Oleh: Prof Madya Dr Abdul Halim Masnan
Tiada siapa yang menyangka penularan wabak COVID-19 menyebabkan kaedah pembelajaran mengalami revolusi mengejutkan iaitu daripada kaedah penyampaian dalam bilik darjah kepada pembelajaran secara dalam talian. Perkara ini merupakan satu cabaran yang amat besar, bukan sahaja kepada pendidik, malah kepada murid dan ibu bapa. Ia juga memerlukan kebijaksanaan seorang pendidik dalam melaksanakan pembelajaran teradun (blended learning) dengan mencampurkan pelbagai kaedah pembelajaran bagi memastikan pembangunan murid secara holistik dapat dicapai.
Cabaran
Tidak dapat dinafikan pelbagai cabaran dan masalah timbul dalam menjayakan usaha mewujudkan pembelajaran secara berterusan dalam melahirkan murid yang holistik daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Pada peringkat awal pelaksanaan pembelajaran dalam talian, telah wujud pelbagai situasi canggung apabila pendidik dengan penuh bersemangat memberikan kerja rumah yang banyak kepada murid. Murid pula terkejar-kejar dengan jadual kelas yang padat dan menyebabkan mereka mengalami ketidakseimbangan emosi.
Ibu bapa pula menuding jari kepada guru dengan harapan dapat menyediakan pembelajaran yang lebih bermutu tinggi dan mengikuti cita rasa mereka. Kecanggungan situasi ini dilihat berpunca daripada kegagalan semua pihak memahami peranan mereka dalam membentuk murid yang menepati keperluan FPK.
Bagi mendepani cabaran ini, semua pihak perlu berganding bahu memahami peranan masing-masing dalam mendidik murid secara seimbang. Warga pendidik perlu semangat menyampaikan ilmu dan perlu dilaksanakan secara istiqamah dalam apa juga keadaan. Pembentukan murid bukan sekadar memberikan santapan intelektual sahaja, tetapi penerapan nilai murni dan moral yang berterusan perlu disulam bagi melahirkan insan yang berkeperibadian tinggi dan holistik.
Pendidik perlu bersifat kreatif dan bersedia mempelajari ilmu baharu bagi mendepani cabaran masa kini. Pendidik perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam talian selari dengan konsep pembelajaran abad ke-21(PAK21) seperti menggunakan platform aplikasi media sosial dan telesidang seperti aplikasi Zoom, Google Classroom selain aplikasi tv pendidikan seperti Tutor TV di saluran Astro dan kelas @ rumah okey TV, RTM. Penggunaan platform-platform yang bersesuaian dan kreatif ini mampu menarik minat murid mengikuti sesi pembelajaran dan bagi mengelakkan keciciran.
Selain itu, kaedah pentaksiran yang bersifat menyeluruh dan merangkumi pengintegrasian semua mata pelajaran bukan sahaja dapat mengurangkan beban tugasan murid, malahan juga mampu melatih murid menyelesaikan masalah aras tinggi serta aplikasi seharian.
Peranan ibu bapa
Sebelum penularan wabak COVID-19, tugas dan beban mendidik dan membentuk keperibadian murid diletakkan sepenuhnya di atas bahu pendidik.
Namun, sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, tugas membentuk keperibadian murid sedikit sebanyak ditanggung oleh ibu bapa yang juga bekerja dari rumah.
Ibu bapa perlu memastikan murid berada di hadapan komputer atau telefon pintar tepat pada waktunya bagi sesi kelas dalam talian, menerima maklumat tugasan murid yang disampaikan oleh pendidik melalui media sosial, memantau murid-murid menyiapkan kerja-kerja sekolah, serta menjalankan aktiviti pembelajaran bersama dengan murid.
Ibu bapa perlu terbuka dan bersedia menjadi sebahagian individu yang membentuk murid yang mempunyai keperibadian tinggi dan holistik.
Aktiviti menarik
Saya cadangkan empat perkara yang menarik untuk kanak-kanak merasa seronok dan tertarik dalam amalan PdPR.
Pertama, gunakan muzik dan lagu. Menyanyikan lagu-lagu yang tidak asing lagi bagi kanak-kanak dan mengajak mereka menyanyi adalah kaedah yang baik untuk mendorong ikatan dan menjadikan pertemuan maya menjadi interaktif. Kita mungkin boleh memasukkan beberapa lagu yang telah kita gunakan sendiri untuk sesi peralihan, perjumpaan pagi, atau hanya untuk keseronokan. Seeloknya, kita yang memainkan alat muzik (atau jika ibu bapa memainkannya dan berminat untuk menyertai kelas maya).
Kedua, sediakan bahan pembelajaran dan aktiviti yang menjadi kegemaran. Untuk membantu anak-anak murid mengekalkan hubungan dengan kelas, bawa buku atau aktiviti kegemaran ke dalam perjumpaan kelas maya kita. Sekiranya kanak-kanak sangat gemar bermain permainan tertentu, fikirkan bagaimana ia dapat disesuaikan untuk dilakukan secara maya.
Sekiranya kanak-kanak menanam tumbuh-tumbuhan di dalam kelas (dan jika kita mempunyai akses kepada mereka) bagikannya dalam perjumpaan maya supaya anak-anak dapat melihat bagaimana pokok tersebut tumbuh. Ini akan membantu anak-anak untuk merasa terhubung dengan kelas mereka dan mengekalkan rasa rutin.
Ketiga, pelaksanaan aktiviti melalui penyertaan. Salah satu cara untuk memastikan anak-anak tetap terlibat adalah dengan meminta mereka melakukan sesuatu. Semasa perjumpaan, ajak anak-anak untuk mendapatkan mainan kegemaran mereka dan memberitahu rakan mereka tentangnya. Atau minta anak pergi mencari barang di rumah yang mempunyai warna atau bentuk tertentu. Libatkan mereka dalam perbualan mengenai bahan pembelajaran yang mereka dapati.
Keempat, jadikan sesi pembelajaran yang ringkas tetapi berkualiti. Seperti yang kita ketahui, anak kecil tidak boleh duduk dan terus fokus untuk jangka masa yang panjang. Sama seperti yang kita lakukan di dalam kelas pada waktu biasa, yang terbaik adalah memastikan kelas pendek, mencukupi dan menarik. Cuba lakukan satu aktiviti atau beberapa lagu pendek sebelum keluar. Anak-anak akan lebih terlibat, dan kelas maya akan menjadi lebih produktif. Sekiranya kita melihat anak murid mengalami kesukaran untuk berpartisipasi atau memberi perhatian semasa kelas, jangan takut untuk memendekkan sesi. Kita boleh memberitahu anak-anak murid bahawa kita akan meneruskan aktiviti tersebut pada waktu berikutnya, atau mencuba aktiviti lain yang mungkin lebih menarik bagi anak-anak. Aktiviti maya memerlukan fleksibiliti yang sama seperti di dalam kelas.
Kesimpulannya, untuk mengemukakan amalan biasa yang belum pernah dilakukan sebelumnya dan menjadi norma hidup secara tiba-tiba adalah sesuatu yang mengejutkan dan tidak pernah diharapkan. Namun, ia dapat dicapai dan dilaksanakan sekiranya semua pihak bekerjasama dan memahami peranan masing-masing.
Sama seperti pembelajaran dalam talian, ini tidak akan berlaku dan mencapai tujuannya sekiranya semua pendidik, ibu bapa dan murid tidak memainkan peranan mereka secara bersama. Dengan kerjasama yang berterusan, usaha yang tulus dan kesediaan untuk menyalurkan ilmu oleh semua pihak, tidak mustahil, usaha untuk menangani cabaran belajar dalam talian akan menjadi lebih mudah dan dapat membantu kanak-kanak berkembang secara holistik.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Abdul Halim Masnan merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris