi pelajar. Hal Ehwal Pelajar tidak lagi sibuk mengendalikan program dan aktiviti pelajar yang sepatutnya diuruskan oleh pelajar sendiri.

Dalam masa yang sama, pelajar dapat dididik dan dibimbing untuk lebih bertanggungjawab dan mandiri menerusi peluang dan amanah yang diberikan menguruskan aktiviti dan program mereka sendiri.

Memperbetul persepsi

Kefahaman umum melihat Hal Ehwal Pelajar yang hanya mempunyai peranan sokongan (supportive roles) dalam sesebuah institusi pengajian tinggi perlu diperbetulkan. Pembangunan Pelajar mesti melibatkan keseluruhan institusi bukan hanya menjurus kepada aspek akademik semata-mata. Hal Ehwal Pelajar mesti dilibatkan dalam pembentukan dasar, polisi termasuk pembangunan dan semakan kurikulum di mana maklumat dan informasi mengenai pelajar dapat dimanfaatkan dan diberikan secara lebih tepat.

Hal Ehwal Pelajar perlu dianggap setaraf atau sama penting dengan peranan bahagian akademik dan lain-lain dalam membentuk pelajar. Sesungguhnya masa dan pengalaman pelajar-pelajar di kampus lebih banyak terluang dalam aktiviti-aktiviti ko-kurikulum, berpersatuan dan kehidupan di kolej kediaman. Kesemua ini sangat signifikan bagi membentuk karakter dan membina kemahiran insaniah mereka.

Antara aspek yang masih kurang mengenai Hal Ehwal Pelajar khususnya di Malaysia ialah penyelidikan, kajian, penerbitan dan wacana ilmiah mengenai Pembangunan Pelajar. Berbanding di negara maju yang sudah mempunyai jaringan dan badan gabungan pentadbir Hal Ehwal Pelajar seperti National Association of Student Personal Administrators yang disertai oleh lebih 1,400 universiti seluruh dunia, International Association of Student Affairs and Services serta jurnal akademik khusus mengenai Pembangunan Pelajar, didapati masih kurang wacana intelektual dan penyelidikan ilmiah mahupun penerbitan mengenai Pembangunan Pelajar di Malaysia. Aspek intelektual ini adalah sangat signifikan bagi memastikan Pembangunan Pelajar dapat dilaksanakan dengan tuntas berdasarkan kepada kajian dan penyelidikan yang bermutu tinggi.

Bagi memastikan kualiti pembangunan pelajar dapat dipertingkatkan, standard atau piawaian kepada Hal Ehwal Pelajar juga perlu diberikan perhatian. Hal Ehwal Pelajar merupakan kerjaya professional dan penggerak yang terlibat secara langsung perlu menjalani latihan intensif dan berstruktur serta mendapat pendedahan sewajarnya dalam aspek pembangunan pelajar. Penggerak Hal Ehwal Pelajar ini perlu terpilih dan benar-benar berminat serta didedahkan dengan ilmu diikuti dengan penghayatan kepada nilai-nilai dan falsafah pembangunan pelajar itu sendiri.

Membina potensi individu dalam pembangunan komuniti

Pembangunan Pelajar juga sangat berkait rapat dengan pembangunan komuniti. Hal Ehwal Pelajar tidak boleh bersifat ekslusif dan elitis. Istilah Menara Gading tidak lagi bersesuaian dan relevan. Universiti mesti dekat dengan masyarakat dan pelajar perlu terlibat dengan akvititi dan program pembangunan komuniti. Pembangunan Pelajar yang hanya berkisar dengan aktiviti dikampus tanpa melibatkan komuniti di luar tidak akan dapat melahirkan insan berbudi, berbahasa dan menyumbang kepada masyarakat. Oleh itu, dalam konteks Pembangunan Pelajar, Hal Ehwal Pelajar dan penglibatan komuniti adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan.

Hal Ehwal Pelajar perlu berperanan secara holistik melangkaui aspek menyediakan perkhidmatan kebajikan kepada pelajar. Sehubungan itu, istilah Hal Ehwal Pelajar adalah tidak lagi bersesuaian dan bertepatan. Hal Ehwal Pelajar sebaiknya digantikan dengan istilah yang baharu seperti Bahagian Pembangunan Pelajar.

Bahagian Pembangunan Pelajar adalah lebih ideal dan sesuai dengan peranan dan fungsinya yang menyeluruh. Bahagian Pembangunan Pelajar berperanan untuk membimbing dan mendidik pelajar-pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan seimbang menerusi pendidikan berterusan, perkembangan potensi individu dan pendidikan menyeluruh dan bersepadu yang mengambil kira aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Pembangunan Pelajar juga perlu seiring dan mengambil peranan untuk menghidupkan ruh empat Tonggak Pendidikan iaitu belajar untuk mengetahui, belajar untuk melakukan, belajar untuk menjadi apa dan belajar untuk hidup bersama. Penukaran nama Bahagian Hal Ehwal Pelajar kepada Bahagian Pembangunan Pelajar ini tidak harus bersifat populis tetapi ia mesti disertai dengan komitmen secara menyeluruh semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung demi membina karakter dan membentuk pelajar-pelajar ini menjadi insan sejahtera, seimbang dan harmoni.

-- BERNAMA

Zulkifli Hasan merupakan Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)